Selasa, 24 Mac 2009

UMNO, relevensi, kelangsungan, perjuangan...







Sehingga ke saat saya menulis blog ini, saya masih belum membuat keputusan untuk menjenguk perhimpunan politik paling besar di Malaysia. Saya ada pas media yang membolehkan saya hadir tetapi sama seperti tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah menjadikan kad pas itu penting dan bermakna, sebab lazimnya, saya tidak pernah menjenguk PWTC atas sebab yang saya tidak pernah tahu dan peduli.
Pastinya, topik paling melekat dan menusuk dalam pemikiran dan kehidupan harian rakyat yang peduli perkembangan politik tidak lainnya UMNO, UMNO dan UMNO. Dan apakah dengan menulis mengenai UMNO pada kali ini bermakna saya peduli.
Hakikatnya, memisahkan UMNO dari kehidupan akan mencacatkan kerana UMNO merupakan sebahagian sejarah kewujudan Malaysia kontemporari. Dan pada hari ini apakah sejarah Malaysia cacat oleh UMNO atau parti terbesar ini sendiri sudah menjadi seorang tua atau dinosaur yang tempang atau cacat.
Ini persoalan menarik apabila memperkatakan tentang UMNO dan politik, bahawa ia dikatakan mahu menempuh perubahan dan pembaharuan, dan apakah ia sebenar-benarnya yang akan berlaku dalam kehidupan kotemporari demi menyelamatkan parti ini.
Bagi saya, UMNO juga sama seperti badan politik lain, sama seperti manusia politik boleh datang dan pergi dan boleh ditinggalkan begitu sahaja jika tidak menyesuaikan diri dengan manusia dan masa. Perbandingannya sama seperti pupusnya dinosaur yang pupus sedang dunia ini terus kekal sehingga zaman manusia.
Itu kata-kata mudah dan agak kasar. Hakikatnya, UMNO zaman kontemporari dilihat seperti dinosaur yang ditinggalkan zaman dan berdepan dengan masalah imej dan intipati ahli dan perjuangan yang dianggap bukan dan tidak mewakili massa, melainkan kelompok tertentu, dan jika terus kekal, apakah ia senasib dengan beberapa parti utama di dunia sepetri Parti Kongres di India atau Koumintang di Taiwan. Dan sebeb itu juga UMNO dilihat sebagai parti elitis dan melahirkan sekolompok manusia feudal. Sama ada mahu menerima atau tidak hakikat ini, ia tidak menjadi persoalan. Cuma mari renung dan telaah secara mendalam dengan hati yang peduli.
UMNO hari ini dilihat tidak lagi membawa aspirasi bangsanya yang paling teras melainkan perjuangan politik dan kelangsungan pemimpinnya dalam arena politik dan hierarki politik negara, dan aspirasi rakyat tidak lebih sebagai alas tunggangan untuk berkata mengenai inspirasi dan harapan yang sebenarnya tidak menjadi milik kebanyakan.
Dan bagi saya, apakah saya peduli dengan UMNO? Saya bukan manusia politik biarpun sebahagian besar usia dunia pekerjaan saya bergelumang dengan orang politik dan melihat dunia politik di luar gelanggang, penuh keseronokan, disulami rasa marah, geram dan sesekali kekaguman. Dan saya cukup suka dengan ungkapan menyerahkan hal politik kepada orang politik semata-mata akan menjahanamkan dunia politik.
Saya tidak pasti apakah kebenaran ungkapan itu tetapi hakikatnya, banyak perkara dan isu yang perlu penyelesaian, andai dipolitik akan menjadi kucar-kacir dan hanya mahu memperlihatkan pihak yang menang dan dilihat sebagai benar, dan tentunya berkuasa.
Perkara yang mungkin menarik untuk diperkatakan selepas ini, apakah UMNO terus relevan, terus hidup dan menjadi wadah perjuangan? Saya melihat jika UMNO gagal dalam aspek-aspek ini, maka tamatlah ia sebagai parti yang diperlukan oleh bangsanya, dan saya tidak mahu berasa rugi kerana pemimpin boleh datang dari sudut lain atau kelompok lain. Yang penting bagaimana kepimpinan dibentuk mengikut acuan yang betul untuk memimpin parti dan kemudian negara.
Tentunya, saya tidak akan terkejut atau terpana jika perhimpunan kali ini seumpama majlis cuti-cuti dan belah-belah Malaysia, sebab sejak bertahun-tahun memang inilah kebenarannya.
Dan sekali lagi pertanyaan, apakah UMNO sebagaimana UMNO yang diketahui dan dikenali...saya tidak mahu menjawab.






Tiada ulasan: