Rabu, 15 April 2009

Allah, Tuhan, God, Lord dan ....


Saya bukan pakar teologi untuk berbicara mengenai hal ketuhanan, atau ahli sufi, atau apa juga keahlian dalam bidang agama. Dan selepas beberapa waktu memikirkan betapa isu berkaitan dengan hal sebutan/panggilan atau saja mengenai ketuhanan, saya memikirkan, kenapa terlalu dihebohkan pertikaian sama ada layak atau tidak warga Kristian di Sabah dan Sarawak terutamanya, menggunakan perkataan Allah bagi merujuk tuhan mereka. Nah, kenapa mereka tiba-tiba menuntut hak dan dibenarkan bagi menggunakan perkataan ini, atas alasan ia digunakan di Indonesia. Begitu juga lagu Allah peduli nanyian Agnes Monica, seorang pentanyi keturunan Cina beragama Kristian dari Indonesia.

Bagi saya, ini bukan perkara hak dan kebebasan beragama, juga hak menggunakan bahasa dan apatah lagi dengan mengatakan, Oh! perkataan ini digunakan secara terbuka di Indonesia, lalu mengapa tidak di Malaysia.

Persis menuntut hak yang sudah termaktub dalam senarai panjang hak dan kebebasan beragama yang dikendong selama ini. saya tidak mahu dikatakan bersifat prejudis atau memusuhi mana-mana agama, apatah lagi jika tindakan saya itu akan membabitkan saudara sedarah saya. Tetapi saya perlu membina garis antara hak dan kebebasan beragama dan hal-hal sensiviti dan sifat eksklusif, apatah lagi bagi saya, perkataan Allah digunakan secara sewenang-wenangnya atas alasan, ia digunakan di negara jiran. Jika negara jiran menggunakan perkataan ini, apakah ia merupakan hujah yang sah untuk menerima bahawa ia layak dan wajar digunakan di negara ini. Saya berpendirian, begini...tidak perlu, tidak wajar dan tidak payah.

Bagi pengikut agama ini ada banyak nama panggilan yang mereka gunakan, termasuk mengikut bahasa suku kaum, dan entah kenapa perkataan Allah digunakan? Saya mencari justifikasi, atau kewajaran untuk menerima penggunaan perkataan ini dibenarkan di Malaysia oleh penganut agama ini dan saya tidak dapat melihat atau memikirkan kewajarannya.

lalu saya berpendirian, Allah sewajarnya untuk umat Islam sahaja. saya tidak mahu memperkatakan tentang kekeliruan atau agenda tersembunyi dalam gerakan dakwah dalam penggunaan perkataan ini, malah tidak menyetujui jika pun ia digunakan dalam penerbitan mereka. Sekali saya tidak punyai hujah besar untuk menyokong pendirian, cuma naluri saya mengatakan tidak, apatah lagi ini bukan soal yang boleh dari sudut hak dan kebebasan atau toleransi.

Hakikatnya, kita mempunyai hak untuk menolak dan menerima dan jika kuasa digunakan pun, maka apakah itu kesalahan?