Sabtu, 28 November 2009

Aku dan gerek


Basikal roadie ini, barangkali merupakan teman paling akrab saya sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sejak mengayuh basikal tiba-tiba menjadi hobi kegemaran. Ya, saban hari, hampir setiap pagi saya akan meluangkan masa antara sejam 20 minit atau lebih sikit, akan mengayuh basikal. Aktiviti ini sebenarnya hampir menjadi rutin wajib, apatah lagi saya tidak mampu melakukan senaman fizikal lain - terutamanya joging - secara lebih aktif.


Selain jenis roadie ini, saya ada sebuah lagi basikal bukit yang saya ubah menjadi basikal hibrid - tayar roadie - selain beberapa bahagiannya saya naik taraf. Dan saya juga masih mempunyai impian sendiri untuk memiliki beberapa buah basikal, sama ada untuk roadie, mahupun basikal bukit. Hahaha..saya barangkali sudah ketagih atau gila basikal!


Hobi berbasikal di Malaysia - khususnya untuk rekreasi - boleh dianggap baru dan hanya giat sejak beberapa tahun kebelakangan, yang timbul barangkali disebabkan kesedaran terhadap gaya hidup sihat. Percayalah, ramai yang memilih sukan rekreasi ini disebabkan masalah kesihatan dan kecergasan dan kebanyakan pengayuh basikal ini terdiri daripada orang yang melebihi umur 30 tahun, malah ada yang saya temui bermumur lebih 50 atau 60 tahun, termasuk seorang pak cik yang pernah menjadi rakan seiringan saya yang berumur 60 tahun.


Malah kemunculan beberapa kedai basikal yang menawarkan basikal berjenama boleh didapati dengan mudah dengan tawaran harga lebih seribu sehingga mencecah puluhan ribu. Begitulah, kegiatan kecergasan ini sebenarnya memerlukan pelaburan permulaan yang agak besar dan percayalah, kebanyakan peminatnya tidak mengayuh basikal yang berharga ratusan ringgit. Jika ditambah lagi dengan kos topi keledar, sarung tangan, baju dan seluar serta jangan lupa kasutnya, semuanya begitu mudah menyebabkan anda berbelanja empat angka.


Kenapa saya berbasikal? Saya tidak berupaya melakukan aktiviti kecergasan kegemaran saya semasa remaja dulu, iaitu berlari dan memilih basikal sebagai cara terbaik kerana kurangnya risiko kecederaan dan kesakitan berbanding berlari - tapi saya pernah terjatuh di atas jalan raya juga semasa mengayuh roadie. Semuanya gara-gara kaki saya tersangkut pada pengayuh.


Sebab lain saya memilih kegiatan ini ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, barangkali disebabkan makanan dan gaya hidup yang tidak aktif, saya pernah disahkan mengalami masalah kolesterol yang tinggi dan berat badan yang tidak seimbang dengan ketinggian. Biarpun dengan berbasikal saya masih tidak berjaya menguruskan badan sehingga seberat semasa muda remaja, saya dapat merasakan diri lebih cergas berbanding dulu, dan tidak perlu pergi ke kedai urut di tempat berdekatan rumah saya hanya untuk membuang angin badan.

Berbasikal barangkali kegiatan yang sangat mudah, tidak seperti kegiatan sukan lain, anda perlu melakukan dengan seseorang, sedangkan mengayuh basikal ini, ia boleh dilakukan berseorangan, seperti yang biasa saya lakukan hampir setiap pagi. Cuma pada hari Sabtu dan Ahad saya akan menemui lebih ramai orang melakukan aktiviti ini terutamanya di lorong motorsikal di Lebuhraya Koridor Guthrie - dan saya sudah amat arif dengan laluan antara persimpangan Bukit Subang dengan tol Rawang Selatan.

Bagi mendapat pengalaman dan cabaran baru, saya menggunakan laluan jalan raya Bukit Jelutong - Puncak Alam, yang sememangnya agak mencabar disebabkan berbukit, selain laluan jalan Sungai Buloh - Shah Alam dan Jalan Kuala Selangor. Saya juga mempunyai angan-angan untuk melalui jalan-jalan lain untuk menikmati keseronokan aktiviti mengayuh basikal ini, dan mencabar kudrat saya pada tahap tertinggi.

Juga, saya menyimpan harapan untuk memiliki basikal-basikal baru yang harganya tentu lebih daripada harga sebuah motorsikal, selain aktif dengan basikal bukit dengan laluan hutan, jalan tanah merah atau denai selorong.

Itu hanya impian saya...