Ahad, 5 Julai 2009

Menanti Rabu

Hari Rabu, 8 Julai nanti pada pukul 3 petang dijadualkan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran akan mengumumkan keputusan mengenai dasar PPSMI. Khabarnya, Astro AWANI akan membuat siaran langsung penguman itu. Ini merupakan hari penentuan kepada perjuangan kumpulan fanatik (istilah golongan establishmen) bahasa Melayu yang mahukan pengajaran sains dan matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu.
Dan semalam, seorang rakan sekerja berkata kepada saya, para pejuang penentang PPSMI sudah menang. Saya memahami maksud kata-kata itu biarpun tidak ada pengesahan atau kepastian mengenainya. Saya bukan tidak mahu bergembira jika itu suatu kemenangan, tetapi lebih memikirkan, apakah yang akan dikepilkan bersama-sama keputusan kerajaan itu nanti, dan sekali lagi saya menaruh kecurigaan terhadapnya. Saya juga memikirkan, apakah yang kerajaan mahu lakukan untuk mengkuhkan bahasa Melayu, pembelajaran dan pengajarannya kerana semakin ramai orang yang kononnya rakyat Malaysia dan juga bapak dan nenek moyang mereka berbahasa Melayu, alkisahnya tidak fasih bahasa ini.
Saya kira, tidak ada gunanya jika PPSMI ini ditarik balik atau dilaksanakan secara dwibahasa tetapi kerajaan mengambil tindakan mengkuhkan bahasa Inggeris melalui cara lain. Saya bukan anti atau menentang langkah untuk mengukuhkan bahasa Inggeris, tetapi saya melihat kita sudah berlebih-lebihan, sedangkan kedudukan bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan di negara ini tidak begitu meyakinkan saya. Ini perjuangan yang tidak pernah dilihat atau dipedulikan, atau jika adapun hanya sekadar kata-kata, bukan tindakan kerja yang menyeluruh dan berkesan.
Akhirnya, saya masih menaruh harapan, ada sesuatu yang lebih baik dan menyenangkan daripada keputusan menarik balik PPSMI. Saya sekadar menaruh harap!

Tiada ulasan: