Selasa, 30 Jun 2009

Bahasa Melayu pun ada pakej





* Di bawah adalah berita yang dipetik dari Utusan Malaysia tulisan Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia, Samsor Jonet - dia ni senior skit semasa saya makan gaji di UM suatu masa dulu - dan tulisan ini memberikan gambaran mengenai pengumuman yang akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi.



PARIS 29 Jun - Satu pakej yang lebih baik akan dikemukakan berhubung keputusan muktamad mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijadual diumumkan dalam masa terdekat ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenainya akan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama pelajar terbabit yang berjumlah kira-kira lima juta orang, guru-guru dan ibu bapa.
"Apapun keputusan yang bakal dibuat, kita akan kemukakan pakej yang dianggap lebih baik berhubung PPSMI," katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Perancis, sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Ibu Pejabat UNESCO di sini.
Muhyiddin berkata, kerajaan tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan berkenaan kerana kesannya sangat besar dan melibatkan banyak pihak.
"Apa juga keputusan yang dibuat kita kena fikirkan kesannya bukan sahaja pelajar malah masyarakat dan negara. Kalau nak ubah sistem memang senang tetapi apa sistem gantinya," katanya.


Tentunya, tatkala membaca berita dari Paris dalam Utusan hari ini mengenai PPSMI, bukanlah suatu yang menyenangkan fikiran, saya! Sebenarnya, saya semakin hilang keyakinan apakah pemerintah mahu mengorbankan PPSMI tanpa melakukan sebarang tukar ganti yang pasti menjengkelkan hati dan perasaan. Jika PPSMi dihapuskan, pastinya kerajaan akan melakukan sesuatu untuk memastikan dasar yang ditentang hebat ini secara mutlaknya tidak terhapus terus, dan pastinya tindakan memansuhkan PPSMI akan mengundang pertelagahan dalam pemerintah sendiri, terutama membabitkan sang peludah bahasa (oh ya, sang peludah itu asalnya bukan bahasa Melayu bahasa ibundanya, macam saya jugak; tapi saya tidak meludah sebab saya cari duit lebih guna bahasa ini).

Apakah pakenya PPSMI akan diajarkan dalam dwibahasa? Saya tidak menolak dan jika ini berlaku ia bukanlah suatu yang menggembirakan, langsung! memandangkan pemerintah masih percaya kepada dongeng ketinggian BI sebagai bahasa sains dan matematik. Bagi saya ia hanya merupakan langkah mengendur kerajaan atau sekadar pemanis semata-mata, sedang pahit hakikatnya, jadam!

Saya juga mahu mengulas hal kononnya penukaran dasar PPSMI akan melibatkan banyak perkara seperti jumlah pelajar yang mencapai lima juta orang dan logistik lainnya. Jika ini dijadikan alasan untuk hari ini, kenapakah alasan ini tidak digunakan semasa pemerintah hendak melaksanakan PPSMI dulu. Bukankah semuanya dulu dalam bahasa Melayu dan sudah berjuta-juta pelajar mempelajari sains dan matematik dalam BM? Huhhh...!

Oh, ya, barangkali saya perlu memberi peluang kepada pemerintah membuat pengumuman terlebih dahulu sebelum membuat ulasan kerana seolah-olahnya saya terlalu ke depan dan menabur prasangka dan menghentam pemerintah yang berkuasa itu.

Sebenarnya saya, selepas beberapa tahun, ingin melihat kerajaan melakukan sesuatu terhadap ketinggian bahasa Melayu, tidak semata-mata ditugaskan kepada DBP semata-mata, dan selama beberapa tahun ini saya tidak nampak usaha yang jelas dan pasti oleh kerajaan.

Atau saya yang rabun ...

Jumaat, 26 Jun 2009

Dirgahayu BI dalam sains dan matamatik


*Inilah sebahagian daripada rencana Pengarang Berita Utusan Malaysia, Marhaini Kamaruddin mengenai bahasa Melayu dan PPSMI hari ini dalam akhbar berbahasa Melayu nombor (?) negara.



