Jumaat, 14 Mei 2010

Penuliskah aku?


Seorang penulis, pastinya akan terus berkarya tanpa mengambil kira genrenya, atau sekurang-kurangnya diiktiraf oleh orang lain sebagai penulis. Saya, secara pastinya mahu mengatakan seorang penulis perlu menulis atau berkarya dan kemudiannya, menghasilkan buku atau penerbitan dalam bentuk cetakan, sama seperti yang dilakukan oleh teman seperti SM Zakir yang begitu bersungguh untuk berkarya.

Dan saya juga seorang penulis? Hakikatnya, saya sering memikirkan hal seperti ini dan menyoal, apakah aku seorang penulis, selayaknya, untuk dipanggil penulis, atau digelar penulis. Jika direnungi dan dihalusi soalan dan pertanyaan ini dan kemudiannya, ditambah dengan soalan, apakah saya seorang sasterawan, maka tentunya, dan saya semakin sedar, saya semakin tidak layak untuk meletakkan diri dalam perkataan 'seorang penulis' apatah lagi 'sasterawan.'

Mungkin, apakah yang perlu saya banggakan dengan beberapa cerpen yang pernah saya hasilkan untuk berebut beberapa hadiah suatu ketika dulu, atau menyumbang dalam antologi cerpen termausk yang diusahakan oleh mantan sifu kritikan sastera saya dulu, arwah Othman Puteh, juga beberapa karya yang tidak pernah diterbitkan, juga beberapa novel sama ada diterbitkan dalam bentuk novel bersiri atau buku, maka, sebenarnya, ia tidak memadai, atau tidak memberikan kelebihan.

Barangkali juga, disebabkan perasaan diri seperti ini juga, suatu masa dulu saya pernah memikirkan secara serius, secara tuntas, untuk tidak lagi menggelumangi dunia penulisan dan sastera untuk menghasilkan cerpen atau novel. Tetapi entah apakah sebabnya, saya memilih untuk menulis semula pada kadar yang amat minimum dan lebih terarah untuk mendapatkan sedikit (atau banyak) wang. Ya, menulis novel mengajar saya bahawa berkarya juga boleh memberi pulangan material atau kewangan dan jika kena pada usaha dan cara, ia merupakan suatu yang lumayan.

Tetapi hakikatnya, saya tidak mencapai tahap itu untuk berkarya sepetri beberapa teman yang kelihatannya memperoleh dan menikmati hidup yang lebih baik dengan menghasilkan novel, dan akhirnya, saya menyedari, saya juga bukan seorang yang layak untuk digelar novelis, penulis, apatah sasterawan yang tersohor dan terbilang, sedang pada tahap sekarang, saya tidak mempunyai apa-apa dalam bidang ini.

Barangkali, saya lebih selesa dengan profesion saya sebagai wartawan dan kemudiannya penerbit televisyen, jauh daripada kebesaran nama seorang penulis, apatah lagi sasterawan. Menikmati hidup sebagai penerbit pun bukanlah suatu yang penuh glamor, kerana, realiti dalam bidang penyiaran tidak menyelitkan sama makna glamor atau ternama. Kini, saya masih seorang yang perlu belajar dan sentiasa belajar dalam bidang penyiaran, masih perlu berfikir secara kreatif, selain perlu mempunyai ketajaman fikiran membuat analisis dan mendalami sesuatu isu atau perkara daripada pelbagai sudut.

Masihkah saya seorang penulis? Saya memilih untuk tidak meletakkan diri sebagai seorang penulis, novelis atau cerpenis, dan kadang-kadang saya memilih untuk melakukan kerja-kerja terjemahan, yang nampakhnya lebih lumayan pulangan kewangannnya. Dan dalam dunia sastera, saya sebenarnya mahu menjadi apa, atau mahu dijadikan apa?

Sekali lagi, saya tidak bernama dalam bidang ini. Itu yang pastinya dan saya tidak mempunyai sebarang perasaan terkilan atau mahu berbesar hati dengan kekurangan atau penglibatan saya yang amat rendah/minimum itu. Atau mungkin, dalam perjalanan waktu ini, dengan gelut tugas sebagai Penerbit, saya hanya orang pinggiran dalam sastera dan penulisan, yang tidak layak pun dianggap sebagai pemerhati atau peminat sastera.