Rabu, 21 Oktober 2009

Sasterawan Sufi, wang dan idealisme


Barangkali, tidak banyak penerbit program televisyen di Malaysia yang akan memikirkan, atau mempedulikan hal-hal berkaitan sastera dan bahasa, melainkan jika ada isu yang boleh menyentap minat dan kemahuan pembaca atau penonton, apatah lagi jika program itu disiarkan pada slot waktu perdana. Apatah lagi jika stesen televisyen itu milik swasta.

Ya, saya berani mengatakan tidak ada penerbit yang akan mempedulikan hal-hal seperti sastera, budaya dan bahasa untuk dibincang dan diperkata dalam program televisyen. Bukan untuk membanggakan diri atas usaha ini, tetapi saya melakukan seupaya yang mampu demi meletakkan sastera tidak terus tercicir dalam arus masyarakat perdana, atau sastera dan sasterawan terus menjadi titik terpencil. Jika ditanya dengan orang kebiasaan, apakah mereka mengenali sasterawan itu ini, pastinya, jawapan mereka tidak kenal, kecuali beberapa orang seperti SN Datuk A. Samad Said dan orang ramai sebenarnya lebih kenal calon yang tercicir program seperti Akademi Fantasia, mentor dan pelbagai program pertandingan hiburan berbanding sasterawan aka penulis, yang kununnya tersohor.

Apakah sasterawan dan sastera perlu menjadi begitu berterusan, yang hidup bagaikan dalam kelambu untuk melihat dunia luar daripada suatu ruang yang sebenarnya tertutup?

Juga ada beberapa perkara yang tidak disedari oleh golongan sastera dan penulis dalam hal seperti ini, yang melihat semuanya semata-mata wang, duit dan pitis, melangkaui segalanya. Saya tidak menafikan perlunya wang, duit dan pitis dalam kehidupan tetapi apakah itu segala-galanya? Ya, sememangnya menjadi amalan bagi stesen televisyen tidak memberi bayaran untuk tetamu program tertentu, apatah lagi rancangan bual bicara seperti Perspektif Kita, Temujanji dan Agenda Awani. Ramai yang menjadi tetamu program ini dengan hati lapang dan terbuka, malah acapkali menjadi tamu tanpa dibayar. Mungkin ada yang memandang Awani sebagai Astro, syarikat swasta berorientasikan keuntungan, tetapi perlu diketahui bahawa Awani bukanlah saluran yang menjana keuntungan seperti halnya saluran lain (Awani ditawarkan secara percuma kepada khalayak, bukannya dalam pakej berbayar!).

Berbalik kepada perbincangan topik berkaitan sastera, saya berusaha membawa hal berkaitan sastera, bahasa dan budaya di luar daripada geruh kontroversi dan isu melalui program terbitan saya, dan salah satunya, Perspektif Kita, dan ini merupakan peluang terbaik saya kepada kesusasteraan Melayu, biarpun saya tidak akan mendapat nama, atau melonjakkan nama saya di persada sastera Malaysia. Saya melakukan ini kerana saya membabitkan diri dengan kesusasteraan hampir 20 tahun, biarpun saya bukanlah seorang penulis atau orang sastera yang tersohor hatta di kalangan penulis dan sasterawan pun.

Dan, tidak ada yang lebih menggoreskan hati apabila seorang sasterawan yang dicap sebagai sasterawan sufi lewat puisinya, meminta bayaran untuk pandangan seorang sasterawan sepertinya. Itu katanya, yang menyentap perasaan saya. Saya barangkali beremosi tetapi saya meletakkan penghormatan yang tinggi kepada seorang sasterawan dan penulis. Saya juga meletakkan wang dan duit dalam perhitungan penulisan dan kesusasteraan, tetapi pada ketika lain saya juga tidak mahu berkira tentang hal seperti ini!

Wah, tidak sangka sasterawan ini begitu mahal perkataan dan ayat yang terpacul dari mulutnya, barangkali semahal emas atau sarang burung layang-layang, atau lebih mahal lagi. Ini merupakan tamparan kepada saya secara peribadi memandangkan, sebelum ini, saya juga pernah membawa topik yang berkaitan dengan sastera membabitkan beberapa rakan seperti Zakir, Naapie Mat, Rahman Shaari dan Puan Izzah dari DBP. Oh ya, dalam tempoh beberapa bulan ini saya sudah berjaya membawa SN A. Samad Said dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan menjadi tetamu program saya yang satu lagi, Temujanji - inilah usaha kecil saya, membawa dunia sastera ke khalayak televisyen.

Saya tidak menolak faktor wang penting tetapi apakah salahnya, untuk menyumbang sedikit kepada sastera melalui program bual bicara seperti ini. Jika ini faktornya, mungkin saya juga perlu memikirkan begini, meletakkan dunia sastera yang saya gelumangi jauh-jauh daripada faktor profesion saya dengan tidak perlu mengemukakan topik berkenaan sastera dalam semua program kendalian saya. Saya tidak akan berasa rugi dan tidak perlu bersusah-payah untuk memikirkan bagaimana topik sastera perlu sesuai dengan keperluan dan relevan dengan nilai siaran (air worthiness), misalnya dengan memikirkan topik-topik lain yang lebih menarik minat masyarakat dan khalayak.

Saya mempunyai harapan untuk membawa dunia sastera yang kecil ini - malah semakin kecil dan terpencil - kepada khalayak yang lebih ramai, bukan untuk semarak sastera sahaja, tetapi menjadikan sastera juga seperti perkara lain dalam masyarakat akan dipeduli sama seperti orang tergila-gila penyanyi, pelakon dan hiburan. Cuma kita jangan terlalu berkira dengan meletakkan harga yang menyebabkan penerbit seperti saya yang terikat dengan peraturan syarikat berasa meluat dan menyampah!

Barangkali, selepas ini, saya perlu memikirkan semula rasa hormat dan penghormatan kepada sasterawan yang seorang ini. Barangkali, saya sudah terlupa, dalam hidup ini segalanya perniagaan, tidak ada yang bersifat peribadi!