Rabu, 28 September 2011

Apa tu 99 Speedmart






Emmm...pasti ramai yang takjub dengan kewujudan pasar raya yang mengenali dirinya dengan Lebih Dekat Lebih Murah ini. Cuba nengok di kawasan-kawasan perumahan, pasti ada pasar raya, yang dimiliki oleh seorang lelaki berkerusi kuda. Hebat kan, orang taraf OKU ada rangkaian pasar raya, malah kejayaannya dalam perniagaan runcit pasar raya telah membawa pengiktirafan kepadanya.

Tahu, ramai yang suka membeli-belah di pasar raya ini, termasuk kat tempat aku tinggal di Saujana Utama, Sungai Buloh. Ada kenalan memberitahu, dia suka membeli kat sini sebab harganya murah. Yelah, orang memang tertarik dengan tawaran harga yang murah dan itu merupakan gimik perniagaan yang paling berkesan. Juga, sepadan la dengan Lebih Dekat, Lebih Murah.

Cuma, tidak ada perkara yang murah tak ada sebab.

Tak ada sebab. Ada kawan yang mengenali pemilik rangkaian pasar raya ini menceritakan, dia merupakan tauke judi nombor ekor yang tidak berlesen, yakni orang yang mengambil taruhan nombor ekor yang tidak mendapat lesen dari kerajaan untuk beroperasi, tapi percayalah, perniagaan ini antara paling laku. Tak payah ada kedai macam penjual nombor ekor lain. Macam kat tempat aku yang 90 peratus penduduknya Melayu dan pastinya beragama Islam, terdapat 3-4 orang pengendali nombor ekor beroperasi hanya menggunakan motorsikal - kebanyakan pelanggannya keturunan India, Cina pun ada gak, Indon (pekerja kontrak kawasan perumahan Saujana Utama) juga antara pelanggan utama. Melayu pun ada...;-)

Kita kembali kepada pemilik pasar raya ini. Perniagaan asalnya adalah mengendalikan pertaruhan nombor ekor dan sememangnya perniagaan ini amat menguntungkan - tak pernah rugi tau. Tetapi, kawan itu menceritakan, tauke OKU ini bertindak bijak apabila melaburkan wang yang diperoleh daripada perniagaan judi tak dak lesen (judi memang dah haram kan di sisi Islam) untuk membangunkan pasar raya yang dinamakan 99 Speedmart - lebih kurang macam membersihkan wang yang diperoleh daripada perniagaan tak dak lesen la tu.

Sebab duit banyak, boleh la jual barang murah dan cuba perhatikan bagaimana perniagaan ini berkembang dalam masa singkat. Modus operandinya mudah, gunakan pasar raya untuk memasukkan hasil daripada perniagaan pertaruhan wang tak dak lesen. Tak tau la salah atau tidak apa yang diceritakan, tapi itulah yang dikhabarkan. Jadi, kepada sesapa yang suka membeli-belah kat pasar raya ini, fikir-fikirkanlah. Sendiri pilih, sendiri buat, sendiri mau ingat!



Rabu, 21 September 2011

Kayuh santai di UKM

Yang ni gambar masa Mini Konvo Jamboree UKM hari Ahad lepas. Lepas penat tolak basikal naik bukit terus aje tangkap gambar ini. Tak ada nampak muka penat, kan. Jangan tak tau, cuba nengok plat tu ada huruf V. Tu maknanya veteran. Tapi tak kisahlah veteran pun veteranlah. Yang penting kayuh. Boleh lupa sekejap masalah kerja di opis masa bersaing dengan rakan-rakan yang sestamina.
Inilah namanya kayuhan santai, sebab malas dah nak kayuh laju tak hengat dunia. Kali ini kayuh pun rileks je, sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan alam binaan di UKM. Cuma kayuhan kali ini banyak mendaki bukit. Memang semput la jugak nafas, tapi memang syok lepas tu sebab layan downhill.
Apapun kelemahan dan kekurangan pada trek dan penganjuran, aku tetap layan. Tak kisah sangat la hal lain, sebab perkara penting adalah dapat kayuh basikal dan di luar medan kayuhan mingguan kami di Ladang Elmina atau lebuh raya koridor Guthrie.

Rabu, 14 September 2011

Aku kembali ke blog!


Lama sangat dah tak kemaskinikan blog ni. Dah naik bersawang dan salah satu sebabnya adalah masalah kata kunci. Tak tau la apa sebabnya, tapi alhamdulillah, akhirnya dapat gak aku selesaikan masalah ini. Lepas ni boleh la aku merapu dan mengarut dalam blog ini dan memikirkan untuk terus menulis dan menulis yang kununnya menjadi sebahagian minat aku. emmm..tapi sebenaqnya, sejak dua tiga tahun ini, kemahiran menulis dan kerajinan aku untuk aku berfikir semakin kurang. Mungkin ini penyakitnya yang berpunca daripada persekitaran pekerjaan. Bukan disebabkan tidak ada masa sangat, tapi disebabkan kerja-kerja aku kurang membabitkan penulisan secara intensif, ketajaman aku mengarang juga semakin terjejas - mungkin aku sekadar beralasan dan jika aku sekadar mahu mencari alasan, maka layak la aku dikutuk. Sewajarnya, aku tidak boleh beralasan sebegitu jika benar penulisan dan mengarang itu sebahagian daripada kebolehan semula jadi aku, malah memberikan rezeki kepada aku sebelum ini. Lebih daripada rezeki, mengarang dan menulis memberikan aku kepuasan yang tidak mungkin dapat aku nyatakan kepada sesiapa, betapa kepuasan itu datang daripada dalam diri dan semacam melepaskan ego dan libido...hehehe. Yeke. Atau aku terlalu kerap bermain basikal gunung sehingga terlalu letih untuk mengarang...alasan lagi.

Ya, aku ada tulisan yang terbengkalai, termasuk novel yang kalau mengikut jadualnya, sudah sewajarnya berada di pasaran dan aku sedang menikmati royalti hasil jualannya. Tetapi malangnya, aku tidak menyudahkan kerja aku yang sudah siap itu, sedang aku cuma perlu mengemaskan plotnya agar lebih dramatik (kehendak penerbit).

Apa lagi? Mengarang puisi atau sajak. Bagi aku, lebih senang memilih dan menilai sajak untuk siaran - tugas yang aku pernah buat ketika bekerja di akhbar suatu ketika dulu, lebih mudah berbanding menulis sajak atau puisi. Kenapa tidak boleh tulis? Mungkin aku tidak cukup pandai atau tidak berbakat besar macam teman-teman lain, macam Sheikh Rahimidin atau Haji Madrasah atau kawan-kawan lain. Lazimnya, ketika mahu menulis puisi, aku selalu memikirkan, menulis puisi tidak mudah kerana keperluan pemilihan dan susunan perkataan yang lebih rumit dan terperinci berbanding menulis cerpen dan novel. Barangkali, ini juga kesannya terlalu banyak membaca puisi untuk dinilai untuk penerbitan sehingga merasakan sentiasa belum cukup layak menulis puisi.

Jika aku mahu menulis puisi, aku tidak mahu seperti 99 peratus puisi yang aku pernah tolak dan buang semasa melakukan saringan dulu. Aku mahu menulis untuk memastikan, taraf penulisan itu tidak sekadar layak untuk bakul sampah dan membuat pembacanya merasakan, bahawa aku sekadar syok sendiri tanpa mempunyai sebarang kekuatan bahasa dan inti pun dalam puisi. Jadi lepas ini, aku kena terus menulis dan menulis tanpa sebarang alasan atau bertangguh!

Gambar yang atas tu, antara foto terbaru aku. Ahad lepas. Yang ni dirakam semasa aku menghabiskan pendakian satu bukit (10 kaki je dari puncak) di Puncak Alam, Shah Alam 2, lebih kurang 170 meter tingginya. Tak boleh sangat nak kayuh basikal sebab laluannya memerlukan kemahiran teknikal, tambah pulok licin sebab hujan lebat malam sebelumnya. Asyik tergelincir je. Yang sebelah tu member kayuh tegar la jugak, Saifful Maybank. Menolak basikal naik bukit tu memang perkara biasa la. Menolak basikal jauh lebih memenatkan berbanding mengayuh. Sakit pinggang dan rasa semput dibuatnya...kalau tak percaya cuba la...hahaha.

Selasa, 5 April 2011

Di garis politik - hitam, putih dan kelabu



Orang rumah (semasa menonton siaran senarai calon pilihan raya Sarawak di sebuah stesen televisyen) saya berkata, kalau tak mesti nama awak ada dalam senarai. Saya tidak menjawab, senyum cuma mendengar kata-kata itu, tanpa mahu memikirkan, apakah saya sudah membuat keputusan terbaik atau paling tepat, untuk memilih untuk terus menjadi manusia yang ada sebelum ini, bukan si politikus.
Barangkali, jiwa saya bukan jiwa politik, dengan segala kerenah dan hiruk-pikuknya, sehingga mengkusutkan kepala fikiran, sedang saya secara peribadi mempunyai kawan-kawan politik yang memang bercita-cita tinggi dengan segala harapan. Dan itu mereka, sedang saya entah bagaimana tidak mempunyai cita-cita politik, malah tidak terlibat dalam proses politik terpenting - pilihan raya dan saya amat bangga dengan pendirian itu. Cukup saya menjadi pemerhati di luar gelanggang dan terlibat secara terus disebabkan tugas saya. Sekadar itu, dan pengalaman itu amat mengujakan saya, untuk saya ingat apabila saya tidak lagi terlibat dalam tugas.
Kembali kepada senarai calon pilihan raya Sarawak itu - saya sudah merasakan bahangnya sejak lebih dua tahun dulu apabila usaha mencari bakal calon dilakukan oleh aktivis parti-parti dengan pelbagai harapan, dan sebahagian besarnya demi rasa kebanggaan maruah. Dua tahun dulu dan sepanjang tempoh itu beberapa cakap dan pancingan bertanya, apakah saya berminat dengan politik, yakni menjadi calon dan memegang jawatan. Saya mengatakan, tidak. Malah pujukan melalui orang tua saya juga berakhir dengan jawapan yang hampir sama, katanya, saya bukan jenis minat segala huha politik.
Saya amat faham, mengapa dan alasan yang mereka gunakan untuk membawa saya ke dalam lapangan politik ini. Alasan paling mudah, sebab mahu melihat adanya orang yang berasal dari ulu - kampung saya berhampiran sempadan Indonesia - menjadi wakil penduduk, dan mungkin menyandang jawatan. Saban hari, saya semakin mengerti mengapa hasrat mereka itu disampaikan kepada saya - terutama apabila kita bercakap mengenai rasa bangga kepada keturunan, keluarga, puak, masyarakat dan kawasan. Dan inilah nilai politik yang saya jarang, atau hampir tidak pernah temui, tetapi di sini, mereka berkata tentang perkara ini, bahawa sewajarnya, wakil kawasan saya datang daripada kalangan anak jatinya.
Dan, saya sekarang masih seperti sebelum ini, bukan manusia politik, cuma sekadar memerhati hal-ehwal politik termasuk politik antarabangsa sebagai mengisi masa terluang dan menajam fikiran untuk berfikir secara kritis dan segala silap mata dalam permainan politik. Sekadar itu.
Selepas melihat nama-nama bakal calon yang bertanding, sememangnya dua daripada yang dinamakan memang saya tidak kenali, mungkin generasi saya, manakala seorang lagi bekas wakil rakyat yang mahu membuat comeback, saya merasakan, alangkah baiknya, sesiapa yang terpilih nanti memikul tanggungjawab dan harapan penduduk yang diwakili, bukan sekadar menabur janji yang tidak pernah tertunai dan penduduk hanya menunggu buah yang takkan jatuh. Saya juga teringat bagaimana ada parti politik yang menggunakan pendekatan ugut dan paksa pengundi memangkah calonnya jika mahu hidup mereka selesa dan tidak terganggu dan berharap, politik pilihan raya ala mafia ini tidak akan ada lagi.
Untuk rakyat Sarawak yang menjadi pengundi, inilah peluang anda memilih orang yang layak untuk menjaga anda. Juga kepada pengundi kawasan saya, pemimpin politik boleh datang dan pergi, sedang hidup kita perlu diteruskan tanpa atau adanya mereka. Dan saya, sekadar memerlukan orang politik pada masa tertentu, misalnya untuk bercakap dalam program terbitan saya...cuma itu saja.

