Isnin, 25 Jun 2012

Menyuburkan demokrasi


Meraikan dan menyuburkan demokrasi dalam doktrin politik kotemporari merupakan pegangan atau prinsip dalam memastikan demokrasi sentiasa menjadi tunjang utama politik dengan kepelbagaian isme, idealogi atau anutan politik.
Dalam konteks Malaysia, meraikan dan menyuburkan demokrasi melalui sistem kepartian dan pilihan raya masih menjadi teras yang dipertahan dan sentiasa melalui proses pematangan, bermakna, kita sentiasa dan perlu bergerak dan berubah demi pembaikan dan kebaikan.

Pastinya, dalam soal ini, meraikan dan menyuburkan demokrasi merupakan suatu proses berterusan yang juga memerlukan dokongan semangat setiap warga, juga sebagai tanggungjawab yang dipikul dan disempurna.

Namun, tugas meraikan dan menyuburkan demokrasi itu akan terhenti apabila seseorang warga tidak berpartisipasi dalam proses pilihan raya, sebaliknya, membiarkan atau mengabaikan tanggungjawabnya kepada bahu pihak lain.

Kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai kira-kira 3.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sewajarnya membuka suatu lembaran dan tanggapan baru dalam tatacara meraikan dan menyuburkan demokrasi.

Hakikatnya, ini bukanlah fenomena baru dalam amalan demokrasi kerana persoalan partisipasi menjadi persoalan dan permasalahan besar termasuk di negara-negara demokrasi besar seperti Amerika Syarikat dan Jepun yang mana proses pilihan rayanya hanya membabitkan sebahagian daripada pengundi berdaftar, malah pada tahap kritikal tidak mencapai separuh daripada pengundi berdaftar. Itu mengambil kira pengundi berdaftar, sedangkan yang tidak berdaftar atau tidak mahu mendaftar dilupakan.

Jika kita berfikiraan secara empirikal atau bermain dengan angka, maka 3.6 juta bukanlah suatu angka yang kecil. Juga, apabila kita menilai cara berfikir dan bertindak golongan ini, maka kita dapat melihat ada suatu aliran atau isme yang mencabar nilai demokrasi.

Tentunya, perkara atau perkataan paling mudah adalah menghumban segala kata kutukan dan menyalahkan kelompok ini sebagai rakyat yang tidak bertanggungjawab atau kelompok yang rugi kerana tidak menggunakan hak mereka sebagai rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan.

Kelompok ini pastinya mempunyai pandangan dan kepercayaan sendiri di luar daipada pemikiran umum mengenai meraikan dan menyuburkan demokrasi, tetapi apakah umum dan institusi politik mahu memahami segala perbezaan pandangan dan sikap ini.

Usaha dan galakan mendaftar pengundi baru merupakan sebahagian daripada kesungguhan untuk membawa kelompok ini ke dalam arus perdana sistem demokrasi melalui kempen dan galakan, tetapi ia berdepan dengan kekurangan dan kelemahannya sendiri dalam memberi kesan signifikan kepada angka terbabit.

Dalam pemikiran tidak peduli, segala bentuk galakan dan kempen tidak memberi makna atau kesan yang diharapkan. Persoalannya, apakah mekanisme yang digunakan untuk menarik dan mendaftar kelompok ini benar-benar berkesan secara pelaksanaan, dan apakah keyakinan dan kemahuan mereka berjaya ditambat atau dimenangi.

Ini adalah pertarungan panjang yang tidak pernah ada dalam teori demokrasi, atau mana-mana sistem yang menggunakan pemilihan, akan ada kelompok yang mengecualikan diri daripada proses, dan setakat ini, tidak ada rumusan tuntas mengenai punca kepada sikap sebegini.

Acapkali perbincangan, terutama dalam media mengenai kelompok ini lebih menghala kepada sikap kelompok ini dengan segala macam alasan, termasuk sibuk dan malas yang membawa kepada keengganan untuk mendaftarkan diri.

Sama ada mahu menerima atau mempercayai alasan seperti ini, mengatasinya dengan apa cara juga pastinya tidak menyelesaikan secara drastik angka 3.6 juta orang yang tidak berdaftar.

Pastinya, dalam angka yang begitu besar itu, menyajikan segala jenis alasan atau sebab akibat yang memerlukan usaha yang amat renyah untuk dihurai dan diatasi, andai kita mahu melihat suatu penyelesaian tuntas.

Kembali kepada persoalan alasan yang pelbagai, hampir tidak pernah diperkatakan, apakah sikap sebenar kelompok ini terhadap sistem demokrasi dan pilihan raya, sekurang-kurangnya melihat dan menilai daripada sudut isme dan falsafah demokrasi itu sendiri.

Terlalu mempercayai bahawa kurang tanggungjawab dan kesedaran akan menyebabkan kita mengabaikan atau melupakan ada sisi-sisi lain yang wajar diperbetulkan, untuk menarik keyakinan dan kepercayaan kelompok ini, bahawa demokrasi adalah sistem terbaik dalam peradapan politik; tatacara terbaik dalam meraikan dan menyuburkan perbezaan isme dalam politik, juga, politik kepartian dan demokrasi adalah untuk meraikan perbezaan dan bukan meluaskan perbezaan dan perpecahan.

Perilaku sebagai manusia politik, walau apa jua rupa dan warna, akan menjadi citra yang akan menentukan sikap dan pandangan suatu kelompok warga, yang melahirkan suatu bentuk pemikiran dan persepsi, dengan itu akan meletakkan suatu garis bahawa demokrasi yang bersifat penyertaan warga tidak memberikan inspirasi kepada mereka, seolah-olah, demokrasi tidak memberi sebarang makna atau pengertian, atau keengganan atau tidak menyertainya, bukan suatu yang keugian atau beban tanggungjawab.

Apa pula peranan SPR dan parti-parti politik? Pelbagai kempen galakkan dan pendaftaran yang dilakukan, namun kejayaan menarik sebahagian besar kelompok ini mencetuskan suatu kegawatan isme, yakni apakah kepercayaan politik sebenar kelompok ini. Apakah mereka sudah tidak yakin atau dingin kerana kekecewaan atau perasaan tertentu hingga mereka amat tega untuk menjauhkan diri, dan pelbagai alasan yang diberikan tidak lebih sekadar tabir di sebalik kebenaran yang mereka sembunyikan dalam diri.

Maka di sini, semua pihak khususnya ahli politik dan penjawat awam berkenaan memainkan peranan mengikut cara sendiri untuk menembusi pemikiran yang melindungi kelompok ini.

Menyalahkan kelompok ini tidak pernah menjadi jawapan kepada permasalahan atau fenomena ini. Mendidik kelompok ini mungkin satu cara, tetapi sewajarnya, biarlah seumpama meluntur buluh, tetapi kelompok ini bukanlah muda buluh.

Kesedaran, akan datang dengan adaanya kepercayaan dan keyakinan baru terhadap politik, orang politik dan sistem demokrasi. Penyelesaian undang-undang seperti pendaftaran dan mengundi wajib boleh menjadi langkah penyelesaian dalam memberi kesan signifikan kepada angka 3.6 juta itu, tetapi, apakah ada kesungguhan untuk melakukannya?

Juga, terfikirkah kita akan permasalahan yang timbul apabila berjaya memaksa kelompok yang enggan berpartisipasi ini dalam proses demokrasi ini kelak.

* Ini tulisan aku dalam portal berita Mysuara.net

Tiada ulasan: