Selasa, 10 Mac 2009

Alahai Zul Bakar, PPSMI, politik dan bahasa...

Agenda di sebalik isu PPSMI
Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my
Pada Sabtu lalu, sekumpulan manusia yang kesemuanya beragama Islam berkumpul di pekarangan Masjid Negara. Kehadiran mereka bukanlah bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan semalam atau berarak sambil berselawat bagi memuji junjungan besar tersebut.
Sebaliknya perkumpulan mereka di kawasan yang seharusnya menjadi tempat penyatuan umat Islam itu diselimuti perasaan benci dan marah, malah ketika berarak menuju ke Istana Negara terdengar kata makian dan cacian dilemparkan.
Demikian senario di ibu negara pada Sabtu lalu, apabila sekelompok orang Melayu yang kononnya mendakwa mencintai dan membela bahasa Melayu berarak menentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Adalah sesuatu yang janggal apabila penentangan dilakukan selepas enam tahun ia dilaksanakan. Mereka tidak berkata apa-apa dan jauh sekali berarak pada tahun 2003 apabila ia mula diperkenalkan. Mereka takut kerana ketika itu Barisan Nasional (BN) dan UMNO berada dalam kedudukan yang cukup kuat.
Justeru kalau mereka turun melakukan demonstrasi apatah lagi dengan ketegasan pucuk pimpinan negara ketika itu sudah pasti mereka akan merasa bahananya. Tetapi kini mereka tahu BN tidak kuat dan UMNO semakin lemah, oleh itu semua isu termasuklah PPSMI dipolitikkan.
Apa yang menghairankan adalah sikap Pas yang kini semakin pandai turun ke jalanan untuk membantah sesuatu isu. Perubahan yang berlaku kepada Pas adalah sejak mereka bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Adalah sesuatu yang aneh apabila pemimpin-pemimpin Pas mempunyai semangat yang begitu tinggi dalam isu PPSMI sedangkan sebelum ini jika ada perkara berkaitan kepentingan hak-hak Melayu, ada pemimpin Pas berkata mereka memperjuangkan Islam.
Ternyata sekali Pas semakin terperangkap dengan permainan politik PKR. Parti itu tidak sedar atau sengaja melupakan bahawa PKR hakikatnya sedang 'memperkudakan' Pas untuk melaksanakan satu demi satu agenda politik mereka.
Turun ke jalanan membuat tuntutan bukanlah perangai Pas tetapi perangai buruk PKR tetapi kenapa Pas boleh terikut-ikut seperti mana yang berlaku pada Sabtu lalu.
Atas sebab itulah, kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa demonstrasi pada Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang tidak boleh dinafikan. Bukan sahaja pemimpin mereka hadir malah ribuan penyokong mereka juga turut menyertainya.
Apa yang malangnya, pemimpin-pemimpin yang kononnya selama ini memperjuangkan Islam - sebuah agama yang cukup mencintai keamanan dan kedamaian - membiarkan sahaja penyokong mereka bertempur dengan pihak polis (yang sudah pastinya majoritinya orang Melayu dan Islam).
Kalau mereka benar-benar memperjuangkan Islam, mereka akan berusaha mengelakkan konfrantasi, apatah lagi dengan pihak berkuasa.
Pihak polis sudah mengarahkan jangan berarak tetapi perintah itu diingkari. Semua ini dengan jelas membuktikan dari semasa ke semasa, telatah pemimpin dan penyokong pembangkang dalam berhadapan pihak polis semakin samseng dan ganas.
Namun kekecohan dalam isu PPSMI itu tidak harus dilihat dari segi permukaan sahaja, sebaliknya orang Melayu perlu melihat secara halus kenapa dari semasa ke semasa, ada sahaja isu yang dipolitikkan.
Lebih malang lagi dalam isu PPSMI, kemuliaan institusi istana mahu diseret sama oleh pembangkang dan kalau nanti pendirian Istana tidak menyebelahi mereka maka jadilah apa yang berlaku di Perak, akhirnya istana akan dimaki-hamun. Sebenarnya inilah tujuan puak-puak yang berarak itu.
Kesudahannya semua institusi berkaitan orang Melayu semakin dilemahkan dan perkara ini diakui oleh Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam satu SMS kepada penulis, kelmarin.
Antara lain Hishammuddin berkata, "Saya tengok ada grand design hendak meruntuhkan semua tiang-tiang seri negara oleh pihak tertentu (1) institusi raja (2) agama dan institusi masjid (3) Perlembagaan dan undang-undang negara, (4) polis dan pihak keselamatan negara (5) nilai kesopanan hormat menghormati antara kita (6) sejarah dan warisan bangsa (7) keharmonian kaum.
"Semua ini untuk menghuru-harakan negara semata-mata kerana rakus nak rampas takhta," tulis beliau yang turut menyifatkan demonstrasi pada Sabtu lalu seolah-olah mengulangi sejarah September 1998 apabila Masjid Negara menjadi tempat perkumpulan manusia yang kononnya memperjuangkan reformasi.
Oleh itu dalam isu PPSMI ini, orang Melayu seharusnya berfikiran terbuka dan tidak terpengaruh dengan emosi apatah lagi dakyah pembangkang.
Mungkin ketika ini mereka melihat apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah betul dalam isu PPSMI, tetapi cuba mereka terutama orang Melayu yang berkumpul di Masjid Negara pada Sabtu lalu bertanya apa yang mereka lakukan apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan DAP menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu di papan tanda jalan di negeri itu.
Apakah mereka berkumpul di Masjid Negeri Pulau Pinang dan kemudian berarak ke kediaman Yang Dipertua Negeri untuk menyerah memorandum?
Apakah mereka menyerah sebarang bantahan kepada kerajaan negeri kerana berani melanggar apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan?
Tidakkah apa yang dilakukan oleh DAP itu lebih dahsyat daripada PPSMI yang jelas bertujuan hendak membantu meningkatkan pendidikan anak Melayu.
Jelaslah puak-puak yang berkumpul di Masjid Negara termasuk pemimpin pembangkang mengamalkan sikap double standard. Mereka hanya berani berhadapan dengan isu yang ada kaitan dengan kerajaan dan UMNO tetapi apabila ada isu berkaitan pakatan pembangkang terutamanya DAP, mereka hanya akan mendiamkan diri. Persoalannya adakah ini yang dikehendaki oleh Islam?
Kesudahannya yang akan mengaut keuntungan adalah pihak lain kerana orang Melayu dilemahkan dan dijatuhkan oleh orang Melayu sendiri.
Orang Melayu yang membiarkan institusi raja dihina apabila bersedia bermesyuarat di bawah pokok. Orang Melayu sanggup berbaring di jalan raya kerana kehilangan kuasa walaupun hanya menjadi boneka.
Dan orang Melayu yang 'paling berani' bertempur dengan anggota polis Melayu. Itulah orang Melayu selepas Mac 2008.
Persoalannya, adakah orang Melayu terutama di dalam Pas memikirkan grand design ini?
Atau mereka juga turut terpengaruh kerana tidak mahu 'ketinggalan kereta api' dalam merebut kekuasaan sehingga rela diperalatkan oleh PKR?
Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata, hari demi hari segala berkaitan dengan entiti orang Melayu semakin dilemahkan.
Mungkin juga PPSMI ada kelemahannya tetapi kenapa perlu orang Melayu hendak menyelesaikan masalah itu dengan turun ke jalanan, sedangkan dalam masa yang sama pihak lain hanya tersenyum melihat gelagat kebodohan kita?
Oleh itu sedarilah bahaya yang menanti orang Melayu. Jadikan isu PPSMI sebagai 'kejutan' kepada kita bahawa di sebalik apa yang dibantah, ada agenda lebih besar yang disembunyikan oleh pihak pembangkang.
Pas diharap menyedari agenda berkenaan jika mereka benar-benar memperjuangkan Islam demi kesejahteraan umat dan bukan hendak merebut kuasa semata-mata.

