Sabtu, 8 Ogos 2009

Nilai ekonomi BM


Berikut saya kutip laporan agensi berita Bernama yang disiarkan oleh Utusan Malaysia. Sesuatu yang bukan sahaja menjadikan kita terang mata dan terang hati dalam menggunakan bahasa sendiri, malah penegasan, tidak ada masalah untuk Bahasa Melayu untuk memenuhi semua keperluan dan bidang. Sekaligus, menolak mitos bahawa segalanya, terutamanya sains dan matematik, harus dalam BI.

Pokoknya, kita hanya memerlukan kesungguhan untuk melakukan sesuatu bagi memastikan BM menjadi bahasa dalam semua bidang, termasuk bidang kritikal dan penting. Malangnya, apakah kita ada kesungguhan yang diperlukan, memandang selama ini tidak ada nampak usaha besar dan bersungguh dalam usaha kita meletakkan BM sebagai saluran komunikasi dan ilmu yang mantap dan berkesan.

Pada hemat saya, pengumuman mengenai pemansuhan PPSMI baru-baru ini, disusuli usaha kerajaan dalam MEMPERKASAKAN BI tidak mencerminkan sikap dan iltizam pihak berkuasa dalam memartabatkan BM. Kita masih terbelit oleh kepercayaan bahawa penguasaan BI kita berada pada tahap teruk, lantas suatu pelaburan material yang besar perlu.

Dan untuk BM, apakah yang dilakukan oleh pihak berkuasa?

Saya tidak menolak, membantah atau menentang BI tetap penting terutama dalam komunikasi pada peringkat antarabangsa. Ini bukan soal pilihan tetapi merupakan suatu yang wajib dan pasti dibuat.

Saya juga teringat promo dalam stesen radio Mix.FM yang memetik Amy Winehouse sebagai berkata, cintai bahasa ibunda biarpun perlu menguasai BI memandangkan fungsi antarabangsanya. Ya, memang itulah setepatnya, cuma kini saya menanti, apakah yang kita akan buat untuk memastikan BM digunakan dalam semua bidang, terutamanya dalam keilmuan sains, matematik dan teknologi.

Banyak contoh di muka bumi, negara-negara yang membina kemajuan sains dan teknologi dengan bahasanya sendiri dengan memastikan penyampaian ilmu tinggi dalam bahasanya sendiri, bukan bersandarkan kepada bahasa lain.

Dan saya tahu, saya akan ternanti-nanti, apakah tindakan dan iltizam kerajaan, atau keputusan kerajaan memperkasakan BI akan menjadi suatu isyarat lain yang bakal mengundang padah kepada BM. Bersandarkan kepada pemikiran dan sikap kita, saya tidak berasa hairan atau pelik jika sebenarnya otak kita masih menyerahkan akal, hati dan budi kepada penjajahan.

Membaca pandangan pakar PBB ini sepatutnya membuka segala yang tertutup dalam diri kita dan mengingatkan kita, siapakah pengkhianat atau petualang bahasa.

Dan saya suara kerdil!



Bahasa bukan penghalang ekonomi
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Bahasa bukanlah halangan utama bagi Malaysia untuk mencapai ekonomi berlandaskan pengetahuan menjelang 2020 dan negara ini berada pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju dalam kira-kira 10 tahun lagi.
"Bahasa mungkin menjadi masalah tetapi ada cara untuk mengatasinya," kata wakil residen Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Kamal Malhotra di Putrajaya hari ini.
"Korea adalah contoh yang sangat baik tentang sebuah negara yang menggunakan bahasanya sendiri tetapi bagi teknologi tinggi, banyak jurnal sains dan yang lain telah diterjemahkan daripada bahasa Inggeris," katanya.
Terdahulu, Malhotra menyampaikan ucapan pengenalan pada "Seminar Kandungan Pengetahuan dalam Sektor Ekonomi Utama di Malaysia Fasa II" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
"Anda perlu bina keseluruhan prasarana untuk menterjemah (sumber-sumber pengetahuan) ke dalam Bahasa Malaysia. Terjemahkan sumber-sumber pengetahuan terbaik, yang paling berkesan dari seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata sepanjang pengetahuannya, "ini tidak berlaku di Malaysia tetapi ini memang ada berlaku secara konsisten dalam tempoh yang panjang di Korea dan sudahpun berlaku dalam sejarah China dan Jepun".
Pada seminar itu, hasil Kajian Kandungan Pengetahuan Fasa II menunjukkan bahawa kekangan kewangan dan kekurangan pekerja yang bertutur dalam bahasa Inggeris merupakan keterbatasan yang paling lumrah bagi menambah baik penggunaan kandungan pengetahuan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemahiran pekerja.
Kajian itu dijalankan kerana Malaysia menetapkan wawasannya untuk menjadi ekonomi berlandaskan pengetahuan, justeru perlu dinilai kesediaan dan kemajuan pengetahuan negara ini dari semasa ke semasa pada peringkat industri.
Kajian itu juga mendapati sektor pertanian paling berkemungkinan menunjukkan masalah-masalah yang disenaraikan manakala industri kelengkapan pengangkutan dan automotif berkemungkinan paling besar menunjukkan kekangan dalam bidang peningkatan ICT dan kemahiran.
Fasa kedua penilaian kandungan pengetahuan adalah berdasarkan Kajian Kandungan Pengetahuan Fasa I, yang dijalankan pada 2007 di kalangan 2,433 firma dalam 21 industri.
Kaji selidik itu dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Georgia Institute of Technology of America.
Kajian fasa kedua menggunakan rangka kerja yang dimajukan dalam fasa pertama bagi menilai kemajuan tahap kandungan pengetahuan dan kekangan sektor ekonomi utama di Malaysia terhadap perkembangan ekonomi berlandaskan pengetahuan.
"Jika anda mahu menggunakan bahasa anda sendiri, ada banyak perkara yang anda perlu lakukan. Jika mahu setanding dengan yang lain, anda perlu menerbitkan jurnal sains dan yang lain," tegas Malhotra.
"Ini tidak bererti bahasa Inggeris tidak penting. Ia memang penting bagi komunikasi dalam dunia globalisasi tetapi ada isu-isu lain yang, barangkali, lebih penting," kata beliau.
Seminar itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany, yang berkata, Malaysia sedang berada di landasan ke arah ekonomi berlandaskan pengetahuan menjelang 2020, tetapi ini bergantung kepada "azam politik'.
"Bahasa Inggeris adalah komponen penting yang mencerminkan prestasi berhubung ekonomi berlandaskan pengetahuan dan keupayaan manusia. Jepun, China dan Korea menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memacu ekonomi ke tahap negara maju," katanya.
"Ini merupakan pendapat yang bercanggah. Yang satu menyatakan bahasa Inggeris menjadi masalah kerana pengetahuan diraih daripada bahasa itu, tetapi di sini bahasa Inggeris bukan masalah bagi pembangunan di negara ini," ujar beliau. - Bernama