Rabu, 9 Februari 2011

Ruang kosong antara hitam dan putih


Beberapa ketika yang lalu saya membaca satu entri dalam facebook yang dengan nada sebagai dewa besar meminta tuhan memberi petunjuk kepada orang yang sesat dalam kegelapan yang bersikap pelampau menegakkan benang basah. Wahhh..semakin besar KEPALA budak seorang ini dan menjelaskan sikapnya kebelakangan ini yang semakin bersikap kurang ajar - seperti yang dikatakan oleh orang yang pernah melihatnya. Saya sendiri sudah tak ada angin nak nengok walaupun saya tak remove namanya daripada senarai rakan facebook. Ini hanya satu daripada puluhan, malah ratusan tulisannya - dalam entri facebook, blog atau media baru - yang berbentuk kecaman keras dan bernada sinikal ala kurang ajar oleh manusia yang saya lihat tidak ubah semacam beruk dan manusia barua - opss..saya bernada emo - ni pun meminjam kata-kata dia dan para pengikut yang sealiran dengannya.

Sebenarnya, pada suatu tahap saya merasakan dan tertanya-tanya, apakah yang mahu diperjuangkan apabila dia sering berhujah dengan pelbagai alasan yang cuba ditegakkan sehingga isu asal perkataan paria sudah lama tidak kedengaran, tetapi yang timbul adalah entah segala macam perkara yang dibangkitkan, dan pada akhirnya, tidak ada suatu pun huruf dan ayat dalam novel Interlok yang tidak dipertikai.

Hakikatnya juga, mudah untuk kita mengatakan orang lain sebagai bersifat rasis atau cauvenis, atau segala tempelan negatif dan tidak baik mengenai orang atau pertubuhan yang tidak sealiran, tetapi alangkah baik jika dia berhenti seketika dan berdiri di depan cermin untuk melihat dan menilai diri sendiri, apakah diri yang mengatakan segala macam mengenai pihak lain tidak bersifat rasis atau cuavenis, sebenarnya. Amat malang untuk hidup seseorang yang tidak dapat melihat sisi lain daripada kata-kata yang dilontarkan kepada orang lain dan alangkah daifnya manusia jenis yang berfikiran seperti ini.

Pada akhirnya saya melihat, dalam dunia sastera Melayu di Malaysia, watak seperti ini sepatutnya tidak perlu wujud dan tidak berguna tanpa sebarang nilai pun. Saya mungkin seperti emo, tetapi saya tidak ada pilihan kata-kata lain untuk isu dan perkara ini yang menyebabkan saya semakin berasa sengal saban hari dengan serangan dan kecaman bersifat ala barbarian itu. Sudah tidak adakah perkara atau hal lain dalam hidup yang mahu diperjuangkan....

Rabu, 19 Januari 2011

Sepagi di Gurun.

