Selasa, 5 April 2011

Di garis politik - hitam, putih dan kelabu



Orang rumah (semasa menonton siaran senarai calon pilihan raya Sarawak di sebuah stesen televisyen) saya berkata, kalau tak mesti nama awak ada dalam senarai. Saya tidak menjawab, senyum cuma mendengar kata-kata itu, tanpa mahu memikirkan, apakah saya sudah membuat keputusan terbaik atau paling tepat, untuk memilih untuk terus menjadi manusia yang ada sebelum ini, bukan si politikus.
Barangkali, jiwa saya bukan jiwa politik, dengan segala kerenah dan hiruk-pikuknya, sehingga mengkusutkan kepala fikiran, sedang saya secara peribadi mempunyai kawan-kawan politik yang memang bercita-cita tinggi dengan segala harapan. Dan itu mereka, sedang saya entah bagaimana tidak mempunyai cita-cita politik, malah tidak terlibat dalam proses politik terpenting - pilihan raya dan saya amat bangga dengan pendirian itu. Cukup saya menjadi pemerhati di luar gelanggang dan terlibat secara terus disebabkan tugas saya. Sekadar itu, dan pengalaman itu amat mengujakan saya, untuk saya ingat apabila saya tidak lagi terlibat dalam tugas.
Kembali kepada senarai calon pilihan raya Sarawak itu - saya sudah merasakan bahangnya sejak lebih dua tahun dulu apabila usaha mencari bakal calon dilakukan oleh aktivis parti-parti dengan pelbagai harapan, dan sebahagian besarnya demi rasa kebanggaan maruah. Dua tahun dulu dan sepanjang tempoh itu beberapa cakap dan pancingan bertanya, apakah saya berminat dengan politik, yakni menjadi calon dan memegang jawatan. Saya mengatakan, tidak. Malah pujukan melalui orang tua saya juga berakhir dengan jawapan yang hampir sama, katanya, saya bukan jenis minat segala huha politik.
Saya amat faham, mengapa dan alasan yang mereka gunakan untuk membawa saya ke dalam lapangan politik ini. Alasan paling mudah, sebab mahu melihat adanya orang yang berasal dari ulu - kampung saya berhampiran sempadan Indonesia - menjadi wakil penduduk, dan mungkin menyandang jawatan. Saban hari, saya semakin mengerti mengapa hasrat mereka itu disampaikan kepada saya - terutama apabila kita bercakap mengenai rasa bangga kepada keturunan, keluarga, puak, masyarakat dan kawasan. Dan inilah nilai politik yang saya jarang, atau hampir tidak pernah temui, tetapi di sini, mereka berkata tentang perkara ini, bahawa sewajarnya, wakil kawasan saya datang daripada kalangan anak jatinya.
Dan, saya sekarang masih seperti sebelum ini, bukan manusia politik, cuma sekadar memerhati hal-ehwal politik termasuk politik antarabangsa sebagai mengisi masa terluang dan menajam fikiran untuk berfikir secara kritis dan segala silap mata dalam permainan politik. Sekadar itu.
Selepas melihat nama-nama bakal calon yang bertanding, sememangnya dua daripada yang dinamakan memang saya tidak kenali, mungkin generasi saya, manakala seorang lagi bekas wakil rakyat yang mahu membuat comeback, saya merasakan, alangkah baiknya, sesiapa yang terpilih nanti memikul tanggungjawab dan harapan penduduk yang diwakili, bukan sekadar menabur janji yang tidak pernah tertunai dan penduduk hanya menunggu buah yang takkan jatuh. Saya juga teringat bagaimana ada parti politik yang menggunakan pendekatan ugut dan paksa pengundi memangkah calonnya jika mahu hidup mereka selesa dan tidak terganggu dan berharap, politik pilihan raya ala mafia ini tidak akan ada lagi.
Untuk rakyat Sarawak yang menjadi pengundi, inilah peluang anda memilih orang yang layak untuk menjaga anda. Juga kepada pengundi kawasan saya, pemimpin politik boleh datang dan pergi, sedang hidup kita perlu diteruskan tanpa atau adanya mereka. Dan saya, sekadar memerlukan orang politik pada masa tertentu, misalnya untuk bercakap dalam program terbitan saya...cuma itu saja.

Rabu, 9 Februari 2011

Ruang kosong antara hitam dan putih


Beberapa ketika yang lalu saya membaca satu entri dalam facebook yang dengan nada sebagai dewa besar meminta tuhan memberi petunjuk kepada orang yang sesat dalam kegelapan yang bersikap pelampau menegakkan benang basah. Wahhh..semakin besar KEPALA budak seorang ini dan menjelaskan sikapnya kebelakangan ini yang semakin bersikap kurang ajar - seperti yang dikatakan oleh orang yang pernah melihatnya. Saya sendiri sudah tak ada angin nak nengok walaupun saya tak remove namanya daripada senarai rakan facebook. Ini hanya satu daripada puluhan, malah ratusan tulisannya - dalam entri facebook, blog atau media baru - yang berbentuk kecaman keras dan bernada sinikal ala kurang ajar oleh manusia yang saya lihat tidak ubah semacam beruk dan manusia barua - opss..saya bernada emo - ni pun meminjam kata-kata dia dan para pengikut yang sealiran dengannya.

Sebenarnya, pada suatu tahap saya merasakan dan tertanya-tanya, apakah yang mahu diperjuangkan apabila dia sering berhujah dengan pelbagai alasan yang cuba ditegakkan sehingga isu asal perkataan paria sudah lama tidak kedengaran, tetapi yang timbul adalah entah segala macam perkara yang dibangkitkan, dan pada akhirnya, tidak ada suatu pun huruf dan ayat dalam novel Interlok yang tidak dipertikai.

Hakikatnya juga, mudah untuk kita mengatakan orang lain sebagai bersifat rasis atau cauvenis, atau segala tempelan negatif dan tidak baik mengenai orang atau pertubuhan yang tidak sealiran, tetapi alangkah baik jika dia berhenti seketika dan berdiri di depan cermin untuk melihat dan menilai diri sendiri, apakah diri yang mengatakan segala macam mengenai pihak lain tidak bersifat rasis atau cuavenis, sebenarnya. Amat malang untuk hidup seseorang yang tidak dapat melihat sisi lain daripada kata-kata yang dilontarkan kepada orang lain dan alangkah daifnya manusia jenis yang berfikiran seperti ini.

Pada akhirnya saya melihat, dalam dunia sastera Melayu di Malaysia, watak seperti ini sepatutnya tidak perlu wujud dan tidak berguna tanpa sebarang nilai pun. Saya mungkin seperti emo, tetapi saya tidak ada pilihan kata-kata lain untuk isu dan perkara ini yang menyebabkan saya semakin berasa sengal saban hari dengan serangan dan kecaman bersifat ala barbarian itu. Sudah tidak adakah perkara atau hal lain dalam hidup yang mahu diperjuangkan....