Isnin, 2 Ogos 2010

Membebaskan adrenalin


Apa la punya jurugambar crop gambar aku ni sampai tak dak muka. Apa pun terima kasih la. Ada gak gambar aku dalam aksi. Member belakang tu sengih dua macam memang aku tak paham.




Gambar ini saya sampai di water station yang ketiga. Tapi tak singgah pun sebab tak nak bazirkan masa. Lagi pun saya ada bekal air coke lebih kurang seliter dengan air mineral 1.5 liter. Terima kasih la untuk jurugambar yang merakam detik ini, walaupun nampak kepala jer.


Itu gambar semalam dan hari ini badan saya masih terasa sakit-sakit dengan bengkak di pergelangan kaki yang masih membiru.


Kebiasaannya, selepas semalaman, saya tidak berasa sakit tetapi kali ini kayuhan lebih 40 kilometer semasa Nibong Tebal Mountain Bike Adventure '10, benar-benar membuatkan saya berasa sakit-sakit badan terutama bahagian kaki dan rusuk. Jarak ini sebenarnya, kalau di jalan raya, saya boleh tamatkan dalam masa sejam setengah atau lebih sikit, tetapi dalam acara naik dan turun gunung, meredah tanah merah dan berlumpur dan menyeberangi anak sungai yang sekali lompatan katak, ia merupakan cabaran yang benar-benar menduga saya yang amatur, terutamanya apabila menuruni bukit curam yang berliku pada kecurunan mencapai 40 darjah.


Saya boleh merasakan seluruh bahagian tangan saya berasa sakit dan tegang ketika mengendalikan basikal menuruni bukit sambil mengawal kedua-dua brek gerek, malah kadang-kadang terpaksa menyorong basikal apabila melihat kepada permukaan jalannya yang membuat saya cuak, tetapi taklah membuat saya kecut perut. Yalah, buat apa ambil risiko nak cederakan diri sendiri, kan. Inilah kelemahan saya sebenarnya, tidak berani menuruni cerun dan mengizinkan diri diovertake oleh peserta lain. Apapun, ini antara pengalaman off road dengan gerek gunung yang membuat saya teruja dan amat bersyukur tidak dilanda masalah seperti kejang - masalah lazim di kalangan peserta, atau terbabas dan terjatuh dari basikal sampai koyak kaki atau patah tulang.


Cuma kelebihan saya masa memotong ialah semasa mendaki bukit dan pecutan di tanah rata atau jalan raya - hehehe..masa kat sini la boleh tunjuk hebat dan memotong berpuluh-puluh peserta lain.


Apapun, laluan semasa mendaki bukit sebenarnya tidaklah memberangsangkan sebab saya - dan hampir semua peserta - terpaksa menolak basikal beramai-ramai. Inilah akibat terlalu ramai peserta (lebih 1600 orang) bersumbat di laluan sempit yang mendongak dan jalan menggerutu. Tahniah kepada penganjur kerana menyediakan empat bukit untuk didaki, termasuk salah satunya yang dipanggil bukit 300 ratus sebab tingginya hampir 300 meter. Memang azab naik dan azab nak turun. Tapi memang seronok menurun bukit ini melalui barisan pokok getah yang masih kecil, laluan sempit yang berliku.


Kalau kebiasaannya orang mudah terjatuh atau terbabas masa menurun bukit, saya lebih kerap terjatuh semasa membuat kayuhan mendaki - jadi dapat la pergelangan kaki yang bengkak. Ada sekali basikal saya terbalik semasa mendaki selepas terlanggar batu besar, dengan tayar belakang terbalik ke atas. Mujur saya pantas dengan terjun dari basikal. Kalau tidak, mahu muka tersembam di atas tanah. Malu la kat orang-orang di belakang.


Apa pun, dapat menamatkan jelajah lebih 40 kilometer ini dalam masa 4 jam sudah cukup melegakan, sebab sasaran pun memang nak habiskan jarak dengan berkayuh. Malu la kalau sampai garisan penamat basikal naik kenderaan pacuan empat roda atau diarah balik tanpa sempat menghabiskan check point - ada 4 check point. Di garisan panamat, dapat la pula nombor 656. Nombor 656 aje ker? Itu sajalah yang dapat. Kalau nak nombor yang lebih baik kena la bermula kat gelombang depan - ni mula kat kelompok belakang, nak menang apa. Satu lagi jangan penakut masa turun bukit, kayuh saja la. Orang lain boleh, kenapa pula kita tak boleh - kalau nak cabar adrenalin sendiri la. Tapi sendiri mau ingat, kalau terjatuh dan tersembam..tak ada insurans untuk yang ini.


Tapi paling tak pun dengan nombor ini, saya dapat la pingat - sebab penganjur kasi sampai nombor 700. Terima kasih penganjur, kalau tak, pulang tangan kosong la. Ini pengalaman yang menyeronokan walaupun dalam kepala asyik terfikir - masa turun bukit yang serba susah - apahal la saya nak habiskan cuti hujung minggu dengan kerja seperti ini, dan bukannya duduk rehat dan tiduq di rumah.


Lepas ini, memandangkan bulan posa, saya nak cuba kayuh malam, tak pun sejam sebelum buka. emmm...larat ker aku.


Selasa, 22 Jun 2010

Merida TFS XC 500



Ini basikal terbaru aku, menjadikan kini aku ada tiga bijik basikal atau gerek. Taklah banyak sangat, sebab ada orang sampai tujuh basikal - tak taulah bila nak kayuh. Ataupun ada basikal yang berharga puluha ribu, sebab aku punya kalau dikira semua duit yang aku belanja untuk upgred dengan tukar bagian tertentu belum lagi cecah sepuluh ribu ringgit.

Basikal ini Made in Taiwan, jenama Merida - antara jenama terkemuka pengeluar basikal gunung. Dan untuk model TFS XC 500, ia merupakan edisi Malaysia sahaja (jual di Malaysia aje)dan bersaiz XS. Yang dalam gambar ini adalah Merida TFS XC 400 dan keduanya dibezakan oleh harga dengan spesifikasi grup set dan fork. beza harga antara kedua model ini adalah seribu ringgit.

Minggu lepas merupakan peluang pertama saya mengatih basikal ini off road di dalam Ladang Elmina, Sungai Buloh yang terletak sebelah menyebelah Lebuhraya Koridor Guhtrie (milik Sime Darby) yang terletak di sebelah kawasan perumahan. Itu juga pengalaman pertama selepas lebih setahun tidak berkayuh di off road.

Seronok, memang. Mendaki bukit cerunnya mencecah 40 darjah di jalan berbatu dan bertanah merah atau tanah kering berlubang memang pengalaman yang menarik. Begitu juga ketika menuruni cerun curam yang jalannya tak rata dan berlekuk. Aku yang penakut sikit terpaksa la main brek, sedang member lain laju semacam menurun cerun...tapi pengalaman ini memang menyeronokkan, ditambah mengayuh di laluan kanopi yang landai secara laju. Aku pun pernah terbabas masuk dalam semak yang penuh dengan kerengga lebih setahun dulu ketika aktiviti ini, gara-gara menurun cerun curam yang menyebabkan aku hilang kawalan. Tapi kemalangan memang perkara lumrah dalam aktiviti basikal lasak ini. Orang yang berpengalaman pun boleh kemalangan seperti terjatuh dari basikal atau terbabas atau tergelincir sampai bercalar-balar.

Cuma, bagi orang yang berpengalaman laluan off road di dalam ladang kelapa sawit bukanlah suatu yang mencapai, apatah lagi mereka yang sudah biasa dengan single track yang lebih teknikal.
Antara basikal gunung dan roadie, menjanjikan keseronokan berbeza. Roadie atau lebih dikenali racing memang sesuai untuk merasai pengalaman kelajuan yang memerlukan kekuatan dan stamina seperti Anuar Manan, sementara basikal gunung memerlukan kecekapan dan kawalan tinggi selain stamina yang kuat. Jika tidak, boleh termuntah semasa mendaki cerun curam yang panjang.

Jumaat, 4 Jun 2010

Aku mahu menonton teater


Sebenarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya semakin kurang berminat menonton teater - teater Melayu - apatah lagi saya tidak dibebani oleh tuntutan tugas supaya saya harus menonton dan kemudiannya membuat ulasan.


Memang banyak pementasan yang ditampilkan, tetapi saya selalu percaya kepada naluri dan hati saya bahawa teater atau drama pentas ini tidak cukup meyakinkan saya untuk hadir dan menyaksikan pementasannya.


Tetapi kenapa saya memilih untuk tidak menonton teater, sama ada di pentas berprestij macam IB atau pun pentas-pentas kecil milik dewan bandaraya atau dbp? Tentunya, sebab yang sering menghambat kepala dan fikiran saya adalah persoalan, apakah manuksrip yang dinaikkan di atas pentas merupakan karya yang kuat, berkualiti sehingga boleh memakukan saya di kerusi untuk terus menontonnya.


Banyak yang saya lihat dan percaya, naskhah yang sering diangkat amat dangkal dan tidak selayaknya untuk dipentaskan, tetapi mungkin disebabkan hambatan tidak adanya naskhah yang kuat sejak kebelakangan ini, maka, penggiat hanya tangkap muat untuk mengisi slot.


Begitu juga pementasan yang dibuat dengan idea mudah dan malas, teater muzikal. Sebenarnya, dekad pertama abad ke-21 ini sudah terlalu banyak teater muzikal yang dipertontonkan kepada khalayak, termasuk yang diusahakan oleh teman, Rahimidin Zahari di Istana Budaya. Ya, memang teater muzikal semacam membangkitkan suatu fenomena baru kepada khalayak apabila ia berjaya menarik ramai penonton. Bagaimanapun, apabila timbul kecenderungan untuk menghasilkan teater muzikal sebagai siri kepada kepada banyak tokoh, kisah sejarah dan filem, maka saya merasakan, betapa karutnya dunia teater Malaysia yang kecil ini. Kadang-kadang saya merasakan, betapa kecilnya pemikiran penggiat teater kita sehingga harus menggunakan formula nan sama dan mudah untuk beraksi di atas pentas. Selebihnya, saya berasa muak dan semakin bebal dengan perkembangan sebegini, malah saya menjauhkan diri daripada menonton persembahan di Panggung Sari, IB disebabkan kekarutan pihak berkenaan yang menglamorkan tempat bertaraf dunia ini dengan teater muzikal.


Teater muzikal pada saya, tidak mungkin dapat menampilkan suatu tahap persembahan pentas taraf tinggi sebagaimana pementasan lain memandangkan, ia terlalu memberatkan, atau menumpulkan kepada elemen muzikal dan nyanyian, lalu deria rasa kita yang menonton hanya lebih terarah kepada aspek hiburan, dan sememangnya ini yang disukai oleh khalayak kita - bukan pementasan yang mempunyai lontaran pemikiran yang kuat dan pada masa sama melontarkan hiburan teater sebenar.


Saya juga berpeluang menyaksikan sebahagian daripada 18 teater kontot sempena Teater Anugerah Merdeka di Balai Budaya Tun Syed Nasir, dbp baru-baru ini bersama-sama beberapa teman. Saya memasuki dewan pementasan tanpa membawa sebarang rasa prejudis, tetapi kesangsian saya selama ini terbuka di atas pentas. Alasan saya tidak begitu mahu menonton teater tetap terjawab apabila menyaksikan beberapa pementasan yang saya fikirkan, betapa kita sebenarnya hampir ketiadaan nama besar dalam menghidupkan seni pementasan ini, betapa masalah ketiadaan naskhah yang baik untuk diangkat di atas pentas merupakan suatu yang amat membimbangkan - dan sepatutnya membimbangkan, tetapi saya fikir, apakah penggiat teater mahu menerima kenyataan ini dan menganggap bahawa teater Melayu ini masih gagal di persada.


Kita hanya ada naskhah besar yang sudah lama, yang tidak mewakili zaman sekarang tetapi bertahan merentas waktu tetapi itu tidak cukup untuk kita berbangga. Saya menonton teater-teater ini dengan suatu perasaan yang amat tohor dan seakan mahu meluahkan betapa geramnya saya dengan keadaan yang berlaku - apakah kita tidak mempunyai otak besar dalam teater? Saya memikirkan bahawa teater-teater yang dibawa diilhamkan oleh orang yang berpengalaman cukup lama dalam teater, juga anak-anak muda yang terdidik dan mendapat pendedahan yang baik dalam teater, tetapi kelihatannya, naskhah yang diangkat merupakan ala kadar dan lemau - saya tidak teruja dan mati stim!


Berdasarkan pemerhatian tidak ilmiah saya terhadap teater yang dibawa, saya merasakan betapa teater seperti suatu himpunan kata-kata yang kemudian dituturkan semula, cuba mahu bermain perkataan untuk mengisi dan membawa pengertian merdeka - ah, betapa tematiknya festival teater ini dan betapa malangnya sehingga beranggapan, anugerah ini gagal mengangkat teater Melayu berikutan kelemahan naskhah dan idea yang dibawa tidak mempunyai apa-apa makna dan visi, seakan keliru dan hanyut antara percubaan bermain bahasa dan kata sehingga terpisah daripada alam nyata dan khalayak yang membeliakkan mata menyaksikan pementasan.