Ni beberapa gambaq masa Jerai MTB Jamboree '11 hari Ahad, 16 Januari lalu. Sasaran habiskan perlumbaan tercapai jugak. Tak ada pitam, tak ada tersungkur, tak ada kejang otot..jatuh skit-skit ada la.


Syiok juga layan track sepanjang 48 km, melayan downhill yang berselekoh tajam dan bergaung di celah deret getah ngan kelapa sawit memang perghhh. Tapi tolak gerek masa uphill pun boleh la tahan teruknye. Sakit tongkeng...huhuhu. tapi tak dak rasa nyesal pun habiskan cuti hujung minggu beraktiviti off road. Dapat habiskan 48 km dalam masa lebih kurang 3 jam pun kira oklah. Nak buat lagi laju dah sampai had badan. Biasa la semakin tua ni. Apa pun, memang layan....




Pakai baju oren belah kiri namanye Salleh Ayam (tauke ayam kat pasar taman tun dr ismail)...orangnye kecik tapi boleh la tahan ligat, habiskan perlumbaan depan aku beberapa minit awal.

Seorang lagi pelumba Sutama Cyclo, Shukri (baju oren dua dari kiri). Macam kemaraan tentera Jepun masa perang dunia kedua la pulak kayuh gerek kat ladang getah.



Aksi menolak gerek naik bukit. Masing-masing tak berani kayuh sebab laluan berbatu merah. Tayar berpusing-pusing tapi tak bergerak. Mamat yang baju kuning lengan hitam tu dah tergolek, sampai berdarah muka. hemmm..no pain no gain.



Yang baju oren kat belakang baju merah tu, Zali, Cif Sutama Cyclo. Bila jamboree selalu abis dan sticker penuh walaupun tak dapat medal. Ahaksss...




Bob (yang baju hitam belang)...awe kelate ni rajin berkayuh walaupun tidak laju atau sekuat yang lain. 48 km dia boleh habiskan. Heheheee..dia la peserta penutup jamboree apabila tiba di garis penamat diiringi para marshal yang bertugas di sepanjang laluan. Yang penting jangan balik garis penamat naik lori atau hilux..malu hooo.
Last sekali, tahniah kepada Perwaja MTB atas penganjuran pembuka tirai 2011 ini. Hasil kerja yang hebat.

Kredit foto: Adi Harriman (adiharriman.com)...terima kasih untuk gambar-gambar yang baik!

Rabu, 12 Januari 2011

Suatu pagi Ahad yang rutin...


Nak cerita skit pasal rutin pagi Ahad aku bersama member Sutama Cyclo Team, tak lain dan tak bukan bermain mountain bike @ gerek gunung. Pot biasa kita orang di Ladang Elmina (taukenya, Sime Darby). Kalau tak, kami layan kat bukit sayur dengan bukit ramli, tapi Ladang Elmina selalu jadi pilihan sebab banyak laluan. Ni gambar-gambar sempat aku tangkap hari Ahad lepas @ 9 Januari 2011 masa berhenti atas bukit 10 percent, sebelum tu dah tibai bukit warm up, bukit penat dengan bukit extra joss. Boleh tahan jugak la berkayuh sampai titisan peluh terakhir. Kalau tak cukup stamina gerenti tolak, tak pun sampai puncak termengah dan pitam. Ahad lepas kami sempat la layan sejauh 33 km lebih kurang. 20 km kami off road. Selebihnya melayan terik matahari ngan dua lagi uphill kat jalan puncak perdana - puncak alam. mendidih kena panas sang suria tapi sempat la singgah di simpang altantuya - pisttt, dekat je ngan tempat pompuan mongolia tu diletupkan - pekena air nyiuq...memang perghhhh.


Yus...dengan basikal Kona Gold. Gaya profesional ada. Kayuh ala-ala.

Tu perut Saiful. Antara yang berperut seksi dalam Sutama Cyclo. Yang tolak basikal tu, new kid la jugak. Orang Merbau Sempak. Pakar tolak basikal bila up hill...ahaksss..ahakss




Yang sedang kayuh tu Cif kami. Basikalnya boleh la tak mampu untuk aku miliki. Nilainya berbelas ribu, sama kelas dengan basikal mountain bike untuk lumpa profesional. Cif, bila lagi mau kalahkan si Ali....huhuhu

Pancit bang...kayuh punya dahsyat daripada bawah. bila nak sampai terus je turun tolak basikal. Tak apa, ni kira new kid on the block. Baru je join grup kami bermountain bike dan tak serik kena dera naik sampai enam bukit.



Yang ni Ali, bujang dua tapi bab kayuh macam lipas kudung ala pelesit. Jatuh tergolek perkara biasa. Kalau kalangan kita orang yang umur dah nak separuh tiang ni, dia antara yang paling kuat sebab selalu dapat nombor lagi bagus. Standard la abiskan distance lebih 40 km kurang 3 jam; aku pun!



Yang tergolek tu pakar wheelie. Budak-budak sekolah lagi tapi semangat gila. Tergolek sebab cramp tu pun sebab lagak wheelie semasa uphill. Tak dibuat orang tapi dia buat jugak. Syok nengok perangai dia orang ni.

Itu aje kisah kami bermountain bike kat Ladang Elmina....kata orang, kami grup gila. Tak tau la kenapa, tapi kami terima seada-adanya..hahaha.

Selasa, 11 Januari 2011

interlok








Yang ni novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein yang menjadikan 1Malaysia sekali lagi dilanda oleh ribut politik yang ditiup oleh para dubuk politik yang rakus, dan betapa kecilnya tahap pemikiran kita apabila mengaitkan semua perkara sebagai penghinaan, terhina dan tidak sensitif kepada bangsa lain. Kepala saya pun serabut apabila dihidang konflik tak bermanfaat kepada sastera Malaysia...



