Selasa, 1 Jun 2010

Nota Hari Gawai


Hari ini, 1 Jun mungkin agak terlambat untuk saya mengucapkan Hari Gawai, terutama kepada keluarga dan kekawan saya sejak kecil dulu dan zaman remaja, terutama semasa bersekolah dan belajar peringkat tinggi. Hari Gawai yang disambut secara rasmi pada 1 Jun memberikan pengertian yang amat besar kepada orang Bidayuh dan Iban di Sarawak, malah kepada penduduk secara umumnya.


Ini perayaan yang berkaitan dengan kepercayaan lama terutamanya sebagai tanda berakhirnya musim menuai dan bermula musim baru menanam padi (padi huma), dan lantaran itu pada masa dahulu sebelum diselaraskan, sambutan Hari Gawai ditetapkan oleh sesuatu kampung sepanjang bulan-bulan berakhirnya menuai dan menjelang bulan bermulanya kerja pembersihan hutan bagi musim penanaman baru. Malah, selain perayaan yang dinamakan sebagai Gawai Dayak ini, ada nama Gawai Antu dan entah gawai lagi - untuk nota, gawai bermaksud perayaan atau keraian.


Apakah makna Gawai bagi saya? Saya tidak bersikap prejudis kepada budaya sebahagian daripada leluluhur saya, malah saya berbangga dengan keturunan sebelah ayah saya ini, tetapi apakah makna kebanggsaan itu dalam geruh kemodenan dan pembangunan. Ini cuma pandangan dan sikap peribadi saya - saya menyambut perayaan ini saban tahun daripada saya masih budah hingusan, sehinggalah ke alam remaja, dan mula tercicir menyambutnya apabila saya memasuki alam pekerjaan dan kini, keinginan saya meraikannya juga tidak ada apa-apa.


Apakah saya seorang yang lupa leluhur dan budaya yang diwarisi? Tidak, pastinya, dan seperti dinyatakan tadi bagaimana perubahan pembangunan dan pemodenan telah menelan nilai-nilai budaya dan warisan yang ada pada sambutan Gawai ini. Saya tidak pernah melihat sambutan ini untuk pesta, temasya dan bersuka-ria dan saya faham, atas penat lelah setahun membanting tulang, masyarakatnya memang patut bergembira. Malah kehidupan moden dan penghijrahan ke bandar mengubah satu lagi tafsiran bahawa keraian ini merupakan perjumpaan dan pertemuan semula keluarga yang terpisah kerana merantau untuk bekerja.


Saya tidak mahu terlalu berasa sentimental atau berhiba bahawa saya mahu melihat ini warisan dan budaya asal yang perlu dipertahan, tetapi hambatan pemodenan dalam pemikiran telah meracun dan membunuh semangat dan pengertian Gawai. Sebab, sambutan Gawai - di kebanyakan kampung dan rumah panjang tidak lebih daripada majlis tari-menari dan disko, malah dangdut dan konsert dengan lagu-lagu pop. Budaya dan tradisi? Jangan ditanya letaknya di mana. Suasana seperti ini menyebabkan, pada tahun-tahun kebelakangan ini, tatkala pulang ke kampung untuk menyambut Gawai, saya tidak berasa teruja dan kehilangan keinginan.


Barangkali yang masih saya anggap kuat dalam menyatukan erti perpaduan dan mengeratkan hubungan adalah adat melawat dari rumah ke rumah secara beramai-ramai. Ini aspek yang saya lihat dan percaya betapa nilai kekeluargaan sesama anak kampung dan rumah panjang begitu utuh, dan selain adat ini, hari ini juga kesempatan untuk melawat rakan-rakan lama semasa di bangku sekolah rendah dulu.


Selebihnya, saya masih mengenang Hari Gawai sebagai suatu catatan sejarah tentang pengalaman lalu, tentang masa yang tidak akan kembali, tentang keriuhan dan keseronokan sambutan sebagai anak kecil dengan pakaian baru biarpun tidak ada wang saku, keseronokan bermain gong dan berjaga sampai ke dinihari atau subuh. Pada hari ini terutamanya, makanan memang mewah, itu belum termasuk lagi soal tuak atau inyok yang kini saya tidak sentuh atau cicip.


Cuma tahun ini, saya ada alasan untuk tidak menyambut Hari Gawai sebab anak saya ada peperiksaan pertengahan tahun, sedang di Sarawak, anak-anak sekolah bercuti awal dan selama tiga minggu. Dan mungkin satu hari nanti, saya menjangkakan, anak saya juga tidak mengerti dan memahami pengertian dan semangat sebenar Hari Gawai.


Selamat Hari Gawai..untuk keluarga saya, sahabat, kawan, rakan dan seluruh kominiti yang meraikannya...


Apakah gawai bagi orang seperti saya? Barangkali, ada yang beranggapan, saya orang yang lupa tradisi, lupa asal-usul atau warisan nenek-moyang, tetapi saya tidak pernah beranggapan begitu!

Jumaat, 14 Mei 2010

Penuliskah aku?


Seorang penulis, pastinya akan terus berkarya tanpa mengambil kira genrenya, atau sekurang-kurangnya diiktiraf oleh orang lain sebagai penulis. Saya, secara pastinya mahu mengatakan seorang penulis perlu menulis atau berkarya dan kemudiannya, menghasilkan buku atau penerbitan dalam bentuk cetakan, sama seperti yang dilakukan oleh teman seperti SM Zakir yang begitu bersungguh untuk berkarya.

Dan saya juga seorang penulis? Hakikatnya, saya sering memikirkan hal seperti ini dan menyoal, apakah aku seorang penulis, selayaknya, untuk dipanggil penulis, atau digelar penulis. Jika direnungi dan dihalusi soalan dan pertanyaan ini dan kemudiannya, ditambah dengan soalan, apakah saya seorang sasterawan, maka tentunya, dan saya semakin sedar, saya semakin tidak layak untuk meletakkan diri dalam perkataan 'seorang penulis' apatah lagi 'sasterawan.'

Mungkin, apakah yang perlu saya banggakan dengan beberapa cerpen yang pernah saya hasilkan untuk berebut beberapa hadiah suatu ketika dulu, atau menyumbang dalam antologi cerpen termausk yang diusahakan oleh mantan sifu kritikan sastera saya dulu, arwah Othman Puteh, juga beberapa karya yang tidak pernah diterbitkan, juga beberapa novel sama ada diterbitkan dalam bentuk novel bersiri atau buku, maka, sebenarnya, ia tidak memadai, atau tidak memberikan kelebihan.

Barangkali juga, disebabkan perasaan diri seperti ini juga, suatu masa dulu saya pernah memikirkan secara serius, secara tuntas, untuk tidak lagi menggelumangi dunia penulisan dan sastera untuk menghasilkan cerpen atau novel. Tetapi entah apakah sebabnya, saya memilih untuk menulis semula pada kadar yang amat minimum dan lebih terarah untuk mendapatkan sedikit (atau banyak) wang. Ya, menulis novel mengajar saya bahawa berkarya juga boleh memberi pulangan material atau kewangan dan jika kena pada usaha dan cara, ia merupakan suatu yang lumayan.

Tetapi hakikatnya, saya tidak mencapai tahap itu untuk berkarya sepetri beberapa teman yang kelihatannya memperoleh dan menikmati hidup yang lebih baik dengan menghasilkan novel, dan akhirnya, saya menyedari, saya juga bukan seorang yang layak untuk digelar novelis, penulis, apatah sasterawan yang tersohor dan terbilang, sedang pada tahap sekarang, saya tidak mempunyai apa-apa dalam bidang ini.

Barangkali, saya lebih selesa dengan profesion saya sebagai wartawan dan kemudiannya penerbit televisyen, jauh daripada kebesaran nama seorang penulis, apatah lagi sasterawan. Menikmati hidup sebagai penerbit pun bukanlah suatu yang penuh glamor, kerana, realiti dalam bidang penyiaran tidak menyelitkan sama makna glamor atau ternama. Kini, saya masih seorang yang perlu belajar dan sentiasa belajar dalam bidang penyiaran, masih perlu berfikir secara kreatif, selain perlu mempunyai ketajaman fikiran membuat analisis dan mendalami sesuatu isu atau perkara daripada pelbagai sudut.

Masihkah saya seorang penulis? Saya memilih untuk tidak meletakkan diri sebagai seorang penulis, novelis atau cerpenis, dan kadang-kadang saya memilih untuk melakukan kerja-kerja terjemahan, yang nampakhnya lebih lumayan pulangan kewangannnya. Dan dalam dunia sastera, saya sebenarnya mahu menjadi apa, atau mahu dijadikan apa?

Sekali lagi, saya tidak bernama dalam bidang ini. Itu yang pastinya dan saya tidak mempunyai sebarang perasaan terkilan atau mahu berbesar hati dengan kekurangan atau penglibatan saya yang amat rendah/minimum itu. Atau mungkin, dalam perjalanan waktu ini, dengan gelut tugas sebagai Penerbit, saya hanya orang pinggiran dalam sastera dan penulisan, yang tidak layak pun dianggap sebagai pemerhati atau peminat sastera.