Malangnya di Malaysia, perjuangan memartabat bahasa kebangsaan sering kali disempitkan kepada sektor pendidikan atau tepatnya peringkat sekolah.
Kerap kali sasaran kejayaan sesuatu usaha atau kempen dibebankan kepada guru dan pelajar. Akibatnya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi polemik dan konflik ekoran campur tangan politik yang tidak sewajarnya.
Matlamat asas pelaksanaannya enam tahun lalu seperti dilupakan. Desakan dibuat supaya pelajar kembali menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sedangkan persekitaran yang menunggu mereka di peringkat kolej, universiti dan tempat kerja tidak pula sedemikian.
Tidak boleh siapa pun menafikan, bahasa pertuturan di syarikat-syarikat besar dalam negara malah di jabatan dan agensi kerajaan adalah bahasa Inggeris. Lebih malang lagi bagi pelajar apabila memasuki pasaran kerja, syarikat-syarikat dikuasai tokoh perniagaan berketurunan Cina turut mensyaratkan bahasa Mandarin untuk mereka.
Justeru benarkah gerakan memansuhkan PPSMI ikhlas mahu membantu pelajar khususnya di luar bandar seperti diuar-uarkan?
Tidakkah perjuangan mendaulatkan bahasa tidak sepatutnya menafikan masa depan anak-anak kita?
Tidak ada salahnya para pejuang bahasa mendesak pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ditingkatkan di sekolah-sekolah. Namun tidak adil pula untuk mereka menafi atau menolak usaha kerajaan melengkapkan para pelajar dengan bahasa Inggeris demi kesenangan dan kemudahan mereka pada hari muka.
Tumpuan sepatutnya diberikan oleh para pejuang bahasa untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di segenap lapisan dan peringkat di seluruh negara.
Golongan ini sepatutnya mendesak agar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan dalam semua acara rasmi kerajaan dan swasta! Desak juga semua program bertaraf antarabangsa yang dianjurkan dalam negara menggunakan setidak-tidaknya dua bahasa dengan satu daripadanya adalah bahasa Melayu!
Desak kerajaan mewajibkan setiap program televisyen yang dibawa dari luar negara menyediakan sarikata atau dialih bahasa. Desak juga supaya semua papan tanda ditulis dalam bahasa kebangsaan. Begitu juga surat dan dokumen rasmi termasuk perjanjian jual beli hartanah!
Desak kerajaan menetapkan syarat agar pelajar atau pekerja asing menduduki ujian asas bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya mengikuti kursus pendek bertutur dalam bahasa itu.
Dan pastikan semua pemimpin politik bercakap terutamanya di Parlimen dalam bahasa kebangsaan yang sempurna bukannya caca-marba. Penulis tidak tahu adakah semua desakan itu telah dibuat oleh para pejuang bahasa kita. Jika sudah, baguslah. Tetapi berapa peratuskah kejayaan pelaksanaannya?
Sejarah Tanah Melayu menunjukkan bahasa Melayu pernah menjadi lingua-franca. Para pedagang China, Arab dan India pada masa itu berusaha mempelajarinya untuk memudahkan urus niaga.
Jadi tidak mustahil ia dilakukan sekarang.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak sepatutnya disempitkan kepada pelaksanaan PPSMI di sekolah sahaja.
Jika dasar itu hendak dimansuhkan, sejauh manakah persediaan kita menyediakan rujukan untuk mata pelajaran Matematik dan Sains termasuk cabang-cabangnya seperti perubatan, kejuruteraan dan teknologi dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda?
Sekadar perbandingan, carian di Internet bagi Sains menghasilkan hanya 8.15 juta perkara berbanding perkataan sama dalam bahasa Inggeris (Science) sebanyak 718 juta.
Manakala carian Matematik menghasilkan 12.6 juta perkara berbanding 92.7 juta bagi Mathematics. Agak mengejutkan carian Sejarah Melayu juga hanya menemui 538,000 topik berbanding 6.07 juta dalam bahasa Inggeris.
Justeru sudah banyakkah buku rujukan dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemah - seperti dilakukan oleh negara-negara yang mengagungkan bahasa ibunda mereka contohnya Jepun dan Korea?
Bukankah kelemahan penuntut kita di universiti untuk memahami subjek-subjek itu jugalah yang mendorong kerajaan mewujudkan dasar PPSMI enam tahun lalu?
Jika khutub khanah kita sudah lengkap, tidak ada masalah untuk para pelajar kita kembali mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
Namun jika tidak, sesuatu perlu dilakukan dari sekarang sebelum mereka melangkah kaki ke menara gading dan terpinga-pinga mencari rujukan untuk memahami terma-terma dalam bahasa antarabangsa itu.
Terjemahan yang dibuat pula perlulah jelas dan bukan semudah memelayukan perkataan asing seperti ratifikasi yang diterjemah daripada ratification. Ia tidak membantu mengayakan bahasa kebangsaan.
Jika semua tuntutan di atas belum dibuat dan dilaksanakan, hentikanlah desakan untuk menghapuskan dasar itu yang diperkenalkan demi memajukan anak bangsa!


* Catatan saya:


kata-kata dia memang betul sebab nanti apabila BI sudah kukuh dan mantap dalam Sains dan Matematik, kita ada alasan baru untuk tidak kembali kepada penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Ya, kenapa perlu bersusah-payah sedang kita sudah pandai sains dan matematik dalam BI dan tidak perlulah hendak memecahkan kepala demi memikirkan atau mencari istilah BM untuk kedua-dua matapelajaran.
Dan melihat kepada tulisan ini pun saya ragu apakah penulisnya benar-benar memahami dan menguasai aspek pembinaan bahasa, pembentukan istilah dan terjemahan istilah, sebab bagi saya, dewasa ini semua orang boleh menulis walaupun bukan bidang kemahiran dan kepandaiannya.
Barangkali, ya sekadar barangkali saja, selepas ini saya memikirkan untuk memasukkan bahasa Melayu dalam data kumpulan bahasa yang pernah wujud di dunia fana ini dalam kelompok bahasa yang pupus. Pupus macam dinosaur; ya, barangkali juga!