Isnin, 3 Januari 2011

puisi, lagu rakyat dan festival


Saya memulakan tahun baru masihi 2011 dengan hadir di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, selepas banyak kali tertinggal untuk menyertai acara sastera bersama rakan-rakan. Tidak ada sebab tertentu untuk saya hadir, memandangkan saya bukanlah penyair bernama seperti rakan dan sahabat lain yang tersohor. Dan, sampai bila-bila pun saya tidak menjadi penyair.
Barangkali saya bersikap prejudis, kali ini, kepada pihak berkenaan apabila merasakan pertemuan ini sepatutnya, jauh lebih bermakna terutamanya kepada kominiti sastera, khususnya kelompok penyair. Lalu, apakah yang saya cari dan mahu saksikan daripada pertemuan serupa ini? Saya tidak penyair, atau bukan penyair, kerana saya tidak berbakat.
Terdahulu saya mengucapkan tahniah kepada penganjur termasuk kerajaan negeri yang menjadi pembiaya kepada program sastera seperti ini. Jika tidak kerajaan dan agensinya, siapa lagi yang mahu peduli acara seperti ini.
Namun, apakah makna sebenar pertemuan ini? Sekadar majlis sosial untuk bertemu rakan-rakan penyair, dan kemudian huha dan bla bla bla, atau masing-masing dengan idea dan kemahuan arah sendiri. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada pihak yang bertungkus lumus memastikan pertemuan atau festival ini berjalan dengan baik, tetapi sehingga saya pulang daripada pertemuan ini, saya semakin dibebani oleh pertanyaan dan pertelingkahan dalam diri, apakah ia sudah berjaya?
Pertamanya, saya mahu melihat apakah makna di sebalik perkataan festival, lalu saya beranggapan mudah bahawa pertemuan ini akan menjadi pertemuan para pemuisi, penyair, penyajak dan penggiat lagu rakyat untuk berpesta dalam erti kata majlis sastera, sepertyi adanya persembahan demi persembahan membabitkan lagu rakyat dan puisi, atau bergurindam. Malangnya, unsur ini tidak begitu kuat apabila malam tahun baru tidak menyaksikan sebarang unsur puisi atau lagu rakyat. Dan, begitu juga pada waktu paginya, apabila jadual festival dipenuhi dengan sesi seolah ceramah yang tidak menampakkan makna sebenar di sebalik taju pertemuan ini. Kenapa berlaku seperti ini? Apakah perkara yang dibawa oleh pembicara tidak dibicarakan pada pertemuan sastera yang lain?
Sebab itu saya tertanya, kenapa tidak diperkatakan terus mengenai puisi dan lagu rakyat, tentang pantun atau gurindam, berbicara tentang nasib genre sastera ini dan masa depan, tentang harapan dan hari depan yang mungkin gelap. Tentunya juga, alangkah santai dan menariknya jika diselit antaranya baca puisi atau pantun, atau bersyair dan bergurindam, tidak sekadar majlis cakap-cakap yang menyebabkan otak menjadi tepu. Ya, jangan disogokkan bahawa mauduk yang diperkatakan adalah wacana ilmu demi mempertingkatkan pemahaman dan kecintaan kita, menyingkap kelemahan dan kecurangan yang membelenggu dunia sastera dan bahasa. Sekali lagi, kita ada wadah lain untuk berbicara hal sebegini, tetapi kita telah mengabaikan seluruhnya perihal dunia kepenyairan dan kepenyajakan.
Saya mungkin tidak adil memperkatakan hal ini, tetapi saya sentiasa percaya, kiat perlu ada arah yang jelas, sesuai dengan judul pertemuan ini. Dan, bukankah namanya Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, lalu alangkah meriahnya jika ia benar-benar suatu festival yang menjadi pertemuan untuk kita sama-sama berpuisi, bersajak, mendeklamasi, atau menyanyikan lagu puisi, bergurindam, bertaromba dan berlagu rakyat.
Juga, jika festival ini suatu himpunan penyair, penyajak, pemuisi dan pencinta lagu rakyat, kita seolah-olah seperti orang yang berjalan tempang. Kenapa saya mengatakan begini? Sekali lagi, saya mengatakan bahawa saya memang prejudis, memang sangsi dan sebenarnya, terkilan apabila melihat dan memerhati, semacam ada kecacatan. Saya bertanya kepada diri sendiri, di manakah manusia-manusia yang alkisahnya bergelar penyajak, penyair atau pemuisi, juga pendeklamator. Saya melihat, festival ini sepatutnya menjadi wadah untuk mereka bertemu, berkumpul dan bertukar pandangan dan idea yang mungkin lebih bermakna daripada kita hadir mendengar ceramah yang tidak berkait secara langsung dengan mauduk pertemuan. Jika setakat muka yang ada pada festival puisi kali ini, maka kita amat berjalan tempang, apabila ada nama-nama yang dikenali, malah tersohor yang tidak muncul. Saya tidak mahu mengaitkan ini dengan alasan bahawa masing-masing ada hal atau acara lain - itu soalan yang patut diketepikan, apatah lagi apabila melihat, penyair kelahiran negeri Perak pun tidak kelihatan kelibat.
Begitu juga dengan beberapa persatuan penulis di negeri Perak, yang tidak kelihatan. Apa yang terjadi sebenarnya? Apakah kewujudan sekian banyak persatuan itu menunjukkan garis pengasingan yang ekstrem, sehingga masing-masing tidak dapat duduk semeja dan bertemu pandang.
Saya, menyukai pertemuan seperti ini, tetapi, pengisiannya sama ada acara dan orang yang hadir, perlu direnung dan dinilai semula, apatah lagi kita memperkatakan topik festival ini sebagai suatu yang antarabangsa sifatnya.