Jumaat, 29 Jun 2012

Scorpene dan putaran media

JIKA dilihat tanpa menilai, pasti kita akan beranggapan bahawa terdapat kebenaran hitam di sebalik isu jual-beli kapal selam Scorpene. Dan hakikatnya, ia merupakan mainan media yang dibuat secara berkesan dan berterusan sehingga menjadi lazim seterusnya mengumpul rasa percaya dan yakin.

Maka ternampak kini membesar-besarkan sesuatu isu atau perkara sehingga terkeluar daripada batas kebenaran semakin menular tanpa mempedulikan apakah kesan dan pentingnya kepada semua pihak. Itu belum mengambil kira apakah kebaikan dan keuntungan yang dibawa daripada perbuatan menjaja sesuatu perkara yang pada hakikatnya tidak lebih daripada perbuatan putar alam sebagaimana yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan SUARAM dalam isu kapal selam Scorpene. Tidak perlu bertanya, apakah faedah atau kemahuan pihak ini di sebalik segala gembar-gembur yang mereka lakukan, seolah-olah menjaja cerita mengenai rasuah atau bayaran bawah meja dalam urusan pembelian bernilai RM7 bilion menjadi denyut nadi mereka.

Tetapi kita juga perlu menilai dan melihat semula sikap mereka ini, jika daripada segi adap, tidak pernah mahu menghormati maruah atau harga diri orang yang dipalit dengan pelbagai cerita seolah-olah jenayah sudah dilakukan dan semua pihak yang dilibatkan akan didakwa, disabit dan dihukum.

Tuduhan yang dilemparkan pada hakikatnya menjadi fitnah yang keterlaluan berbanding situasi dan cerita sebenar, seolah-olah menjadi lebih sudu dari kuah, atau apa yang orang katakan, nasi kuah taruk (letak) atas, atau bahasa mudah dan jelasnya, melebih-lebih.

Ramai yang kurang jelas mengenai perihal siasatan pembelian kapal selam Scorpene sehingga melihat dan mempercayai, ada unsur jenayah di sebalik urusan jual-beli, tetapi perlu difahami, tata perundangan di Perancis, di mana-mana aduan mengenai kes ini difailkan, agak berbeza berbanding di Malaysia – satu proses adalah siasatan, satu proses lagi perbicaraan, dan kedua-duanya melalui mahkamah dan hakim, untuk kes di Perancis.

Berbeza di sini adalah aduan sesuatu salah laku jenayah yang didakwa dilakukan oleh sesuatu pihak akan dibawa kepada mahkamah yang membenarkan hakim melakukan siasatan atau mengkaji kes secara bebas. Jadi apa yang berlaku dalam kes Scorpene ini adalah, SUARAM memberi gambaran seolah-olah mahkamah dan hakim terbabit sedang melakukan perbicaraan dan membuat publisiti seolah-olah sudah terbukti jelas ada jenayah yang dilakukan, disembunyikan dan kini sedang didedahkan.

Melalui cerita yang digembar-gemburkan dalam media, seolah-olah hukuman atas kesalahan sudah terbukti, maka DCNS kononnya membayar wang sejumlah EURO 114 milion kepada Perimekar Sdn Bhd, maka semua orang yang dikaitkan telah melakukan suatu kesalahan jenayah.

Apakah faedah dan pentingnya mainan ini kepada rakyat dan Negara? Memperjuangkan wang cukai rakyat, atau apa? Atau kepentingan puak tertentu yang sebenarnya hanya mahu memperlihatkan betapa buruknya situasi urus tadbir kewangan dan ketelusan di Malaysia.

Mendahului hasil siasatan dan menjadikannya bahan publisiti merupakan suatu tindakan yang tidak wajar, apatah membabitkan kepentingan semua pihak dalam Negara sama ada kerajaan, negara dan rakyat.

Hakikatnya, mudah untuk kita menconteng arang di muka, berbanding membasuhnya, dan jika benar apa yang digembar-gemburkan tidak lebih daripada proses siasatan yang pada akhirnya terbukti tidak benar dakwaan yang ditabur, bayangkanlah berapa besar kerosakan yang sudah dipalitkan.

Tentunya, untuk merawat dan memulih bukan kerja sehari dua kerana di sini, kita memasuki dunia persepsi di mana kumpulan ini meletakkan persepsi kental dalam pemikiran rakyat, ada jenayah serius dan berat, dan di depan negara lain, betapa teruknya Malaysia ini.

Kembali kepada isu Scorpene, terasa SUARAM sudah pergi terlalu jauh membawa isu ini ke tengah arena media sedangkan, siasatan yang dilakukan adalah bertujuan mencari fakta dan bukti, dan bukannya bukti nyata dan kukuh yang akan dikemukakan kepada hakim untuk menentukan salah atau benar.

Perlu diketahui juga siasatan yang dijalankan tidak sekadar membabitkan pembelian yang dibuat oleh Malaysia, tetapi termasuk Taiwan dan Pakistan dan isu sebenar yang dibangkitkan adalah kes korupsi antara DCN (pembuat kapal selam) dengan ahli dan parti politik Perancis.

Maka ada wajarnya, SUARAM dan pembangkang perlu bersikap jernih dalam isu ini, agar tidak bermain silap mata dengan persepsi dan fakta melalui dakwaan dan tuduhan yang akhirnya menjadi fitnah.

Apakah kita mahu terus hidup dengan melemparkan fitnah, memusing fakta dan kebenaran hanya memuaskan hati dan nafsu sendiri? Tepuk dada tanya selera.

* Kopi dan pes dari MySuara.net.

Selasa, 26 Jun 2012

Budaya surat sokongan


Petikan laporan media:

Exco pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali berkata amalan menghantar surat sokongan di kalangan pegawai kanan kerajaan bagi permohonan projek kerajaan negeri perlu dihapuskan.
"Itu norma, budaya dahulu, jumpa YB untuk dapatkan kerja dan sebagainya.
"Norma itu kita mahu tukar, YB tiada pena ajaib," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor itu berkata, beliau tiada halangan sekiranya orang ramai memohon untuk mendapatkan surat sokongan.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas isu surat sokongan memohon tender sebagai peguam panel kerajaan negeri yang ditandatangani Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.
Saya bukan pemuja mana-mana ahli politik walaupun pernah melalui hidup ini menggunakan bantuan orang politik. Apa boleh buat, sebab nak hidup dan terdesak masa itu. Kalau tidak, mungkin payah la juga sebab tercicir gerabak masa itu. Surat lambat sampai, sebab kampung kat ulu banat, jadi surat sampai dah lepas tarikh.

Itu cerita lama. Surat sokongan ni kadang-kadang berlaku disebabkan tak layak merit, tapi sebab nak, kita guna pintu belakang. Betul tak? Masalahnya juga, surat sokongan dah menjadi macam satu budaya dalam apa juga urusan dan keperluan, lebih-lebih lagi surat sokongan orang politik. Sebab, tanpa surat sokongan politik, layak sekali pun, boleh jadi tak layak andai tak ada tandatangan orang politik. Susah, kan.

Macam ada seorang kawan, nak masukkan anaknya dalam kelas prasekolah percuma, sebab dia hanya drebar teksi, jadi terpaksalah minta cop dan signature penghulu dan ketua cawangan untuk mengesahkan dia layak.

Masalahnya juga, pegawai mana-mana pun, kalau tak ada tandatangan orang politik atau orang besar, mereka jadi buta mata untuk menerima, apatah lagi memproses dan meluluskan sesuatu apa pun.

Begitulah lazim. Ini sudah budaya, jika pun ada pemimpin yang menidakkannya, ini adalah hakikat.

Isnin, 25 Jun 2012

Tantangan Pascamoden

Beberapa peristiwa yang berlaku di Malaysia ini, khususnya Kuala Lumpur dalam apa yang dinamakan tuntutan hak, kesaksamaan dan keadilan seperti himpunan BERSIH dan LBGT diangkat sebagai suatu yang mempunyai kesahannya sendiri.

Namun dalam aliran pemikiran baru seperti wujudnya Atheisme Baru dan juga apa yang dinamakan sebagai Gerakan Masyarakat Sivil, kita perlu memikirkan secara jernih apakah sebenarnya makna di sebalik segala peristiwa, kejadian atau pelbagai tuntutan yang dikemukakan.

Tentunya, berdepan dengan perkara seumpama itu memerlukan suatu rangka pemikiran dan gerakan ketamadunan dan penyuburan pemikiran yang berkerangka yang sesuai dengan masyarakat, amalan, budaya dan tentu sekali dengan agama Islam.

Apakah umum masyarakat di Malaysia menyedari tentang perihal sebenar agenda dalam apa yang dinamakan sebagai Gerakan Masyarakat Sivil? Apakah ia suatu gerakan dalam memaju masyarakat dan negara menuju kemajuan dan ketamadunan?

Hakikatnya, gerakan ini yang dipelopor oleh kelompok tertentu di negara ini sebenarnya adalah suatu bentuk penerobosan pemikiran yang mengubah cara berfikir dan bertindak kita dengan kesan akhirnya, kita akan berfikir, bertindak dan berbudaya seperti kuasa di belakang penggerak kelompok ini.

Cabaran sebenar agama, bangsa dan negara hari ini adalah bagaimana menangkis serangan pemikiran dan falsafah kehidupan pascamoden yang melihat kehancuran dan perpecahan sebagai asas dan pembaharuan.

Maka dengan itu kita boleh memahami bahawa ia sebenarnya suatu bentuk imperialisme baru dalam zaman moden selepas penjajahan dan penguasaan ekonomi. Persoalannya, apakah kita sedar dan memahami apakah sebenarnya gerakan ini?

Inilah hegemoni baru sebenar Barat, khususnya Amerika Syarikat yang mahu meneruskan penguasaannya secara terselindung terhadap dunia melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan gerakan melalui diplomasi awam.

Lantas, menggunakan NGO merupakan langkah strategik dan topeng yang perlu diawasi supaya kita tidak terpedaya dengan niat dan kemahuan sebenar dalam penjajahan baru ini melalui agenda nilai sejagat, kesamaan agama dan hak asasi.

Dan dalam konteks Malaysia kontemporari, kita boleh melihat perkara atau peristiwa seperti Himpunan Bersih, LBGT dan penularan fahaman liberalisme agama yang sebenarnya digerakkan atas landasan Gerakan Masyarakat Sivil yang merupakan idea dan pemikiran penjajahan Barat.

Inilah perkara di sebalik peristiwa yang kita sering gagal fahami dan tanggapi apabila kita terlalu memikirkan kehendak dan tuntutan, atau mengikuti terlalu taksub kelompok atau kumpulan kita atas nama perjuangan, keadilan dan kesaksamaan.

Inilah agenda Order Dunia Baru, suatu bentuk baru penjajahan kuasa Barat ke atas dunia dengan mengeksport dan memaksa nilainya diterima pakai oleh negara-negara lain, termasuk Malaysia.

* Tulisan ini diterbitkan dalam portal berita Mysuara.net

Menyuburkan demokrasi


Meraikan dan menyuburkan demokrasi dalam doktrin politik kotemporari merupakan pegangan atau prinsip dalam memastikan demokrasi sentiasa menjadi tunjang utama politik dengan kepelbagaian isme, idealogi atau anutan politik.
Dalam konteks Malaysia, meraikan dan menyuburkan demokrasi melalui sistem kepartian dan pilihan raya masih menjadi teras yang dipertahan dan sentiasa melalui proses pematangan, bermakna, kita sentiasa dan perlu bergerak dan berubah demi pembaikan dan kebaikan.

Pastinya, dalam soal ini, meraikan dan menyuburkan demokrasi merupakan suatu proses berterusan yang juga memerlukan dokongan semangat setiap warga, juga sebagai tanggungjawab yang dipikul dan disempurna.

Namun, tugas meraikan dan menyuburkan demokrasi itu akan terhenti apabila seseorang warga tidak berpartisipasi dalam proses pilihan raya, sebaliknya, membiarkan atau mengabaikan tanggungjawabnya kepada bahu pihak lain.

Kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai kira-kira 3.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sewajarnya membuka suatu lembaran dan tanggapan baru dalam tatacara meraikan dan menyuburkan demokrasi.

Hakikatnya, ini bukanlah fenomena baru dalam amalan demokrasi kerana persoalan partisipasi menjadi persoalan dan permasalahan besar termasuk di negara-negara demokrasi besar seperti Amerika Syarikat dan Jepun yang mana proses pilihan rayanya hanya membabitkan sebahagian daripada pengundi berdaftar, malah pada tahap kritikal tidak mencapai separuh daripada pengundi berdaftar. Itu mengambil kira pengundi berdaftar, sedangkan yang tidak berdaftar atau tidak mahu mendaftar dilupakan.

Jika kita berfikiraan secara empirikal atau bermain dengan angka, maka 3.6 juta bukanlah suatu angka yang kecil. Juga, apabila kita menilai cara berfikir dan bertindak golongan ini, maka kita dapat melihat ada suatu aliran atau isme yang mencabar nilai demokrasi.

Tentunya, perkara atau perkataan paling mudah adalah menghumban segala kata kutukan dan menyalahkan kelompok ini sebagai rakyat yang tidak bertanggungjawab atau kelompok yang rugi kerana tidak menggunakan hak mereka sebagai rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan.

Kelompok ini pastinya mempunyai pandangan dan kepercayaan sendiri di luar daipada pemikiran umum mengenai meraikan dan menyuburkan demokrasi, tetapi apakah umum dan institusi politik mahu memahami segala perbezaan pandangan dan sikap ini.

Usaha dan galakan mendaftar pengundi baru merupakan sebahagian daripada kesungguhan untuk membawa kelompok ini ke dalam arus perdana sistem demokrasi melalui kempen dan galakan, tetapi ia berdepan dengan kekurangan dan kelemahannya sendiri dalam memberi kesan signifikan kepada angka terbabit.

Dalam pemikiran tidak peduli, segala bentuk galakan dan kempen tidak memberi makna atau kesan yang diharapkan. Persoalannya, apakah mekanisme yang digunakan untuk menarik dan mendaftar kelompok ini benar-benar berkesan secara pelaksanaan, dan apakah keyakinan dan kemahuan mereka berjaya ditambat atau dimenangi.

Ini adalah pertarungan panjang yang tidak pernah ada dalam teori demokrasi, atau mana-mana sistem yang menggunakan pemilihan, akan ada kelompok yang mengecualikan diri daripada proses, dan setakat ini, tidak ada rumusan tuntas mengenai punca kepada sikap sebegini.

Acapkali perbincangan, terutama dalam media mengenai kelompok ini lebih menghala kepada sikap kelompok ini dengan segala macam alasan, termasuk sibuk dan malas yang membawa kepada keengganan untuk mendaftarkan diri.

Sama ada mahu menerima atau mempercayai alasan seperti ini, mengatasinya dengan apa cara juga pastinya tidak menyelesaikan secara drastik angka 3.6 juta orang yang tidak berdaftar.

Pastinya, dalam angka yang begitu besar itu, menyajikan segala jenis alasan atau sebab akibat yang memerlukan usaha yang amat renyah untuk dihurai dan diatasi, andai kita mahu melihat suatu penyelesaian tuntas.

Kembali kepada persoalan alasan yang pelbagai, hampir tidak pernah diperkatakan, apakah sikap sebenar kelompok ini terhadap sistem demokrasi dan pilihan raya, sekurang-kurangnya melihat dan menilai daripada sudut isme dan falsafah demokrasi itu sendiri.

Terlalu mempercayai bahawa kurang tanggungjawab dan kesedaran akan menyebabkan kita mengabaikan atau melupakan ada sisi-sisi lain yang wajar diperbetulkan, untuk menarik keyakinan dan kepercayaan kelompok ini, bahawa demokrasi adalah sistem terbaik dalam peradapan politik; tatacara terbaik dalam meraikan dan menyuburkan perbezaan isme dalam politik, juga, politik kepartian dan demokrasi adalah untuk meraikan perbezaan dan bukan meluaskan perbezaan dan perpecahan.

Perilaku sebagai manusia politik, walau apa jua rupa dan warna, akan menjadi citra yang akan menentukan sikap dan pandangan suatu kelompok warga, yang melahirkan suatu bentuk pemikiran dan persepsi, dengan itu akan meletakkan suatu garis bahawa demokrasi yang bersifat penyertaan warga tidak memberikan inspirasi kepada mereka, seolah-olah, demokrasi tidak memberi sebarang makna atau pengertian, atau keengganan atau tidak menyertainya, bukan suatu yang keugian atau beban tanggungjawab.

Apa pula peranan SPR dan parti-parti politik? Pelbagai kempen galakkan dan pendaftaran yang dilakukan, namun kejayaan menarik sebahagian besar kelompok ini mencetuskan suatu kegawatan isme, yakni apakah kepercayaan politik sebenar kelompok ini. Apakah mereka sudah tidak yakin atau dingin kerana kekecewaan atau perasaan tertentu hingga mereka amat tega untuk menjauhkan diri, dan pelbagai alasan yang diberikan tidak lebih sekadar tabir di sebalik kebenaran yang mereka sembunyikan dalam diri.

Maka di sini, semua pihak khususnya ahli politik dan penjawat awam berkenaan memainkan peranan mengikut cara sendiri untuk menembusi pemikiran yang melindungi kelompok ini.

Menyalahkan kelompok ini tidak pernah menjadi jawapan kepada permasalahan atau fenomena ini. Mendidik kelompok ini mungkin satu cara, tetapi sewajarnya, biarlah seumpama meluntur buluh, tetapi kelompok ini bukanlah muda buluh.

Kesedaran, akan datang dengan adaanya kepercayaan dan keyakinan baru terhadap politik, orang politik dan sistem demokrasi. Penyelesaian undang-undang seperti pendaftaran dan mengundi wajib boleh menjadi langkah penyelesaian dalam memberi kesan signifikan kepada angka 3.6 juta itu, tetapi, apakah ada kesungguhan untuk melakukannya?

Juga, terfikirkah kita akan permasalahan yang timbul apabila berjaya memaksa kelompok yang enggan berpartisipasi ini dalam proses demokrasi ini kelak.

* Ini tulisan aku dalam portal berita Mysuara.net

Jumaat, 15 Jun 2012

Gempaq bakal menantu PM

Ibu kenapa Daniyar Nazarbayev - bakal menantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - menafikan dakwaan terhadap anaknya dan menyifatkan perkara itu manipulasi politik dan tidak masuk akal.

"Saya dan suami tidak pasti siapa sebenarnya di belakang dakwaan yang tidak masuk akal dan bersifat tuduhan ini.

"Ini urusan dalaman keluarga yang dimanipulasi dan dipergunakan oleh pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan politik," Maira Nazarbayev dipetik sebagai berkata dalam kenyataan melalui jurucakap perhubungan awam.

Maira menafikan dakwaan anaknya terlibat menipu bapa tirinya Bolat Nazarbayev sebuah kondominium bernilai AS$20 million (RM62 juta) dan menyifatkannya tidak benar dan tidak dapat dibuktikan.

"Suami saya Bolat dan saya tetap memberikan komitmen kepada anak-anak kami, dan akan selesaikan perkara ini secara peribadi. Kami bangga dengan semua anak-anak kami.

"Saya membuat rancangan awal bercuti di Eropah untuk beberapa minggu ajan datang an akan menghabiskan masa dengan keluarga dan orang tersayang," kata Maira.

Kelmarin, sumber yang dekat dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor juga berkata, dakwaan Daniyar menipu bapa tirinya telah diperbesar-besarkan oleh The New York Post.
Sumber tersebut berkata, dakwaan berhubung warga Kazakhstan itu juga tidak melibatkan keluarga perdana menteri.

* Bila politik bercampur-aduk dengan semua hal hidup. Tunggang-langgang!

Foto bogel bintang Indonesia


Beredar secara meluas di internet foto super-imposed bogel kumpulan pop dari Indonesia, Cherry Belle membuatkan pihak management kumpulan itu menjadi kelam-kabut. Pengurus kumpulan Cherry Belle, Victor menerima lebih dari 20 panggilan telefon dari media untuk mengesahkan foto tersebut. “Foto itu adalah hasil kerja orang yang tidak bertanggungjawab. Jelas sekali rekayasa, editannya kasar,” kata Victor.
Namun kehebohan di dunia maya tersebut tidak membuat ahli2 kumpulan Cherry Belle terpengaruh. Menurut Victor, kumpulan I-POP yang juga dikenali sebagai Chibi itu menjalankan aktiviti seni mereka seperti biasa. ”Ini tentu bukan tindakan peminat ChiBi, apalagi peminat fanatik tentu tidak akan melakukan hal yang merugikan Cherry Belle,” tegasnya.
* No komen. Anda saksikan sendiri.