Isnin, 3 Januari 2011

puisi, lagu rakyat dan festival


Saya memulakan tahun baru masihi 2011 dengan hadir di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, selepas banyak kali tertinggal untuk menyertai acara sastera bersama rakan-rakan. Tidak ada sebab tertentu untuk saya hadir, memandangkan saya bukanlah penyair bernama seperti rakan dan sahabat lain yang tersohor. Dan, sampai bila-bila pun saya tidak menjadi penyair.
Barangkali saya bersikap prejudis, kali ini, kepada pihak berkenaan apabila merasakan pertemuan ini sepatutnya, jauh lebih bermakna terutamanya kepada kominiti sastera, khususnya kelompok penyair. Lalu, apakah yang saya cari dan mahu saksikan daripada pertemuan serupa ini? Saya tidak penyair, atau bukan penyair, kerana saya tidak berbakat.
Terdahulu saya mengucapkan tahniah kepada penganjur termasuk kerajaan negeri yang menjadi pembiaya kepada program sastera seperti ini. Jika tidak kerajaan dan agensinya, siapa lagi yang mahu peduli acara seperti ini.
Namun, apakah makna sebenar pertemuan ini? Sekadar majlis sosial untuk bertemu rakan-rakan penyair, dan kemudian huha dan bla bla bla, atau masing-masing dengan idea dan kemahuan arah sendiri. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada pihak yang bertungkus lumus memastikan pertemuan atau festival ini berjalan dengan baik, tetapi sehingga saya pulang daripada pertemuan ini, saya semakin dibebani oleh pertanyaan dan pertelingkahan dalam diri, apakah ia sudah berjaya?
Pertamanya, saya mahu melihat apakah makna di sebalik perkataan festival, lalu saya beranggapan mudah bahawa pertemuan ini akan menjadi pertemuan para pemuisi, penyair, penyajak dan penggiat lagu rakyat untuk berpesta dalam erti kata majlis sastera, sepertyi adanya persembahan demi persembahan membabitkan lagu rakyat dan puisi, atau bergurindam. Malangnya, unsur ini tidak begitu kuat apabila malam tahun baru tidak menyaksikan sebarang unsur puisi atau lagu rakyat. Dan, begitu juga pada waktu paginya, apabila jadual festival dipenuhi dengan sesi seolah ceramah yang tidak menampakkan makna sebenar di sebalik taju pertemuan ini. Kenapa berlaku seperti ini? Apakah perkara yang dibawa oleh pembicara tidak dibicarakan pada pertemuan sastera yang lain?
Sebab itu saya tertanya, kenapa tidak diperkatakan terus mengenai puisi dan lagu rakyat, tentang pantun atau gurindam, berbicara tentang nasib genre sastera ini dan masa depan, tentang harapan dan hari depan yang mungkin gelap. Tentunya juga, alangkah santai dan menariknya jika diselit antaranya baca puisi atau pantun, atau bersyair dan bergurindam, tidak sekadar majlis cakap-cakap yang menyebabkan otak menjadi tepu. Ya, jangan disogokkan bahawa mauduk yang diperkatakan adalah wacana ilmu demi mempertingkatkan pemahaman dan kecintaan kita, menyingkap kelemahan dan kecurangan yang membelenggu dunia sastera dan bahasa. Sekali lagi, kita ada wadah lain untuk berbicara hal sebegini, tetapi kita telah mengabaikan seluruhnya perihal dunia kepenyairan dan kepenyajakan.
Saya mungkin tidak adil memperkatakan hal ini, tetapi saya sentiasa percaya, kiat perlu ada arah yang jelas, sesuai dengan judul pertemuan ini. Dan, bukankah namanya Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, lalu alangkah meriahnya jika ia benar-benar suatu festival yang menjadi pertemuan untuk kita sama-sama berpuisi, bersajak, mendeklamasi, atau menyanyikan lagu puisi, bergurindam, bertaromba dan berlagu rakyat.
Juga, jika festival ini suatu himpunan penyair, penyajak, pemuisi dan pencinta lagu rakyat, kita seolah-olah seperti orang yang berjalan tempang. Kenapa saya mengatakan begini? Sekali lagi, saya mengatakan bahawa saya memang prejudis, memang sangsi dan sebenarnya, terkilan apabila melihat dan memerhati, semacam ada kecacatan. Saya bertanya kepada diri sendiri, di manakah manusia-manusia yang alkisahnya bergelar penyajak, penyair atau pemuisi, juga pendeklamator. Saya melihat, festival ini sepatutnya menjadi wadah untuk mereka bertemu, berkumpul dan bertukar pandangan dan idea yang mungkin lebih bermakna daripada kita hadir mendengar ceramah yang tidak berkait secara langsung dengan mauduk pertemuan. Jika setakat muka yang ada pada festival puisi kali ini, maka kita amat berjalan tempang, apabila ada nama-nama yang dikenali, malah tersohor yang tidak muncul. Saya tidak mahu mengaitkan ini dengan alasan bahawa masing-masing ada hal atau acara lain - itu soalan yang patut diketepikan, apatah lagi apabila melihat, penyair kelahiran negeri Perak pun tidak kelihatan kelibat.
Begitu juga dengan beberapa persatuan penulis di negeri Perak, yang tidak kelihatan. Apa yang terjadi sebenarnya? Apakah kewujudan sekian banyak persatuan itu menunjukkan garis pengasingan yang ekstrem, sehingga masing-masing tidak dapat duduk semeja dan bertemu pandang.
Saya, menyukai pertemuan seperti ini, tetapi, pengisiannya sama ada acara dan orang yang hadir, perlu direnung dan dinilai semula, apatah lagi kita memperkatakan topik festival ini sebagai suatu yang antarabangsa sifatnya.

2 ulasan:

benuasuluk berkata...

patut tak nampak kayuh gerek rupanya pi mandi laut, he he he.

Luqman Hakim QA berkata...

sejak bila hang ada nampak aku kayuh beskal ni...