Isnin, 25 Mei 2009

Apa Ada Dengan Sastera

Hujung minggu lepas, saya berkesempatan menyertai teman-teman berkumpul di Ayer Keroh sempena PPMN 09, pertemuan yang saya kira penting dan besar, terutamanya dalam mengambil kira gerakan dan nasib sastera kontemporari. Sekadar himpunan anak-anak muda? Tentunya, siapakah yang peduli jika anak-anak muda yang penting yang berkumpul dan memperkatakan suatu wadah yang sering dilihat oleh masyarakat sebagai eksklusif dan terpencil, malah semakin terhakis kewujudannya di sekolah-sekolah seluruh negara ini.
Selepas perhimpunan di Tanjung Piai pada 05 lalu, saya kira pertemuan kali ini amat penting dalam usaha penggiat sastera memikirkan apakah sastera sekadar minat atau wadah perjuangan, membawa visi dan misi tersendiri dalam menongkah persekitaran kemanusiaan dan politik semasa, sebagai suatu gerakan massa yang gagah dan disegani.
Suara anak muda sepatutnya membawa suatu nada dan itrama baru dalam kehidupan kontemporari, tidak sebagai perintih dan peminta yang mengharap jasa baik dan ihsan. Sastera dan bidang penulisan secara keseluruhannya harus kelihatan gagah dan kuat, suara yang mencetuskan rasa gerun dan hormat.
Hakikatnya, banyak hambatan yang tidak menyebelahi sastera dan penggiatnya pada zaman kontemporari, tetapi itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menjadi manusia daif dan pesimis. Dan jika sastera sudah wujud sejak sekian waktu, merentasi zaman dan ketamdunan, apakah ia sudah tidak dapat bertahan hatta bagaikan bertongkat tangan, kaki, jari atau apa jua?
Sastera perlu bebas, merdeka dan tampil dengan kendiri dan rupanya yang khusus, dan begitu juga, penulis muda perlu tampil untuk membawa tanggapan bahawa mereka menjadi penggerak yang menjadi pencorak kepada kelangsungan sastera. Maka, lupakan soal penulis mapan atau berpengalaman kerana sekian banyak penulis terkemuka dengan karya terbaik pun muncul pada zaman muda, sama seperti kebanyakan penulis muda yang menggerakkan perhimpunan di Tanjung Piai dan penggerak belakang tabir pada tahun ini yang mencipta nama selewat-lewatnya pada awal umur 20-an.
Secara peribadi, saya merasakan, penyertaan kali ini merupakan penghujung pembabitan dalam gerakan yang dinamakan sebagai dinamisme kelompok anak muda, selepas merasai segala turun naik sejak membabitkan diri hampir genap dua dekad. Sbagai anak muda dulu saya mempunyai keinginan dan semangat untuk berkarya dan menguji keupayaan dan bakat penulisan saya pada tahap paling tinggi, dan sebahagian besarnya pembabitan saya itu disebabkan mencari kepuasan dan memenuhi gejolak rasa yang sering mengasak dan meronta. Tentunya juga beberapa anugerah sastera yang dimenangi merupakan suatu kenangan untuk mencuri tempat dalam barisan gerakan sastera yang sudah dikuasai nama seperti Zaen Kasturi, Nasaruddin Dasuki, Daeng Ramli Akil dan tentunya SM Zakir, serta tidak ketinggalan Mawar Shafei, Uthaya Sankar, Selina Lee, Chai Loon Guan dan beberapa nama penulis keturunan Siam pada ketika itu. Di celah-celah nama itu, saya hanya seorang manusia kecil yang tidak memikirkan untuk menjadi pesaing, sebaliknya, mencari titik nama sendiri dalam kanvas sastera negara, dan sehingga sekarang, saya hanya manusia kerdil dalam arus sastera perdana.
Kini, saya memikirkan untuk melalui jalan sendiri dalam sastera dan penulisan, tidak untuk memburu ruang dalam akhbar atau majalah, serta hadiah sastera, dan menyedari sastera dan penulisan membuka pintu rezeki kepada saya sejak beberapa waktu kebelakangan ini. Tentunya, siapakah yang menduga bidang yang pada suatu ketika dulu pernah saya tinggalkan - pernah untuk tidak mahu menggelumanginya - sebenarnya, tidak boleh dipisah dalam erti kata sebenar.
Kepada teman-teman yang membawa aspirasi anak muda sastera, saya mengucapkan selamat berjuang untuk kalian! Sastera tidak memberikan apa-apa sehingga anda merasai kehilangannya dalam hidup.

Khamis, 21 Mei 2009

Apakah kebebasan kita?


Apakah hidup kita ini sentiasa dikepung dan diperhati? Bagi saya, tepuk dada, tanyalah apa kata hati. Tetapi persoalannya, apakah kebebasan yang dimahu, dicari dan ingin digeluti sepanjang kehidupan, terutamanya tatkala menjalani kehidupan seharian, melunaskan tugas dan tanggungjawab mengikut kerjaya dan kemahuan kita.

Dan jika saya mahu menyatakan pandangan, tentunya, saya mahu mengatakan, bahawa kehidupan ini sendiri merupakan suatu kurungan, kepungan, atau suatu lingkaran dengan persepsi dan definisi kebebasan yang pelbagai. Bagi sesetengah orang, dia akan mengatakan, oh, hidup ini amat terkongkong dan bisa melemaskan, dan ada pula mengatakan, aku manusia yangt bebas, atau ada yang berkata, kebebasan ada had dan paksinya, atau hukum dan teorinya, ada aras tertentu dan tidak boleh melepasi garis dan paras tertentu.

Dan apakah makna kebebasan dalam berkarya dan bekerja? Sesiapa pun boleh berkata, kekebasan diberikan kepada sesiapa pun, termasuk pengamal media dan media massa, dan tentunya amat naif untuk menerima secara yakin dan percaya ungkapan seperti ini. Selepas beberapa ketika, sesiapa saja yang mahu popular dan diterima popular akan menggunakan ungkapan ini, sedang pada hakikatnya pada sisi lain, orang itu merupakan penghalang dan duri kepada kekebasan, sama ada secara objektif, mahupun subjektif.

Bahawa kebebasan yang diceritakan tidak lebih daripada ungkapan retorik untuk memperlihatkan sikap budiman dan saya melihat, kebebasan telah dijadikan suatu lagi aset penting dalam kehidupan yang tidak boleh didagang atau apa juga hujah dan prinsip, bahawa kuasa tidak pernah berkompromi dalam soal kebebasan.

Memberikan kebebasan sudah dilihat menjadi tindakan memusuhi diri sendiri dan tentunya, lantas tindakan terbaik adalah menentang kebebasan itu secara gerak kerja, secara halus, licik, mahupun secara terang-terang dan ganas, dan inilah kebenaran yang bergelora sekarang ini.

Lalu dimanakan nilai dan laungan kebebasan yang dilaungkan itu? Saya tidak boleh melihat kewujudan kebebasan, terutamanya dalam pengamal media, melainkan kuasa yang menjadi penentu kepada kebebasan itu, bahawa setiap amalan wajib untuk mematuhi garis dan arahan tertentu, maka itulah makna kebebasan - ya, mungkin sedemikian dan itulah yang mereka mahu.

Inilah gejala kontemporari apabila kita selalu hidup dalam naungan bayang-bayang ketakutan, bahawa diri terancam dan tergugat, dan kuasa ketakutan akan kehilangan segala yang dimiliki selama ini begitu mengganggu dan untuk mempertahankan, maka ada harga yang perlu. Dan inilah hidup untuk bertongkatkan kuasa yang kian terhakis.

Dan bahang kebebasan itu semakin terasa bahawa ia dimiliki oleh kuasa dan segala tindak-tanduk kita tidak boleh menyakiti kebebasan itu, bahawa kebebasan itu perlu dan wajib mengikuti tafsiran yang sudah disediakan.

Ah, tentunya bahagia andai saya masih mempunyai pilihan lain.

Selasa, 12 Mei 2009

Apakah Wajah Kita?

Apa pandangan orang mengenai kita tentunya bersandarkan kepada apakah yang dilihat pada rupa dan perilaku kita, dan apakah kita akan marah kalau orang mengatakan kita serupa beruk jika sebenarnya perangai kita sama hebat macam beruk. Apakah kita cukup baik dan sempurna apabila kita mengatakan ketam yang berjalan tidak lurus itu sebagai berjalan tidak betul sedangkan mata kita melihat orang itu, juling sebenarnya.
Tetapi adat manusia selalunya akan melenting dan tidak pernah mahu memandang cermin untuk melihat kepada dirinya sendiri, melainkan menjadikan cermin di depan matanya melihat wajah, rupa dan diri orang lain, untuk menilik dan menyelak setiap kecelaan dan kecacatan, untuk menyingkap dan menelanjang sesuatu yang tidak tentu ada kewujudan.
Apakah kita sedar dengan perbuatan dan kegopohan kita sebenarnya menimbulkan seribu rasa kejengkelan dan keserabutan, menyerlahkan setiap wajah hodoh dan herot kita yang akan menjadi cerita hakiki. Apakah kita tidak mahu berasa malu dan menyedari bahawa sebagai manusia, betapakah dangkalnya pemikiran akibat ketamakan dan kegopohan, betapa herotnya pemikiran jika mahu dilihat sebagai manusia yang bercakap tentang kebenaran dan sesuatu yang muluk.
Barangkali, kita perlu memikirkan untuk menjadi manusia yang berhemah dan berperkerti untuk tidak menjadi binatang sarkas, menjadi tontonan dan hiburan tahap murah, dan penonton akan mengatakan, "ah, mereka hanya binatang bodoh yang menghiburkan, biarpun sebenarnya masih bodoh selepas hidup dan dilatih oleh manusia."
Lalu jika kita berjalan betul, bagaimana kita mahu menunjukkan jalan lurus kepada orang lain, atau sekurang-kurangnya menjadi lampu untuk menerang jalan bersama, untuk orang berasa yakin...
Hakikatnya, segala tindak-tanduk kita yang dilihat dan terserlah adalah rupa sebenarnya kita sebagai manusia politik, untuk dinilai dan dicerna oleh orang lain, untuk orang membuat keputusannya nanti, atau orang akan mengenang hal-hal yang berlaku pada sisi negatif.
Entahlah, antara kegopohan dan ketamakan, kegilaan dan kekuasaan, kebenaran dan kejujuran, saling bertingkah dan bergaul dan akhirnya seperti air jernih dalam balang bersih, segalanya adalah nista...ya, nista semata-mata. Dan untuk kali ini, saya merasakan, betapa hidup ini semakin camping, terpokah dan semakin bernanah. Inilah kita kontemporari dan lihatlah sekeliling dan di sana...

Selasa, 5 Mei 2009

Bila Pemimpin Meninjau Kehidupan Rakyat

Baru beberapa jam tadi rancangan U-Wartawan menerbitkan topik Pemimpin Turun Padang, yang dibincang selepas melihat beberapa perkembangan tadbir urus kerajaan sejak kebelakangan ini. Perihal pemimpin, tanpa mengira tahap mana pun, ini bukan isu baru, sementelah selama ini, ia sering diperkatakan, tetapi pada sudut begini; mengapa pemimpin hanya datang dan amat prihatin pada ketika pilihan raya, dan isu ini akhirnya menjadi persoalan semu.
Namun kemunculan PM, DSN beberapa kali mencetuskan idea topik ini dibawa keperbincangan U-Wartawan, dan di sini saya tidak mahu memperkatakan segala isi kandungan rancangan yang disiarkan secara langsung setiap 10 malam (Isnin - Jumaat).
Tentunya persoalan yang boleh dibangkitkan, secara jelas, apakah pemimpin perlu diistilahkan turun padang, atau sebaiknya dikatakan, pemimpin bersama-sama rakyat, yakni hidup dan merasakan sama detik nadi hidup rakyat, khususnya rakyat marhaen, yang hidupnya mengenal erti pedih dan derita. Bagi saya, sekali lagi, ini bukan persoalan Malaysia ada seorang PM yang prihatin dan sanggup turun meninjau masalah rakyat, mahu melihat dengan mata sendiri, kehidupan rakyat, dan mungkin kesukaran dan kekurangan yang mereka terpaksa harung dan kandung.
Ini persoalan yang boleh dilihat dalam konteks dan pengertian yang luas, bahawa pemimpin itu tidak semestinya seorang PM, bahawa beliau boleh juga seorang Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri atau sesiapa sahaja yang dikategorikan sebagai anggota dalam cawangan Eksekutif kerajaan, malah saya melihat keperluan seperti ini membabitkan pegawai-pegawai kerajaan, misalnya.
Wakil rakyat, sama ada Parlimen, DUN atau majlis pihak berkuasa tempatan misalnya, saya percaya dan sentiasa yakin mempunyai tanggungjawab ini, menjadi mata dan telinga peringkat akar umbi mengikut bidang kuasa dan tugas masing-masing, supaya kita tidak tersalah pemahaman tentang tugas mereka.
Pada saya, pemimpin yang melawat kehidupan harian rakyat memang baik, tetapi ia perlu dilihat secara menyeluruh dan membabitkan semua peringkat kerana seorang PM bukan tugasnya menyelesaikan masalah parit tersumbat, misalnya. Barangkali apabila seorang PM melakukan perkara ini, maka orang atau pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab, akan menjalankan tugasnya. Harapnya, begitulah.
Saya juga melihat ini merentasi sempadan antara parti, sama ada BN atau PR, bahawa masing-masing mempunyai tugas dan peranan yang sudah dimaklumi, melangkaui persoalan politik, dan perlu menyedari, sebagai manusia politik, mereka juga perlu keluar daripada persoalan politik untuk merasa denyut nadi kehidupan rakyat.
Tentunya, kali ini saya melihat dengan positif sikap mahu mendampingi rakyat tetapi biarlah ini bukan perkara bermusim atau sekadar hangat-hangat tahi ayam, dan hanya dilakukan oleh PM. Seorang PM tidak mungkin dapat menjelajah seluruh pelosok negara dan mendengat suara setiap seorang daripada rakyatnya. Saya tidak mengharap seorang PM datang menjenguk, kerana memikirkan, pemimpin lain, dan para pegawainya boleh melakukan perkara yang sama. Tidak sekadar datang dijemput untuk majlis atau acara tertentu yang disambut dan dilayan sebagai VIP dan VVIP. Pemimpin tidak sepatutnya tampil untuk dimuliakan atau diagungkan, sebaliknya untuk memimpin dan menjadi sebahagian daripada rakyat itu sendiri.
Dan, apakah mereka sebenarnya sanggup datang tanpa diundang untuk melihat rakyatnya sedang menoreh getah, bergelumang dengan lumpur sawah, atau sedang mengutip dan menyapu sampah?