Rabu, 5 Ogos 2009

Alahai pemandu teksi


Seorang kakitangan saya merungut, dikenakan bayaran teksi dari Puduraya ke Bangunan Bursa Malaysia yang letaknya hanya beberapa ratus meter sebanyak 30 hengget, atau RM30! Tentu terkejut, bukan. Namakan saja terkejut beruk, terkejut babi, terkejut gajah atau terkejut apa juga, tetapi itulah fenomena dan barah pemandu teksi di negara ini, terutamanya di Kuala Lumpur, kota nan indah permai ini.

Lebih menarik lagi insiden berlaku hanya beberapa hari selepas mereka menikmati kenaikan kadar tambang. Saya tidak mempertikaikan kenaikan itu, tetapi lebih memikirkan sikap lebih parah berbanding lintah darat dan penghisap darah pemandu teksi yang bersikap menjadi dialah raja di jalan raya. Dan, ini hanya salah satu cerita perihal kebejatan dan kebobrokan pemandu teksi.

Saya tidak menuding kepada semua pemandu teksi sebab saya pun ada kawan yang rezekinya memandu teksi, tetapi sikap sebilangan mereka yang saya temui, amat, amat, amat menjengkelkan.

Saya jarang menaiki teksi, kecuali untuk ke lapangan terbang atau dari lapangan terbang untuk ke rumah. Selalunya, teksi untuk ke lapangan terbang (LCCT atau KLIA) saya tidak menghadapi masalah dengan sikap mereka, kecuali rungutan terhadap syarikat pemilik permit yang menjadi bapa kepada penghisap darah, dan saya anggap itu masalah mereka.

Cuma saya berasa amat, amat, amat jengkel dengan beberapa pemandu teksi yang saya atau kami naiki dari lapangan terbang ke rumah, yang bagi saya memperlihatkan sikap tidak bersyukur, sering merungut dan melepaskan segala rasa tidak puas hati terhadap segala yang ada dalam kehidupan mereka. Malah, ada yang mempertikaikan tambang yang dikenakan oleh pengurusan teksi lapangan terbang yang didakwanya tidak berbaloi.

Apakah yang tidak berbaloi jika misalnya dari lapangan terbang ke rumah kami dikenakan bayaran RM84 berbanding RM70 yang dikenakan ketika dari rumah ke lapangan terbang. Malah jika meter tambang digunakan, kadarnya pun tidak mencecah RM70. Saya tidak faham, ada jenis pemandu teksi ini yang bagi saya tidak tahu bersyukur dan hanya memikirkan hidupnya sentiasa susah dan hidup ditindas.

Cuma, saya tidak mahu membidas secara bersemuka dengan orang jenis ini dan lebih suka memerhati setiap seorang daripada mereka, dan membuat penilaian, dan saya mendapati hidup mereka hanya ada ketidakpuasan dan ketidakpuasan terhadap segala-galanya dalam hidup ini.

Bagi saya, kehidupan pemandu teksi masih lebih baik berbanding ramai lagi rakyat Malaysia, dengan pelbagai kesukaran dan kepayahan, dan mereka sepatutnya belajar untuk menjadi manusia yang pandai bersyukur dan tidak memikirkan tenaga mereka diperah habis-habisan oleh satu pihak dan mereka menindas pihak lain pula, iaitu penumpang/pengguna.

Saya terfikir juga, apakah hidup ini hanya untuk merungut dan merungut sampai ke liang lihad?