Isnin, 27 Julai 2009

Bahasa Bukan Global


Apakah memperkatakan atau memperjuangkan bahasa bukan agenda pada abad 21 ini? Saya bertanya kembali apabila ada orang mengatakan begini: sekarang orang sibuk memperkatakan perihal global dan sedangkan kita sibuk bergaduh soal bahasa apakah yang digunakan untuk mengajar sains dan matematik.

Lagi-lagi soal bahasa yang terkait langsung dengan PPSMI. Apakah salah perjuangan untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dikembalikan kepada bahasa ibunda ini?

Saya tidak mahu menjawab dan mengulas perihal kata-kata orang ini kerana bagi saya, lebih baik saya berdebat dengan batang kayu daripada menyakitkan tekak dengan orang seperti ini. Jauh dalam hati saya mahu mengatakan, bahasa Melayu bukan soal global, tetapi kewujudan dan ketamadunan suatu bangsa, yakni kelangsungan jatidiri sesuatu bangsa terletak pada bahasa ibundanya, bukan bahasa yang ditut daripada bahasa asing. Bukankah ini juga kelak akan menunjukkan siapa rupa kita pada peringkat global kelak? Atau andaian saya ini sudah terkhilaf?

Mungkin orang ini terlalu obses dengan minda globalnya sehingga terlupa menyedari tanah tempat dia sedang berdiri. Ya, mungkin dan barangkali pasti!

Sabtu, 11 Julai 2009

1Malaysia 1Bahasa?

Seorang kenalan menghantar SMS: Bahasa Melayu kita begitu rendah martabatnya sehinggakan untuk digunakan mengajar sains dan matematik di sekolah Cina dan India pun kita tidak mampu tegas untuk laksanakan, maka janganlah tinggi harapan untuk mengantarabangsakannya. Di peringkat negara sendiri pun kita sudah gagal. Apa nak jadi dengan kita ... harap pejuang-pejuang bahasa yang selama ini dok berjuang terus lagi berjuang, alang-alang nak guna Bahasa Melayu, biarlah melata ke setiap jenis sekolah.
Itu SMS yang dihantar ketika para pejuang menyambut pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan PPSMI, dan sememangnya, pengumuman itu bukan bermakna perjuangan sudah berakhir atau kemenangan sudah dicapai, sedangkan, perjuangan sebenar baru bermula.
Hakikatnya, apakah kemenangan ini mencapai makna pemartabatan sebenar kepada bahasa ini jika penggunaannya dalam semua aspek atau bidang di negara ini, bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang. Contoh paling mudah, lihatlah di gedung membeli-belah yang papan-papan iklannya nampaknya lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Itu belum lagi mengambil kira penggunaan bahasa lain. Apakah ini merupakan satu aspirasi kepada perpaduan nasional sebenar dan pembentukan suatu bangsa Malaysia sebenar, atau kita mahu melahirkan suatu bangsa Malaysia yang tampil dengan imej tanpa pengenalan diri yang jelas.
Lantas saya tertarik untuk mengaitkan perjuangan bahasa ini dengan konsep 1Malaysia. Persoalannya, apakah wadah sebenar 1Malaysia ini jika dalam aspek bahasa kita sebenarnya gagal menampilkan 1Malaysia yang tampil dengan satu bahasa.
Saya memahami SMS teman itu dan sebelum kita melangkah jauh dengan memperkatakan apa juga yang tarafnya antarabangsa, maka kita perlu bekerja ibarat mengemaskan dalaman rumah kita sendiri dan sebenarnya, kegagalan atau sikap bertolak-ansur seperti dalam SMS itu merupakan satu tempelakan kepada martabat, kepentingan dan nilai bahasa Melayu.
Jadi apakah pemimpin politik kita memikirkan bahawa 1Malaysia itu juga perlu memasukkan satu bahasa sebagai ciri utamanya. Jika kita gagal mewujudkan 1 Malaysia yang satu bahasanya, maka sebenarnya, 1Malaysia merupakan satu retorik dan slogan politik tanpa sebarang kekuatan dan makna, dan tidak perlu kita bercakap tentang kemajmukan dan kepelbagaian yang digaul memnjadi satu wajah kepada 1Malaysia.
Barangkali kita perlu melihat kepada negara seperti Amerika Syarikat yang didakwa negara kawah pelakuran dengan pelbagai ras dan etnik dunia bermastautin, tetapi menetapkan secara tegas bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kepada satu negara AS. Maka apakah Malaysia dan para pemimpinnya belajar aspirasi ini, atau 1Malaysia itu sama sahaja seperti kita bercakap mengenai Wawasan 2020, Islam Hadhari atau pelbagai lagi.
Saya kira, ini bukan sekadar perjuangan pejuang bahasa tetapi sebagai manusia yang hidup dan mahu mati di bumi Malaysia, kita wajar memikirkan, juga bekerja dan tegas untuk menyatakan, 1Malaysia juga sewajarnya satu bahasa. Jika kita tidak dapat memupuk dan memartabat pengunaan bahasa nan satu dalam negara ini, maka 1Malaysia juga tidak memberikan sebarang erti.
Jadi persoalannya, kenapa tidak, kenapa bukan. Dan kenapa ...