Lalu, apakah penting dan baiknya realiti politik, atau ia memberikan kita pengajaran yang amat berguna, itu pun, dengan andaian kita menjadi manusia yang sentiasa berfikir dan menggunakan akal fikiran untuk memahami dan melihat secara kritis.
Tetapi mampukah dan mahukah kita berlapang dada untuk melihat, menilai dan memahami sejenak perjalanan politik kepartian dan kesepakatan yang dibentuk dan ditunjuk di pentas realpolitik.
Perkara yang ingin diperkatakan di sini adalah bagaimana berlakunya perlagaan antara PAS dan DAP berhubung negara Islam dan hukum hudud. Apakah kita boleh menerima dengan terbuka dan berlapang dada dengan alasan, meraikan perbezaan pendapat, bahawa ini bukan masalah besar yang tidak memberi apa-apa natijah!
Perlu diingat, isu ini merupakan satu halangan besar yang menjadi dasar hakikat bahawa DAP dan PAS tidak mungkin dapat bersatu atas nama satu gabungan parti memandangkan, sudah jelas DAP berkiblatkan sekular, sedang PAS dengan dasar dan prinsip Islamnya.
Berdasarkan pemahaman mudah melalui pemerhatian dua aliran pemikiran yang mendasarkan politik kontemporari, apakah mungkin kerjasama antara PAS dan DAP dalam gabungan bernama Pakatan Rakyat suatu yang konkrit dan boleh menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
Jika dilihat dalam konteks realpolitik pembangkang yang lebih besar, mungkinkah tiga kepala dalam PR boleh bercakap satu nada mengenai dasar dan kepentingan bersama, selain daripada memperjuangkan dasar dan prinsip parti masing-masing.
Kenyataan Karpal Singah, selaku Pengerusi DAP yang membidas Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mengenai negara Islam bukanlah suatu yang baru, tetapi sudah acapkali kedengaran.
Melihat konsistensi Karpal menentang negara Islam dan hudud memperlihatkan, sejauh manakah PAS dan DAP boleh bekerjasama, maksudnya, bekerjasama dengan baik sebagai satu pasukan yang utuh dan bersatu.
Ini berlaku tatkala PR masih pembangkang. Bagaimana pula jika PR menjadi kerajaan dan masing-masing tertelagah, dan bayangkan apakah kesan dan bencana yang berlaku kepada pemegang tampuk pentadbiran.
Gabungan parti yang bergolak sudah pastinya menggoyangkan kerajaan dan pertelingkahan dan perlagaan yang tidak terkawal akan menyebabkan kerajaan semasa goyah dan runtuh, dan dalam hakikat politik, perkara seperti ini banyak berlaku.
Bayangkanlah apa yang berlaku kepada negara dan rakyat, situasi ekonomi, politik dan sosial. Pastinya juga, para penyokong PAS dan sesiapa yang mahu menegakkan pentadbiran Islam dalam negara berasa kecewa dan memahami hakikat, bahawa DAP bukanlah sahabat, teman atau kawan untuk PAS menjalin kerjasama politik dan pentadbiran.
Ini adalah perkiraan mudah berdasarkan logik yang
paling asas, dan masih dan sanggupkah kita membenarkan bala yang sudah diketahui
akan berlaku, dibiarkan terus berlaku, dan bukankah tindakan seumpama ini
perbuatan menempah bala.
Apakah penyokong dan pengikut PAS masih menganggap cerita pertelagahan PAS dan DAP berhubung negara Islam dan hudud sebagai mainan media proBN dan kerajaan? Mereka wajar membuka hati dan pemikiran untuk memahami dan menilai fakta dan kebenaran tentang sikap dan prinsip DAP dan Karpal secara khususnya.
Tolak andaian bahawa pertelagahan dan perlagaan ini mainan media BN dan kerajaan, kerana tanpa hati dan pemikiran terbuka, seseorang tidak akan dapat melihat dan faham. Maka jangan jadi orang buta yang berlagak celik tetapi tidak mahu menggunakan tongkat untuk berjalan di kala siang hari pun.
Walaupun perlagaan ini sudah dianggap reda, percayalah, sebagaimana Karpal pernah melahirkan bantahannya dan disusuli bidasan PAS, ia akan berulang, menunjukkan, betapa sebenarnya, gabungan mereka tanpa ikatan sebenar yang menyatukan, melainkan mahu menjatuhkan pentadbiran sekarang.
Maka, apakah kemudiannya? Apakah yang kita bakal hadapi pada era pascaBN nanti andainya pentadbiran sekarang digantikan oleh PR yang disatukan atas keinginan melihat BN kecundang semata-mata.
Perlu diingat, politik dan tadbir urus negara tidak semata-mata mengalahkan lawan, dan dalam gabungan seperti PR, mereka sebenarnya tidak mempunyai kejelasan perjuangan yang diterima bersama, seperti mana PAS dengan negara Islam, tetapi disanggah DAP yang memperjuangkan sekular.
Secara logiknya juga, bagaimanaklah semua parti Islam seperti PAS mahu terus berjuang dalam gabungan dengan mimpi dan mahu yang berlain seperti sepihak menghala ke utara, satu pihak ke selatan.
Bayangkan juga tali politik yang mengikat kedua-dua parti ini, dan apabila masing-masing mahu berlalu menuju arah masing-masing, tali pengikat akan meregang dan akhirnya putus.
Dalam perlagaan mengenai negara Islam dan hudud ini, jelas sekali Karpal tidak pernah berubah prinsipnya walaupun menentang dengan alasan perlembagaan dan perundangan kerana, sebagai peguam dan ahli politik berpengalaman, beliau bijak menggunakan lompong ini.
Pastinya juga, jika PR berkuasa sekalipun selepas PRU 13 nanti, apakah upaya untuk PAS mengubah perlembagaan dan undang-undang tanpa tentangan dan bantahan mati-matian DAP, dan mampukah PAS berdepan dengan kilas dan putar politik rakan kongsinya ini.
Melihat kepada konsistensi Karpal menentang dasar dan prinsip perjuangan DAP ini, maka, amat yakin untuk mempercayai bahawa perjuangan PAS dalam PR hanyalah perjuangan sia-sia kerana ia berada di tempat yang salah.
Dalam hal ini juga, PAS juga tidak dapat bergantung harap kepada PKR kerana parti ini mendukung konsep liberalisme dan pluralisme yang juga pada hakikatnya tidak sejalan dengan dengan perjuangan PAS, biarpun di dalamnya ada orang Melayu dan Islam seperti orang PAS.
PAS wajar memikirkan apakah berada dalam PR memberikan faedah politik kepadanya dalam jangka pendek dan panjang, kerana taraf kesamaan dalam hala tuju tidak mungkin berlaku, kerana pasti ada pihak yang akan dan mahu dominan.
Persoalannya, mampukah PAS menjadi dominan?
Diambil daripada Mysuara.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan