Sabtu, 6 Jun 2009

Untuk pejuang bahasa


PAS memberi anugerah pejuang bahasa kepada SN Datuk A. Samad Said dan Datuk Hassan Ahmad? Tentunya, ini bukanlah kejutan besar pun kerana perjuangan bahasa dan para pejuangnya hanya manusia esentrik - seperti dakwaan golongan yang mendakwa diri mereka ke depan - atau manusia yang tidak mahu maju. Apatah lagi anugerah itu diberikan oleh sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai wadah perjuangannya.

Nah, mari kita lihat perkara ini di luar daripada lingkungan dan nadi politik, berbicara tentang wadah bangsa dan imej negara, berbicara tentang sesuatu yang leluhur dan hakikat jatidiri, sesuatu yang tidak pernah dipedulikan oleh kelompok yang memperjuangkan bangsanya. Saya menyokong perjuangan ini bukan disebabkan saya mahu melihat kejumudan - tetapi melihat bahawa kewujudan suatu bangsa tidak disebabkan oleh pengenalan pada warna kulit atau raut wajahnya, sebaliknya, apakah inti suatu bangsa itu, yakni bahasanya.

Beberapa ari yang lalu saya sempat membelek majalah yang dinaungi oleh sebuah yayasan dakwah dan dalam kandungannya memperkatakan isu PPSMI, dan tetamunya merupakan seorang bekas ilmuan? dari sebuah IPTA di Shah Alam, memperkatakan kekecewaannya mengenai penentangan PPSMI oleh 'kawan-kawannya' sehingga menjadi perarakan di jalan raya.

Saya memikirkan penerbit majalah ini yang semua terbitan kebanyakannya dalam Bahasa Melayu telah memperjuangankan BI, dan tercetus persoalan, kenapa pula temuramah dengan tokoh itu menggunakan Bahasa Melayu. Temuramah itu menggambarkan seolah-oleh penentang PPSMI anti-Bahasa Inggeris dan golongan yang menentang kemajuan! Begitu mudah kesimpulan itu, dan bagi saya, alangkah mengkalnya pemikiran orang sebegini - maksud saya para editor dan tokoh itu.

Secara peribadi saya tidak pernah menyokong PPSMI kerana saya melihat kesannya pada anak saya, tetapi saya sentiasa menyokong bahawa penguasaan bahasa itu perlu dibuat dengan cara lain, yakni memberi tumpuan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran BI. Inilah fakta yang tidak dilihat atau sengaja tidak mahu diketahui oleh golongan yang memperjuangkan PPSMI dan mencanangkan pendapat bahawa penentang PPSMI ini merupakan golongan yang fanatik buta terhadap Bahasa Melayu.

Bagi orang yang mengatakan BI sebagai bahasa sains dan matematik, belajar dan lihat sejarah pembinaan ilmu sains dan matematik serta BI. Pertanyaan, apakah BI wujud dulu terus menjadi bahasa sains dan matematik? Orang Jerman pun menguasai sains, matematik dan teknologi, tetapi apakah mereka belajar semua itu dalam kelas mereka dengan BI? Beberapa tahun lalu saya pernah menjalankan tugas bersama-sama beberapa pegawai dagang Jerman dengan konglomerat terkemuka, yang memberitahu, dia hanya belajar BI selepas ditugaskan ke luar negara. Dan, apakah mereka ketinggalan atau mundur teknologinya berbanding orang Inggeris atau Amerika Syarikat.

BI yang mendominasi sains dan matematik - seperti yang didakwa - telah melalui proses pembinaan selama beberapa abad, sedangkan BM sendiri belum pun mencapai separuh abad dan ia terus didakwa menjadi punca kemunduran sains dan teknologi. Barat menguasai sains dan teknologi dari orang Arab tidak dalam BI, tetapi telah mencedok dan membangunkan semula ilmu itu yang dipelajarinya dan membentangkan kepada dunia bahawa sains dan matematik maju melalui BI. Inilah mitos yang berjaya disemai dalam pemikiran kita bahawa semuanya perlu dalam bahasa Inggeris jika maju maju dan berjaya.

Kepada PAS, saya tidak pasti ini hanya kempen perhubungan awam politik atau perjuangan yang murni, tetapi sekurang-kurangnya, penglibatan PAS menyelamatkan nasib Bahasa Melayu di tangan bangsanya sendiri.

Kepada Pak Samad dan Datuk Hassan, serta sekian ramai pencinta dan pejuang bahasa lain, perjuangan seperti ini memang selalu menjadi mangsa kata-kata keji dan jelik oleh golongan tertentu, dan ia merupakan suatu yang tidak perlu dipeduli!

Dan sememangnya juga suatu bangsa tidak akan mati atau pupus jika bahasanya sudah tidak ada. Suatu bangsa boleh menjadi tumbuhan apifit, menumpang pada mana-mana bahasa untuk terus hidup dan kita boleh memperkenalkan diri sebagai bangsa si polan yang berbahasakan apa juga bahasa seperti Bahasa Inggeris. Tentu hebat, bukan?

4 ulasan:

sahrunizam abdul talib berkata...

Gerakan anti PPSMI ini sebenarnya bukan sekadar mempunyai matlamat untuk menyelamatkan bahasa Melayu, malahan turut sama bertujuan untuk menyelamatkan mata pelajaran sains, matematik, biologi, kimia, fizik dan matematik tambahan. Ini yang banyak orang tak faham atau sengaja buat- buat tak faham. Tuduhan fanatik bahasa atau sebagainya itu jelas tidak berasas. Bagus Pas beri anugerah tu. Tahniah Pak Hassan dan Pak Samad.

Tanpa Nama berkata...

Tohmahan sebagai cauvinis kepada mereka dah lama dan akan berterusan. Selepas ini, kalau PPSMI dihapuskan pun, tohmahan tersebut kekal berlaku juga.
Kalau depa baca tulisan hang, pasti depa kata hang pun cauvinis, perantisla.
Hidup Bahasa Melayu.

D'Rimba berkata...

Saya lebih bangga belajar dalam bahasa Melayu tadika hingga universiti awam mahupun swasta seluruh negara. Pengkhianat bahasa adalah bangsanya sendiri. Cukup menjijikkan...............

rubee,rubie,ru-b berkata...

Salam....ingat lagi ke pada pejuang bahasa yang hampir pupus ini?