* Rencana tulisan Pengarang Rencana Mingguan Malaysia, Zul Bakar yang dicuplik dari Utusan Malaysia online.
---------------------------------------------------------------------------

Pertama kali saya ingin mengatakan, bahawa isu PPSMI perlu dilihat secara jujur dalam konteks dan pengertian bahasa semata-mata, bukan sudut politik yang bakal memberikan tafsiran berbeza dan penuh kecamuk. Mengapa saya mengatakan penuh kecamuk? Lihat kembali isu PPSMI ini apabila dikaitkan dengan politik, maka jadilah segala macam cerita yang didakwa oleh saudara Zul.

Saya melihat sejak enam tahun lalu ini bukan isu politik, tidak pernah menjadi soal atau isu politik, tetapi dijadikan kambing hitam politik pada zaman kontemporari. Dan entah bagaimana politik mendapat tempat dalam isu ini pun, masih saya gagal mengertikan melainkan kita benar-benar jujur dan peduli kepada persoalan jati dan imej bangsa. Lantas mari kita lihat isu ini daripada sudut bahasa semata-mata, bukan soal politik atau Datuk Hassan Ahmad, Datuk A. Samad Said telah menjadi bahan tunggangan politik, sebab dalam gerakan yang mereka pelopori pun sebenarnya banyak penyokong dan pengundi UMNO/BN. Bezanya, cinta dan sayang bahasa mereka amat tinggi. Cuba pandang dari sudut bahasa, tegaskan lagi BAHASA, ia tidak ada kaitan dengan PAS atau PKR, dan sekiranya UMNO pejuang hak dan nasib Melayu, inilah masanya untuk membuktikan kebenaran kata-kata itu, bukan sebagai degar cakap politik tanpa sebarang rupa, bentuk, tindakan dan kerja. Saya secara peribadi tidak pernah melihat agenda tersembunyi dalam isu PPSMI ini, melainkan ia perjuangan yang sebenarnya tidak mendapat iltizam dan kekuatan politik sejak beberapa tahun lalu. Hari ini yang dilihat hanya merupakan kemuncak kepada momentum kepada rasa tidak puas hati dan semakin tertekan sejak enam tahun lalu. Itu sahaja. Kalau PAS dan PKR membabitkan diri sama dalam isu ini, itu kegagalan UMNO yang tidak memahami atau tidak menganggap isu bahasa Melayu sebagai masih penting dan relevan dalam perjuangan.

Dan apakah perlunya PPSMI? Sedang sekolah aliran jenis kebangsaan kekal dengan bahasa ibunda masing-masing dan keputusan sains dan matematiknya tetap baik. Saya teringat kita ada Ambang Asuhan Jepun di UM yang menjadi pusat persediaan untuk menghantar pelajar kita ke Jepun. Apakah pelajar kita ini perlu belajar sains dan matematik dalam bahasa Jepun sepanjang 11 tahun bersekolah untuk melayakkan mereka menyambung pengajian?

Begitu juga keputusan menghantar pelajar perubatan ke negara bekas Kesatuan Soviet dan Eropah Timur. Apakah mereka belajar bahasa Rusia atau bahasa negara terbabit sejak darjah satu. Ini sekadar perbandingan dan fakta untuk kita fikirkan secara jernih dan jujur. Noktah.

1 ulasan:

lutfi berkata...

Woi, ada blog pun tak bagi tau aku ka?
Semoga mendapat hidayah depa ni. Amin!