Rabu, 5 Ogos 2009

Alahai pemandu teksi


Seorang kakitangan saya merungut, dikenakan bayaran teksi dari Puduraya ke Bangunan Bursa Malaysia yang letaknya hanya beberapa ratus meter sebanyak 30 hengget, atau RM30! Tentu terkejut, bukan. Namakan saja terkejut beruk, terkejut babi, terkejut gajah atau terkejut apa juga, tetapi itulah fenomena dan barah pemandu teksi di negara ini, terutamanya di Kuala Lumpur, kota nan indah permai ini.

Lebih menarik lagi insiden berlaku hanya beberapa hari selepas mereka menikmati kenaikan kadar tambang. Saya tidak mempertikaikan kenaikan itu, tetapi lebih memikirkan sikap lebih parah berbanding lintah darat dan penghisap darah pemandu teksi yang bersikap menjadi dialah raja di jalan raya. Dan, ini hanya salah satu cerita perihal kebejatan dan kebobrokan pemandu teksi.

Saya tidak menuding kepada semua pemandu teksi sebab saya pun ada kawan yang rezekinya memandu teksi, tetapi sikap sebilangan mereka yang saya temui, amat, amat, amat menjengkelkan.

Saya jarang menaiki teksi, kecuali untuk ke lapangan terbang atau dari lapangan terbang untuk ke rumah. Selalunya, teksi untuk ke lapangan terbang (LCCT atau KLIA) saya tidak menghadapi masalah dengan sikap mereka, kecuali rungutan terhadap syarikat pemilik permit yang menjadi bapa kepada penghisap darah, dan saya anggap itu masalah mereka.

Cuma saya berasa amat, amat, amat jengkel dengan beberapa pemandu teksi yang saya atau kami naiki dari lapangan terbang ke rumah, yang bagi saya memperlihatkan sikap tidak bersyukur, sering merungut dan melepaskan segala rasa tidak puas hati terhadap segala yang ada dalam kehidupan mereka. Malah, ada yang mempertikaikan tambang yang dikenakan oleh pengurusan teksi lapangan terbang yang didakwanya tidak berbaloi.

Apakah yang tidak berbaloi jika misalnya dari lapangan terbang ke rumah kami dikenakan bayaran RM84 berbanding RM70 yang dikenakan ketika dari rumah ke lapangan terbang. Malah jika meter tambang digunakan, kadarnya pun tidak mencecah RM70. Saya tidak faham, ada jenis pemandu teksi ini yang bagi saya tidak tahu bersyukur dan hanya memikirkan hidupnya sentiasa susah dan hidup ditindas.

Cuma, saya tidak mahu membidas secara bersemuka dengan orang jenis ini dan lebih suka memerhati setiap seorang daripada mereka, dan membuat penilaian, dan saya mendapati hidup mereka hanya ada ketidakpuasan dan ketidakpuasan terhadap segala-galanya dalam hidup ini.

Bagi saya, kehidupan pemandu teksi masih lebih baik berbanding ramai lagi rakyat Malaysia, dengan pelbagai kesukaran dan kepayahan, dan mereka sepatutnya belajar untuk menjadi manusia yang pandai bersyukur dan tidak memikirkan tenaga mereka diperah habis-habisan oleh satu pihak dan mereka menindas pihak lain pula, iaitu penumpang/pengguna.

Saya terfikir juga, apakah hidup ini hanya untuk merungut dan merungut sampai ke liang lihad?

4 ulasan:

benuasuluk berkata...

Luq,
baru ni masa aku naik teksi ke KLIA nak pi Kuching, dapat pemandu teksi yang jujur bercerita. Kata dia, kos teksi bawa kita dari KL ke KLIA sebenarnya 8 henngget saja. Kita bayar 70. Lagi satu kata dia, tak semua bas yang kita naik dengan bayar 10 hengget tu ada permit. Macamana hah? Kesimpulan aku, kita sekarang ni dah jadi jenis haram jadah semuakah?

Luqman Hakim QA berkata...

yah! hang memang betui tang kos tu. tang tak dak permit dan haram jadah tu, tu kerja bisnes ali baba, kong kalikong, kroni dan entah apa lagi yang menjadikannya haram jadah!

S.M. Zakir berkata...

hidup untuk memungut bukan merungut.. baru boleh jadi kapitalis

NASSURY IBRAHIM berkata...

Aku selalu naik teksi En Azmi. Baik punya draver. Bila turun KLIA, aku call dia datang ambil. Tambang ok.