Jumaat, 28 Ogos 2009

Sastera marhaen, popular, picisan dan sastera tinggi


Saya melihat ada persoalan persepsi dan sikap elitis dalam kita mendefinisikan taraf sesuatu karya yang sekaligus untuk dijadikan hujah oleh golongan tertentu, lalu meletakkan sekumpulan hasil penulisan sebagai karya picisan, lalu dianggap tidak wajar diberi sebarang pengiktirafan, atau mendapat sebarang kelayakan. Pelbagai pertikaian dan kata-kata yang memperlekehkan karya yang selama ini dianggap karya atau sastera popular, dianggap sebagai tidak membawa pemikiran tinggi dan tanpa estetika sastera, juga bahasa.

Persoalannya, apakah segala kekurangan itu merupakan suatu kelayakan untuk menjadi justifikasi bahawa karya pop tidak sepatutnya dibaca sebab ia membawa sifat lacur dan bebal dan menjadi racun kepada sastera? Saya tidak begitu arif menjawab pertikaian dan persoalan dan pemerhatian saya memperlihatkan, para penulis yang terlibat dalam penulisan karya (yang dianggap ringan dan picisan) tidak pernah menganggap diri sebagai orang sastera atau pejuang sastera, memadai sekadar bergelar penulis. Sememangnya jauh sekali untuk memasukkan istilah sasterawan dalam tatabahasa gelaran.

Saya secara peribadi meneladeni sastera berat atau tinggi dan juga sastera yang dianggap picisan, murahan atau pop, dan lebih gemar meletakkan diri sebagai penulis, dan tentunya, bukan sasterawan. Saya juga tahu ramai kalangan penulis sastera taraf rendah pernah bergelumang dengan sastera yang dikatakan tinggi dan memenangi hadiah-hadiah penulisan, sama dengan para penulis yang dikatakan memperjuangkan sastera tinggi. saya juga mengenali kalangan penulis sastera pop, karya picisan ini yang tidak mempedulikan perihal sastera tinggi. Malah ada kalangan orang tertentu yang mendakwa diri sebagai golongan sastera atasan ini memandang sinis golongan penulis karya pop dan picisan, dan tentunya tanggapan seperti ini amat jengkel dan merendah kedudukan para penulis terbabit.

Beberapa tahun lalu saya pernah menulis artikel mengenai sastera jalanan yang berkembang di AS dengan bahasanya amat kasar kerana menggunakan bahasa pertururan seharian di jalanan di kalangan perempat dan jalang. Malah seorang pengkaji sastera menolak karya seperti ini diiktiraf sebagai karya sastera atas sebab tidak membawa pemikiran tinggi dan estetika bahasa, dan hujah itu juga diguna pakai di sini.

Jadi, hinakah karya dan penulis pop atau picisan ini?

saya melalui kedua-dua taraf penulisan ini dan mempercayai masing-masing mempunyai dimensi dan kepentingannya sendiri. Bagi saya, dunia penulisan mempunyai kepelbagaian dan masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan, sudah tentunya mengikut cara masing-masing. Malah dalam kelompok penulis pop dan picisan terdapat gaya dan aliran masing-masing dengan ada yang menggunakan bahasa jalanan sebagai wadah menyalurkan komunikasi, sedang kumpulan lain menekankan kepada perihal gerak geri dan sikap manusia secara fizikal dan luaran. Barangkali ini menyebabkan penulis yang mewakili kumpulan ini dianggap tidak layak bergelar sastera dan bagi saya, jika gelaran itu tidak diberikan, tidak menjadi persoalan atau sesuatu yang dianggap rumit atau berasa hina.

Bagi saya? Saya tidak mahu memikirkan apakah karya saya membawa pemikiran tinggi atau sastera elitis yang akhirnya dibaca oleh beberapa orang. Saya mahu menulis perihal apa yang hidup dalam dunia persekitaran dan pemikiran saya untuk disampaikan kepada sekumpulan pembaca dan sudah tentunya saya mahu beberapa ribu atau berpuluh ribu akan membacanya. Saya dan kami dalam kumpulan ini juga selalu memikirkan dan diberi peringatan bahawa apa yang ditulis juga akan dihisab suatu hari nanti. Memang, mentaliti wang ada di sebalik penulisan seperti ini dan siapakah yang tidak mahu faktor wang. Tetapi pada akhirnya, saya juga percaya, sekurang-kurangnya karya saya dibaca oleh puluhan ribu orang dan mengharapkan, ada kebaikan kepada orang yang membacanya. Saya tidak mahu berkata tentang pemikiran tinggi yang akan menepati segala hukum teori sastera dan selalu percaya, tugas sebagai penulis perlu memberikan yang terbaik dalam garapan dan bahasa.

Tidak dikritik atau tidak diiktiraf pengkritik pun tidak menjadi isu besar kepada saya dan sudah menetapkan agenda penulisan novel-novel saya pada masa akan datang. Jika pengagung sastera tinggi tidak membaca tulisan saya pun tidak menjadi persoalan atau isu kerana saya masih ada pembaca lain.

Sekecil sumbangan pun saya tetap berbangga dapat menyumbang kepada minat membaca dan saya tidak mengajar orang menjadi manusia yang bobrok dalam karya saya. Bukankah itu sumbangan yang lebih baik berbanding berbakti atas nama sastera tinggi dan elitis.

Akhirnya, saya percaya karya perlu sentiasa akrab dan hidup dalam khalayaknya; yang lain-lain, entahlah.

6 ulasan:

Ibn Ali berkata...

cool. Salam ramadan dari kejauhan

sahrunizam berkata...

Saya lebih percaya pada pegangan "buat lebih baik daripada berkata-kata". Teruskan. Setiap orang dalam negara demokrasi bebas melakukan apa sahaja selagi tidak melanggar undang-undang negara dan. Sebagai umat Islam jangan melanggar hukum agama. Salam Ramadan

JHaZKiTaRo berkata...

hmmm.. very interesting.. anyway, salam ramadhan dari penuntut di bumi Eire.. blog hopping.. kalau rajin, lompat2 laa ke blog hamba.. :)

MARSLI N.O berkata...

Sdr Luqman: Tulis sahaja tanpa pedulikan label-label. Aku juga baca semua.

benuasuluk berkata...

Luq,
kita buat kerja kita sajalah ...

ekspresi berkata...

salam luqman,
aku telah melalui bebarapa pengalaman. apa yang dapat aku rasakan, label 'sastera serius' itu sebenarnya dilabelkan sendiri. padahal orang tak baca pun karya itu.