Jumaat, 27 Mac 2009

Qua vadis UMNO...


Kata orang, sekali air bah, sekali pasir berubah. Apakah ungkapan ini akan diterima pakai dalam melihat dan menilai UMNO kontemporari, selepas menyaksikan berlakunya saf kepimpinan yang diketuai DSN. Tidak dinafikan parti ini menjadi sasaran kata-kata keji dan kecam paling tajam, namun, inilah pantulan sebenar yang menjadi imej UMNO sejak beberapa waktu kebelakangan ini, dilihat penuh sinikal sebagai organisasi yang penuh dengan kebejatan dan kebobrokan.

Orang melupakan UMNO yang sering diagung-agungkan sebagai berjasa membawa kemerdekaan dan menjadi juara bangsa Melayu sejak berdekad-dekad, dan para pejuang UMNO, khususnya perwakilan yang hadir pada perhimpunan kali ini, UMNO layak mendapat pengiktirafan dan habuan yang selayaknya, bahawa segala-galanya perlu diberikan kepada UMNO dan UMNO penentu segala-galanya, bermula dari lahir hingga ke mati.

Melihat dan mendengar kata-kata perwakilan menyebabkan saya menjadi marah dan kasihan pada masa yang sama, dan mahu mengatakan, bahawa orang kelihatan bodoh kerana perilaku bodohnya sendiri - bukan disebabkan orang mengatakan ia bodoh atau bangang tahap cipan.

Kasihan disebabkan saya melihat pada ketika zaman dan pemikiran sudah berubah, perwakilan terbabit masih berada dalam kepompong sendiri dalam tidak melihat bagaimana rakyat sudah berubah pemikiran.

Bagi saya, manusia spesies ini akan menjadi sokong membawa rebah kepada UMNO. Untuk menjadikan lebih jelas, cuba bayangkan jika semua urusan mendapat pinjaman atau projek perlu melalui orang UMNO, yang pastinya akan memihak kepada UMNO, apakah ini tindakan yang yang akan menguatkan UMNO? Jika perwakilan ini bercakap mengguna akal dan fikiran bijak, hal dan tuntutan bebal seperti ini tidak akan diutarakan.

Hakikatnya, tuntutan supaya semuanya perlu diberikan kepada orang UMNO dan melalui UMNO akan menyebabkan, dan membetulkan tanggapan bahawa UMNO tamak dan gila kuasa, maka selepas itu semakin ramai yang akan membenci dan tidak menyukai UMNO. Sikap dan pemikiran inilah menjadikan orang muak dan loya dengan UMNO dan sekali lagi, TOLONG jangan salahkan orang ramai jika mereka menolak atau tidak membenci UMNO.

Rasa terimakasih kepada UMNO dengan jasa yang dibuatnya selama ini tidak mungkin dilupa tetapi ia akan sekadar menjadi catatan sejarah sahaja jika mentaliti ketuanan dan kefeudalan UMNO terus dijunjung.

Apakah UMNO akan menempuh hari yang cerah? Saya bukan nujum Pak Belalang yang akan memberikan bayangan atau tafsiran, tetapi ada suara-suara yang marah dan tidak puas hati yang menyatakan, UMNO tetap dengan keUMNOan yang tidak mungkin dapat diubah atau dimasukkan dalam proses reformasi. Maka berkatalah apa sahaja mengenai pembaharuan dan transformasi, ia sekadar kata-kata kosong yang tidak memberikan erti andai tidak ada perubahan dalam pemikiran, dan soal inilah yang menjadi penyakit UMNO, sebenarnya.

Maka penjenamaan semula UMNO hanya tidak lebih daripada menyalin arak atau air daripada botol lama ke botol baru?

Kini, UMNO berada di persimpangan, mahu kekal dengan lagak dan gayanya, atau memilih untuk berubah, dan jangan berharap bahawa rakyat akan mengubahnya, kecuali menghumbannya ke dalam kolong sebagai barang buangan yang tidak boleh dikitar semula atau barang lusuh yang tidak berguna.

Untuk parti ini...sekali lagi pertanyaan...Qua vadis UMNO?

1 ulasan:

Tuan Cobra berkata...

Saya kira tadinya sudah mau Tidur, disebebkan dengan ungkapan kata2 dan huraian bahasa tersusun tulisan yg ampunya blog ini maka saya terpanggil untuk membuat komen kenapa UMNO itu semakin tenat. Sudah kita sedia maklum Sejarah akan menjadikan satu kenangan dan teladan hidup bagi kita yg d gelarkan umat manusia d muka Bumi ini.Memang d akui UMNOlah tulang Punggung bagi Pembentukan Kerajaan Negara ini pada mulanya. Tetapi dengan ada nya Kecacatan Pemimpin UMNO @ BN itu makah terbentuklah apa yang d katakan Kerepuhan @ kemumutan bagi sesebuah rumah yang telah usang itu. Sebagai Penganut Agama Islam dan kita tidak pernah membaca dan mendangar sebarang Ayat dan Hadith yang mengatakan "SEBUAH KERAJAAN UMNO @ BN YANG MEMERINTAH SEBUAH NEGARA YANG BERNAMA MALAYSIA YANG AKAN KEKAL UNTUK SELAMA LAMANYA JADI KERAJAAN". Nah d sini ia adalah berupa hanya KETAHANAN KEPIMPINAN itu sahaja dan bagaimana Pemimpin Mengayakan dan Mencorakkan Pentadbiran d mata Rakyatnya sendiri. Bagaimanapun robahnya UMNO@BN Fenomena PRK B.Gantang/Selambau yang baru saja tadi d menangi semula oleh PR (PAS/PKR), Nah nampak penolakan Rakyat d Semenanjung Malaysia terhadap kepimpinan UMNO@BN itu sudah tidak boleh lagi d sengkalkan. Bagi Parti Politik Komponen BN di Negeri Sabah/Sarawak hanyalah menunggu masa sahaja, Kerana Komponen BN d kedua dua Negeri ini memang Kurang senang dengan kepimpinan UMNO. Peristiwa bermula semenjak Kemerdekaan kedua dua Negeri ini, Kerana pemimpin2 kedua dua Negeri Sabah/Sarawak seakan akan diperalatkan oleh Kepimpinan UMNO dari Semenanjung sahaja. Oleh yang sedemikian WAJIBlah UMNO itu Berhati hati akan Kesilapan mendatang bukannya sahaja dari Perlantikan Jawatan dan Jabatan melahan Ucapan dan kenyataan haruslah d anggap sensitif.