Rabu, 9 September 2009

Erti serumpun


Kata-kata yang paling enak didengar dalam hubungan Malaysia-Indonesia adalah, kita serumpun! Tetapi pada praktisnya, apakah pengertian serumpun itu pada amalan dan retoriknya. Antara perkara yang selalu dibangkitkan dan diperdengarkan ke telinga saya mengenai hubungan itu adalah, sejak dahulu, Indonesia lebih menganggap dirinya abang dan Malaysia, adik. Berdasarkan premis itu juga, pastinya, pihak yang abang menganggap dirinya perlu lebih atau istimewa berbanding adik, dan itulah praktis hubungan antara kedua-dua negara sejak dulu. Dan seperti fitrah kejadian lain dalam hidup manusia, adik mesti mengalah dan tunduk kepada abang.

Hakikat hubungan yang dijadikan berat sebelah itu dapat dilihat, misalnya dalam industri buku. Dan jika menyebut perkara atau bidang lain, sudah tentu akan terlihat senarai panjang betapa Indonesia mahu berada lebih tinggi daripada Malaysia. Kali ini saya mahu memperkatakan sedikit perihal industri buku, bagaimana buku-buku yang diterbitkan di Malaysia disekat secara sistematik untuk dibawa masuk ke Indonesia. Maknanya, buku yang ditulis oleh rakyat Malaysia dan diterbitkan oleh penerbit Malaysia tidak dibenarkan dibawa masuk, kecuali dengan cara tertentu, sedangkan, buku penulis dan penerbit Indonesia boleh dilihat di pasaran Malaysia. Selebihnya, lihatlah bagaimana penyanyi Indonesia membanjiri bumi Malaysia, juga sinetron atau felem-felemnya. Tentunya juga tidak mengambil kira ada lebih 2 juta rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini, serta sekian ramai rakyat Malaysia yang sebenarnya berhijrah dari Indonesia puluhan dan ratusan tahun dulu.

Hari ini, dan beberapa tahun kebelakangan menyaksikan bagaimana hubungan dua negara anggota ASEAN yang dikatakan serumpun budaya, bahasa dan agama melalui fasa tegang. Sikap seperti melatah segolongan penduduk negara itu yang melancarkan kempen mahu berperang dan memburukkan Malaysia dan rakyatnya merupakan suatu fenomena yang memaparkan mentaliti dunia keempat, penuh emosi, tanpa kewarasan dan tidak berakal. Apakah perlunya tindakan sedemikian, tindakan seperti mengadakan demonstrasi serta mengeluarkan ancaman perang - nasib baik ancaman itu bukan dari pemerintah. Beberapa tahun lalu ketika tercetus isu Ambalat, rakyat Indonesia di Kalimantan dilaporkan mengadakan kubu pertahanan dan sekatan jalan raya seolah-oleh perang akan meletus. Persoalannya, mentaliti apakah yang mahu ditunjuk oleh kumpulan rakyat seperti ini.

Saya sebagai anak yang lahir dan membesar di sempadan amat terbiasa dengan cerita konfrontasi dengan kempen Ganyang Malaysia, apabila para soldadu piimpinan Sukarno menyusup masuk ke negara ini dan kisah mereka bertempur dengan tentera British di sepanjang sempadan dan kawasan berhampiran kampung. Tetapi itu cerita lampau, dan apakah episod seperti ini yang mahu diulang jika kita mahu maju dan bersatu atas nama serumpun? Perlukah kita bermusuh atas alasan yang amat remeh dan bebal hanya disebabkan hal seperti apakah lagu rakyat, lagu kebangsaan, makanan atau apa juga yang diguna dan dimakan oleh rakyat Malaysia dikatakan berasal dari Indonesia. Lalu, apakah rakyat Indonesia perlu marah kerana sebahagian rakyat Malaysia sebenarnya generasi ketiga, keempat atau kelima dari wilayah-wilayah Indonesia atas alasan, Malaysia telah mengambil rakyatnya untuk menjadi rakyat Malaysia.

Ada hakikat yang perlu difahami dan diterima, dalam soal hidup serumpun, persamaan dalam amalan, tradisi dan budaya tidak dapat ditolak dan kenapakah ia perlu dijadikan sebagai titik untuk mencetuskan sengketa dan emosi?

Pada masa sama, pihak tertentu yang terlalu memikirkan superioriti Indonesia perlu merenung kembali kepada diri mereka sendiri, berfikir dan bertindak secara waras, tidak meletakkan otak di kepala lutut. Demikian juga sikap pengamal media negara itu yang tidak bertanggungjawab, secara sengaja mencetuskan api pelampau perlu memikirkan, apakah faedah yang mereka akan peroleh dengan kempen seperti Menyapu Rakyat Malaysia. Pengamal media ini sepatutnya lebih sikap yang sesuai dengan ketamadunan dan peradaban dan bukannya menjadi hamba kepada perniagaan dengan mencetuskan sensasi tidak beretika yang hanya mengeruhkan keadaan.

Saya menyukai Indonesia, tetapi sikap dan tingkah segelintir manusianya benar-benar membuat perut saya senak. Malah semakin senak tatkala saya membaca serangan dan kempen dalam media massa dan internet yang sewenang-wenangnya menjadikan Malaysia dan rakyatnya sebagai objek untuk melepaskan segala kata nista dan benci.

Saya kadang-kadang terfikir, mungkin dengan mengatakan Malaysia sebagai Malayshit, Malingsia atau sebagainya akan memberikan puncak nikmat kepada golongan ini, bagaikan seorang manusia bongkak tetapi bengap yang berjaya melayan libidonya. Ya, mungkin.