Khamis, 18 Jun 2009

Kerana sejarahnya


Isu yang mencetuskan emosi kebanyakan rakyat Malaysia dan dimainkan penuh emosi oleh media di negara ini. Wajarkah Chin peng pulang ke Malaysia? Banyak perdebatan dan nampaknya media lebih memilih untuk menyahkan Chin Peng, bekas Setiausaha Agung PKM, seperti hanya dosa yang tidak terampun.

Inilah wajah hitam sejarah, pahit dan duka, antara perjuangan dan petualangan, ia hanya garis nipis dan kita boleh berada pada satu bahagian hanya dengan satu huruf atau perkataan yang tercatat dalam sejarah.

Saya generasi yang lahir tidak dalam keributan komunis atau anak seorang soldadu yang pernah menentang kumpulan ini.

Apakah Chin Peng pejuang? Pandangan popular dalam media dan politik, dia petualang dan pengkhianat dan pembunuh kejam. Bagi golongan simpati dan penyokongnya, melihat sesi terbaik manusia ini sebagai pejuang - menentang Jepun dan kemudian pemerintahan London, sebelum menentang tentera kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia.

Berikut soal jawab Syed Husin Ali dengan akhbar Oriental Daily yang saya peroleh. Satu bahagian saya telah edit memandangkan ia tersasar dari isu Chin Peng. Mungkin boleh diperdebatkan lagi?


SOALAN 1: Haruskah Chin Peng diberi peluang pulang ke Malaysia? Apakah sebabnya?

JAWAB: Sangat aneh soal Chin Peng ini dibesar-besarkan sebelum, semasa dan selepas PM Najib melawat negara China komunis. Lebih aneh lagi kenapa Chin Peng hendak disekat pulang kerana Abdullah C.D., Pengerusi PKM,pernah diraikan oleh Sultan Azlan Perak dan Rashid Maidin, seorang pemimpin PKM terkenal, pernah diterima bertemu dengan bekas PM Mahathir, sebelum mereka berangkat ke Mekah beberapa tahun lalu. Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh diampunkan. Tun Daim dan beberpa pemimpin Umno pula diketahui melawat tempat kediaman sebuah pasukan PKM yang diketuai Rashid Maidin dan menghulurkan derma untuk membina surau mereka. Adakah sekiranya Chin Peng Melayu sikap dan layanan terhadapnya akan berlainan?Kita tahu Chin Peng sudah berumur 84 tahun. PKM telah menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 dan meletakkan senjata. Bahkan mereka memusnahkan senjata mereka, berikutan perjanjian itu. Pengaruh komunisme di Malaysia dan di seluruh dunia merosot, jadi saya tidak nampak Chin Peng boleh menimbulkan masalah keselamatan. Mungkin masalah yang ditimbulkan oleh penjenayah-penjenayah sekarang lebih mengancam.Benar, ada juga keganasan serta kezaliman yang pernah dilakukan oleh sesetengah anasir komunis. Tetapi bukankah penjajah British dan Fasis Jepun juga banyak melakukan kezaliman ke atas rakyat negara kita ini? Mengapakah mereka mudah saja dimaafkan bahkan dijadikan teladan? Kenapa tidak ada tindakan terhadap tentera British yang membunuh beramai-ramai rakyat tidak berdosa di Batangkali dulu, misalnya? Kenapa tiada bantahan terhadap tentera fasis Jepun yang menjadikan ramai wanita sebagai hamba sex?Jikalau kita boleh memaafkan anasir-anasir zalim penjajah dan fasis tersebut, dan meraikan para pemimpin PKM yang lain, kenapa masih dendam kesumat terhadap Chin Peng? Beliau memimpin PKM berperang gerila terhadap penjajah Inggeris. Ramai tentera British beserta tentera Gurkha, Fiji dan Kenya yang berkhidmat dengan British turut terbunuh. Mereka mempertahan kepentingan penjajah British di Malaya ketika itu.Begitu jugalah ramai tentera dan polis Melayu dan sebilangan kecil bukan Melayu yang terpaksa bekerja dengan British untuk menyara hidup.Secara disedari atau tidak mereka mula-mula mempertahan kepentingan penjajah British. Ada yang terbunuh ataupun tercedera. Begitulah akibat peperangan. Sudah tentu kita bersimpati penuh kepada keluarga mereka yang terbunuh itu. Peranan mereka dalam sejarahpun perlu dinilai.
SOALAN 2: Dari segi sejarah, adakah PKM telah memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan Negara?

JAWAPAN: Saya bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh Tun Ismail, bekas TPM, dalam sebuah ucapan sewaktu menerima ijazah kehormat dari USM pada bulan Jun 1973, jikalu tidak silap. Beliau mengakui setiap golongan telah memberikan sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan. Ini termasuk golongan kiri. Pada pendapat saya, perjuangan bersenjata PKM menentang penjajah British telah menolong mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan negara.Saya membaca bahawa semasa perbincangan perjanjian perdamaian, perwakilan PKM minta supaya dirakamkan peranan parti itu dalam perjuangan kemerdekaan. Walaupun semasa rundingan ketua perwkilan Malaysia mengakui peranan PKM, tetapi perwakilan Malaysia tidak bersetuju ini dimasukkan ke dalam teks perjanjian. Akhirnya disetujui oleh pihak perwakilan Malaysia supaya perkara ini diserahkan untuk dibincang dan ditulis oleh ahli-ahli sejarah dan lain-lain. Sepatutnya sekarang ini kita memulakan dan membenarkan proses kajian dan perbincangan akademik yang objektif.


DR SYED HUSIN ALI

Timbalan Presiden KEADILAN

Delivered to you by / Dihantarkan kepada saudara melalui:BIRO KOMUNIKASIPARTI KEADILAN RAKYATA-1-09, Merchant SquareNo. 1, Jalan Tropicana Selatan 147410 Petaling JayaTel: +603 7885 0530Fax: +603 7885 0531E-mail: komunikasi@keadilanrakyat.orgWeb: https://webmail.astro.com.my/exchweb/bin/redir.asp?URL=http://www.keadilanrakyat.org