JIKA dilihat tanpa menilai, pasti kita akan beranggapan bahawa
terdapat kebenaran hitam di sebalik isu jual-beli kapal selam Scorpene.
Dan hakikatnya, ia merupakan mainan media yang dibuat secara berkesan
dan berterusan sehingga menjadi lazim seterusnya mengumpul rasa percaya
dan yakin.
Maka ternampak kini membesar-besarkan sesuatu isu atau perkara
sehingga terkeluar daripada batas kebenaran semakin menular tanpa
mempedulikan apakah kesan dan pentingnya kepada semua pihak. Itu belum mengambil
kira apakah kebaikan dan keuntungan yang dibawa daripada perbuatan menjaja
sesuatu perkara yang pada hakikatnya tidak lebih daripada perbuatan putar alam
sebagaimana yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan SUARAM dalam isu kapal
selam Scorpene. Tidak perlu bertanya, apakah faedah atau kemahuan pihak ini di
sebalik segala gembar-gembur yang mereka lakukan, seolah-olah menjaja
cerita mengenai rasuah atau bayaran bawah meja dalam urusan pembelian
bernilai RM7 bilion menjadi denyut nadi mereka.
Tetapi kita juga perlu menilai dan melihat semula sikap mereka ini,
jika daripada segi adap, tidak pernah mahu menghormati maruah atau harga
diri orang yang dipalit dengan pelbagai cerita seolah-olah jenayah
sudah dilakukan dan semua pihak yang dilibatkan akan didakwa, disabit
dan dihukum.
Tuduhan yang dilemparkan pada hakikatnya menjadi fitnah yang
keterlaluan berbanding situasi dan cerita sebenar, seolah-olah menjadi lebih
sudu dari kuah, atau apa yang orang katakan, nasi kuah taruk (letak) atas,
atau bahasa mudah dan jelasnya, melebih-lebih.
Ramai yang kurang jelas mengenai perihal siasatan pembelian kapal
selam Scorpene sehingga melihat dan mempercayai, ada unsur jenayah di
sebalik urusan jual-beli, tetapi perlu difahami, tata perundangan di Perancis,
di mana-mana aduan mengenai kes ini difailkan, agak berbeza berbanding
di Malaysia – satu proses adalah siasatan, satu proses lagi perbicaraan,
dan kedua-duanya melalui mahkamah dan hakim, untuk kes di Perancis.
Berbeza di sini adalah aduan sesuatu salah laku jenayah yang
didakwa dilakukan oleh sesuatu pihak akan dibawa kepada mahkamah yang
membenarkan hakim melakukan siasatan atau mengkaji kes secara bebas. Jadi apa
yang berlaku dalam kes Scorpene ini adalah, SUARAM memberi gambaran seolah-olah
mahkamah dan hakim terbabit sedang melakukan perbicaraan dan membuat publisiti
seolah-olah sudah terbukti jelas ada jenayah yang dilakukan, disembunyikan dan
kini sedang didedahkan.
Melalui cerita yang digembar-gemburkan dalam media, seolah-olah hukuman atas
kesalahan sudah terbukti, maka DCNS kononnya membayar wang sejumlah EURO 114
milion kepada Perimekar Sdn Bhd, maka semua orang yang dikaitkan telah melakukan
suatu kesalahan jenayah.
Apakah faedah dan pentingnya mainan ini kepada rakyat dan
Negara? Memperjuangkan wang cukai rakyat, atau apa? Atau kepentingan puak
tertentu yang sebenarnya hanya mahu memperlihatkan betapa buruknya situasi
urus tadbir kewangan dan ketelusan di Malaysia.
Mendahului hasil siasatan dan menjadikannya bahan publisiti merupakan suatu
tindakan yang tidak wajar, apatah membabitkan kepentingan semua pihak dalam
Negara sama ada kerajaan, negara dan rakyat.
Hakikatnya, mudah untuk kita menconteng arang di muka,
berbanding membasuhnya, dan jika benar apa yang digembar-gemburkan tidak
lebih daripada proses siasatan yang pada akhirnya terbukti tidak benar
dakwaan yang ditabur, bayangkanlah berapa besar kerosakan yang sudah
dipalitkan.
Tentunya, untuk merawat dan memulih bukan kerja sehari dua kerana di
sini, kita memasuki dunia persepsi di mana kumpulan ini meletakkan
persepsi kental dalam pemikiran rakyat, ada jenayah serius dan berat, dan di
depan negara lain, betapa teruknya Malaysia ini.
Kembali kepada isu Scorpene, terasa SUARAM sudah pergi terlalu jauh membawa
isu ini ke tengah arena media sedangkan, siasatan yang dilakukan adalah
bertujuan mencari fakta dan bukti, dan bukannya bukti nyata dan kukuh yang akan
dikemukakan kepada hakim untuk menentukan salah atau benar.
Perlu diketahui juga siasatan yang dijalankan tidak sekadar
membabitkan pembelian yang dibuat oleh Malaysia, tetapi termasuk Taiwan dan
Pakistan dan isu sebenar yang dibangkitkan adalah kes korupsi antara DCN
(pembuat kapal selam) dengan ahli dan parti politik Perancis.
Maka ada wajarnya, SUARAM dan pembangkang perlu bersikap jernih dalam
isu ini, agar tidak bermain silap mata dengan persepsi dan fakta melalui dakwaan
dan tuduhan yang akhirnya menjadi fitnah.
Apakah kita mahu terus hidup dengan melemparkan fitnah, memusing fakta
dan kebenaran hanya memuaskan hati dan nafsu sendiri? Tepuk dada tanya
selera.
* Kopi dan pes dari MySuara.net.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan