Isnin, 25 Jun 2012

Tantangan Pascamoden

Beberapa peristiwa yang berlaku di Malaysia ini, khususnya Kuala Lumpur dalam apa yang dinamakan tuntutan hak, kesaksamaan dan keadilan seperti himpunan BERSIH dan LBGT diangkat sebagai suatu yang mempunyai kesahannya sendiri.

Namun dalam aliran pemikiran baru seperti wujudnya Atheisme Baru dan juga apa yang dinamakan sebagai Gerakan Masyarakat Sivil, kita perlu memikirkan secara jernih apakah sebenarnya makna di sebalik segala peristiwa, kejadian atau pelbagai tuntutan yang dikemukakan.

Tentunya, berdepan dengan perkara seumpama itu memerlukan suatu rangka pemikiran dan gerakan ketamadunan dan penyuburan pemikiran yang berkerangka yang sesuai dengan masyarakat, amalan, budaya dan tentu sekali dengan agama Islam.

Apakah umum masyarakat di Malaysia menyedari tentang perihal sebenar agenda dalam apa yang dinamakan sebagai Gerakan Masyarakat Sivil? Apakah ia suatu gerakan dalam memaju masyarakat dan negara menuju kemajuan dan ketamadunan?

Hakikatnya, gerakan ini yang dipelopor oleh kelompok tertentu di negara ini sebenarnya adalah suatu bentuk penerobosan pemikiran yang mengubah cara berfikir dan bertindak kita dengan kesan akhirnya, kita akan berfikir, bertindak dan berbudaya seperti kuasa di belakang penggerak kelompok ini.

Cabaran sebenar agama, bangsa dan negara hari ini adalah bagaimana menangkis serangan pemikiran dan falsafah kehidupan pascamoden yang melihat kehancuran dan perpecahan sebagai asas dan pembaharuan.

Maka dengan itu kita boleh memahami bahawa ia sebenarnya suatu bentuk imperialisme baru dalam zaman moden selepas penjajahan dan penguasaan ekonomi. Persoalannya, apakah kita sedar dan memahami apakah sebenarnya gerakan ini?

Inilah hegemoni baru sebenar Barat, khususnya Amerika Syarikat yang mahu meneruskan penguasaannya secara terselindung terhadap dunia melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan gerakan melalui diplomasi awam.

Lantas, menggunakan NGO merupakan langkah strategik dan topeng yang perlu diawasi supaya kita tidak terpedaya dengan niat dan kemahuan sebenar dalam penjajahan baru ini melalui agenda nilai sejagat, kesamaan agama dan hak asasi.

Dan dalam konteks Malaysia kontemporari, kita boleh melihat perkara atau peristiwa seperti Himpunan Bersih, LBGT dan penularan fahaman liberalisme agama yang sebenarnya digerakkan atas landasan Gerakan Masyarakat Sivil yang merupakan idea dan pemikiran penjajahan Barat.

Inilah perkara di sebalik peristiwa yang kita sering gagal fahami dan tanggapi apabila kita terlalu memikirkan kehendak dan tuntutan, atau mengikuti terlalu taksub kelompok atau kumpulan kita atas nama perjuangan, keadilan dan kesaksamaan.

Inilah agenda Order Dunia Baru, suatu bentuk baru penjajahan kuasa Barat ke atas dunia dengan mengeksport dan memaksa nilainya diterima pakai oleh negara-negara lain, termasuk Malaysia.

* Tulisan ini diterbitkan dalam portal berita Mysuara.net

Tiada ulasan: