Sabtu, 13 Jun 2009

Semarak penulisan

Gambar pertemuan penulis Alaf 21 di Hotel De Palma, Shah Alam.

Yang seorang ni penulis yang tak glamer dalam ramai-ramai tu. Duduk pun senget.

Yang serius baju merah ni sebenarnya boring!


Muka-muka gembira dapat cek masing-masing.

==================================================

Catatan Aku:



Siang tadi saya meluangkan masa menghadiri pertemuan dengan penerbit buku, Alaf 21 di sebuah hotel di Shah Alam, iaitu kegiatan yang boleh dikatakan diadakan sekali dalam tempoh setahun dua, untuk berbicara mengenai pengkaryaan, penerbitan dan sebagainya. Begitulah lazimnya Alaf 21, akan menjemput kami, para penyumbang karya untuk majlis perjumpaan seumpama ini, selain beberapa jemputan lain, yang biasanya dihidangkan dengan makanan. Kesempatan yang kami gunakan untuk bertanya khabar dan berbual dengan rakan-rakan penulis yang amat susah ditemui selain majlis seumpama ini.
Tentunya juga kenyataan Pengarah Urusan Karangkarf, syarikat induk Alaf 21, Hussamuddin Yaacub mengenai fenomena penerbitan buku sejagat pada desawara ini memberikan gambaran yang melegakan. Tatkala ekonomi dunia yang dikatakan mengecut, pasaran dan permintaan buku dikatakan bertahan, malah berkembang. Ya, siapa sangka dalam keruwetan sebegini ada sinar dan cerah yang tidak terduga.
Beliau menyatakan, ada kemungkinan keadaan ekonomi yang gawat menyebabkan banyak jiwa yang resah dan kacau, dan jiwa-jiwa ini memilih buku untuk mengubat segala kerancuan yang mengganggu hidup. Pandangan Hussamuddin itu jika diperhalusi memang ada kebenaran dan kekuatannya, dan membuktikan buku tetap menjadi teman dalam apa jua situasi kehidupan, sama ada ketika kita senang, apatah lagi sedang dihimpit duka dan lara. Dan tentunya, buku yang konvensional - dicetak pada kertas dan jilid - masih mempunyai tempat dan sentiasa mendapat tempat biarpun pernah diperkatakan bahawa kehadiran internet bakal memberi kesan kepada industri buku. Bagaimanapun jangkaan itu terbukti tidak bertahan dan buku tetap terjual jika ia memenuhi selera pembaca dan dipromosi secara gigih.
Dan pastinya mengingati kata-kata Cik Nord, orang kuat Alaf 21 yang sentiasa memberi nasihat dan motivasi kepada para penulisnya untuk terus berkarya, dan kali ini beliau menyatakan bahawa menulis merupakan suatu bentuk saham kita di dunia untuk kehidupan lain kelak. Saya menilai kenyataan beliau secara positif bahawa penulisan harus membawa kebaikan dan sewajibnya bermula dengan niat untuk mendapat keredhaan dan keberkatan-NYA.
Tetapi saya bukan seorang penulis yang hebat dan mempunyai gagasan besar untuk memikul tanggungjawab itu, dan merasakan betapa usaha saya selama ini masih kecil dan berserah kepada-NYA. Saya dengan kemampuan yang saya ada, dan dengan daya yang masih berbaki memikirkan untuk memberi terbaik dari keupayaan saya itu untuk berkarya, seperti yang saya selalu tanggapi, saya mahu menulis untuk orang membacanya, tidak kisahlah 1,000, 10,000 atau 20,000 dan mungkin lebih dan mungkin penulisan itu akan memberi sedikit kebaikan kepada pembacanya. Ya, barangkali.
Cuma saya masih mengatasi kelemahan saya seperti tidak mempunyai disiplin dan konsistensi dalam penulisan, tidak menggunakan tenaga fizikal dan mental dalam bidang yang saya minati ini, secara tuntas. Saya amat sedar tentang perlunya aspek ini untuk berkarya secara terus-menerus, bukan sekali timbul, tenggelam lama dan saya merasakan banyak masa yang dilalui tanpa dicurahkan dalam penulisan.
Saya teringat sekali lagi kata-kata Cik Nord, dan saya berharap kelewatan saya menyiapkan karya yang sepatutnya sudah diterbitkan bukan disebabkan segala kelebihan dan daya yang saya pernah miliki dalam berkarya sebelum ini sudah dicabut oleh Yang Maha Kuasa. Dan untuk membuktikannya, saya harus bergerak, mungkin selepas ini, esok...dan bukannya beberapa bulan lagi. Mungkin saya perlu membetulkan beberapa hal dalam hidup ini untuk saya terus-menerus menulis, berkarya penuh inspirasi dan cekal.
Dan pada penghujung majlis itu, kebanyakan kami mendapat habuan hasil penulisan kami yang alkisahnya bertaraf popular, dan saya tahu sebahagian besarnya mendapat royalti yang lumayan berdasarkan jumlah buku yang mereka pernah hasilkan dan juga naskhah yang terjual. Lima angka saya jangka. Saya? Tidaklah banyak sangat tapi rasanya boleh menggantikan bonus saya yang terlepas tempoh hari.

11 ulasan:

D'Rimba berkata...

Tahniah atas usaha murni martabatkan bahasa Melayu. Sila tunjuk ajar.........

sahrunizam abdul talib berkata...

Luq,

Benar. Kadangkala kesibukan rutin kerja juga kerap kali membunuh kretiviti. Apa pun tahniah. Dapat habuan. Itu juga tidak kurang pentingnya sebagai 'obat kuat' untuk terus menulis.

rozais al-anamy berkata...

Luq,
Saya ambil semangat saudara untuk memulakan aksara pertama untuk novel sulung. Entri ini mengingatkan hutang kepada DBP yang belum langsai, moga dapat dijelaskan sebelum penghujung tahun, sebagaimana diminta (walaupun rasa macam mustahil saja!).

Luqman Hakim QA berkata...

D'Rimba...hamba juga sentiasa belajar.
Sahrunizam...aku menulis bukan kerana nama.
rozais...tidur 2-3 jam setiap malam. boleh siap satu novel panjangnye lebih 600 muka surat dalam masa 3 bulan. cubalah!

S.M. Zakir berkata...

Tak glamer? Tau tak pa.

Dah tau tak glamer, tak hebat, tak besar tunggu apa lagi blah la... terngangan sampai senget kepala apa barang beb... keh keh

Nulis apa nak susahnye hentam sajalah, peduli la. Apa pun hidup Luqman, jantan glamer penuh romantis keh keh

Luqman Hakim QA berkata...

Pak Jakir...Kata kau! Aku tak nak jadi sasterawan air liur@ceramah@kertas kerja.

Unknown berkata...

Teruskan usaha dan gunakan sebaik-baiknya anugerah yg telah Allah s.w.t kurniakan. Tidak semua orang mampu memiliki bakat tersebut melainkan ada tugasan nya tersendiri. Teruskan berkarya.

S.M. Zakir berkata...

air liur dan dakwat sama banyak beb, ok la. Socrates tak menulis pun, bercakap dan berkuliah ja seumur hidupnya. Tapi fikirannya hidup beribu taun. Ko nulis novel popular bertan-tan dakwat belum tentu karyanya bertahan seratus tahun keh keh jangan mare beb. Rileks.

Luqman Hakim QA berkata...

Aku tak kisah zakir. kau nak cari nama utk disimpan 1000 tahun, kau carilah. i'm on my own, my own pace, my own way, my own journey and who's care? Orang macam kau? kau orang berfikiran tinggi macam Socrates, mana peduli kan. JK Rowling kalau tak mencatat kejayaan komersial, siapa yg peduli?

S.M. Zakir berkata...

Jangan emosi bro. Betul la tu. we fit in our own shoe. Just a fine courtesy to engage with our own being, not to be Socrates or anybody else. Fine, bro?

Congrate and good luck in any pace you step.

Luqman Hakim QA berkata...

Nebula, terima kasih!