Selasa, 5 April 2011

Di garis politik - hitam, putih dan kelabu



Orang rumah (semasa menonton siaran senarai calon pilihan raya Sarawak di sebuah stesen televisyen) saya berkata, kalau tak mesti nama awak ada dalam senarai. Saya tidak menjawab, senyum cuma mendengar kata-kata itu, tanpa mahu memikirkan, apakah saya sudah membuat keputusan terbaik atau paling tepat, untuk memilih untuk terus menjadi manusia yang ada sebelum ini, bukan si politikus.
Barangkali, jiwa saya bukan jiwa politik, dengan segala kerenah dan hiruk-pikuknya, sehingga mengkusutkan kepala fikiran, sedang saya secara peribadi mempunyai kawan-kawan politik yang memang bercita-cita tinggi dengan segala harapan. Dan itu mereka, sedang saya entah bagaimana tidak mempunyai cita-cita politik, malah tidak terlibat dalam proses politik terpenting - pilihan raya dan saya amat bangga dengan pendirian itu. Cukup saya menjadi pemerhati di luar gelanggang dan terlibat secara terus disebabkan tugas saya. Sekadar itu, dan pengalaman itu amat mengujakan saya, untuk saya ingat apabila saya tidak lagi terlibat dalam tugas.
Kembali kepada senarai calon pilihan raya Sarawak itu - saya sudah merasakan bahangnya sejak lebih dua tahun dulu apabila usaha mencari bakal calon dilakukan oleh aktivis parti-parti dengan pelbagai harapan, dan sebahagian besarnya demi rasa kebanggaan maruah. Dua tahun dulu dan sepanjang tempoh itu beberapa cakap dan pancingan bertanya, apakah saya berminat dengan politik, yakni menjadi calon dan memegang jawatan. Saya mengatakan, tidak. Malah pujukan melalui orang tua saya juga berakhir dengan jawapan yang hampir sama, katanya, saya bukan jenis minat segala huha politik.
Saya amat faham, mengapa dan alasan yang mereka gunakan untuk membawa saya ke dalam lapangan politik ini. Alasan paling mudah, sebab mahu melihat adanya orang yang berasal dari ulu - kampung saya berhampiran sempadan Indonesia - menjadi wakil penduduk, dan mungkin menyandang jawatan. Saban hari, saya semakin mengerti mengapa hasrat mereka itu disampaikan kepada saya - terutama apabila kita bercakap mengenai rasa bangga kepada keturunan, keluarga, puak, masyarakat dan kawasan. Dan inilah nilai politik yang saya jarang, atau hampir tidak pernah temui, tetapi di sini, mereka berkata tentang perkara ini, bahawa sewajarnya, wakil kawasan saya datang daripada kalangan anak jatinya.
Dan, saya sekarang masih seperti sebelum ini, bukan manusia politik, cuma sekadar memerhati hal-ehwal politik termasuk politik antarabangsa sebagai mengisi masa terluang dan menajam fikiran untuk berfikir secara kritis dan segala silap mata dalam permainan politik. Sekadar itu.
Selepas melihat nama-nama bakal calon yang bertanding, sememangnya dua daripada yang dinamakan memang saya tidak kenali, mungkin generasi saya, manakala seorang lagi bekas wakil rakyat yang mahu membuat comeback, saya merasakan, alangkah baiknya, sesiapa yang terpilih nanti memikul tanggungjawab dan harapan penduduk yang diwakili, bukan sekadar menabur janji yang tidak pernah tertunai dan penduduk hanya menunggu buah yang takkan jatuh. Saya juga teringat bagaimana ada parti politik yang menggunakan pendekatan ugut dan paksa pengundi memangkah calonnya jika mahu hidup mereka selesa dan tidak terganggu dan berharap, politik pilihan raya ala mafia ini tidak akan ada lagi.
Untuk rakyat Sarawak yang menjadi pengundi, inilah peluang anda memilih orang yang layak untuk menjaga anda. Juga kepada pengundi kawasan saya, pemimpin politik boleh datang dan pergi, sedang hidup kita perlu diteruskan tanpa atau adanya mereka. Dan saya, sekadar memerlukan orang politik pada masa tertentu, misalnya untuk bercakap dalam program terbitan saya...cuma itu saja.