Barangkali Keras Menunggu oleh Badan Budaya dbp banyak menyelamatkan keadaan pada malam itu, sedang yang lainnya, saya mungkin tidak mahu menonton teater lagi untuk tidak menjadi terlalu jahat kerana mengatakan betapa si polan yang membuat teater ini sebenar seorang yang bodoh teater....!

Selasa, 1 Jun 2010

Nota Hari Gawai


Hari ini, 1 Jun mungkin agak terlambat untuk saya mengucapkan Hari Gawai, terutama kepada keluarga dan kekawan saya sejak kecil dulu dan zaman remaja, terutama semasa bersekolah dan belajar peringkat tinggi. Hari Gawai yang disambut secara rasmi pada 1 Jun memberikan pengertian yang amat besar kepada orang Bidayuh dan Iban di Sarawak, malah kepada penduduk secara umumnya.


Ini perayaan yang berkaitan dengan kepercayaan lama terutamanya sebagai tanda berakhirnya musim menuai dan bermula musim baru menanam padi (padi huma), dan lantaran itu pada masa dahulu sebelum diselaraskan, sambutan Hari Gawai ditetapkan oleh sesuatu kampung sepanjang bulan-bulan berakhirnya menuai dan menjelang bulan bermulanya kerja pembersihan hutan bagi musim penanaman baru. Malah, selain perayaan yang dinamakan sebagai Gawai Dayak ini, ada nama Gawai Antu dan entah gawai lagi - untuk nota, gawai bermaksud perayaan atau keraian.


Apakah makna Gawai bagi saya? Saya tidak bersikap prejudis kepada budaya sebahagian daripada leluluhur saya, malah saya berbangga dengan keturunan sebelah ayah saya ini, tetapi apakah makna kebanggsaan itu dalam geruh kemodenan dan pembangunan. Ini cuma pandangan dan sikap peribadi saya - saya menyambut perayaan ini saban tahun daripada saya masih budah hingusan, sehinggalah ke alam remaja, dan mula tercicir menyambutnya apabila saya memasuki alam pekerjaan dan kini, keinginan saya meraikannya juga tidak ada apa-apa.


Apakah saya seorang yang lupa leluhur dan budaya yang diwarisi? Tidak, pastinya, dan seperti dinyatakan tadi bagaimana perubahan pembangunan dan pemodenan telah menelan nilai-nilai budaya dan warisan yang ada pada sambutan Gawai ini. Saya tidak pernah melihat sambutan ini untuk pesta, temasya dan bersuka-ria dan saya faham, atas penat lelah setahun membanting tulang, masyarakatnya memang patut bergembira. Malah kehidupan moden dan penghijrahan ke bandar mengubah satu lagi tafsiran bahawa keraian ini merupakan perjumpaan dan pertemuan semula keluarga yang terpisah kerana merantau untuk bekerja.


Saya tidak mahu terlalu berasa sentimental atau berhiba bahawa saya mahu melihat ini warisan dan budaya asal yang perlu dipertahan, tetapi hambatan pemodenan dalam pemikiran telah meracun dan membunuh semangat dan pengertian Gawai. Sebab, sambutan Gawai - di kebanyakan kampung dan rumah panjang tidak lebih daripada majlis tari-menari dan disko, malah dangdut dan konsert dengan lagu-lagu pop. Budaya dan tradisi? Jangan ditanya letaknya di mana. Suasana seperti ini menyebabkan, pada tahun-tahun kebelakangan ini, tatkala pulang ke kampung untuk menyambut Gawai, saya tidak berasa teruja dan kehilangan keinginan.


Barangkali yang masih saya anggap kuat dalam menyatukan erti perpaduan dan mengeratkan hubungan adalah adat melawat dari rumah ke rumah secara beramai-ramai. Ini aspek yang saya lihat dan percaya betapa nilai kekeluargaan sesama anak kampung dan rumah panjang begitu utuh, dan selain adat ini, hari ini juga kesempatan untuk melawat rakan-rakan lama semasa di bangku sekolah rendah dulu.


Selebihnya, saya masih mengenang Hari Gawai sebagai suatu catatan sejarah tentang pengalaman lalu, tentang masa yang tidak akan kembali, tentang keriuhan dan keseronokan sambutan sebagai anak kecil dengan pakaian baru biarpun tidak ada wang saku, keseronokan bermain gong dan berjaga sampai ke dinihari atau subuh. Pada hari ini terutamanya, makanan memang mewah, itu belum termasuk lagi soal tuak atau inyok yang kini saya tidak sentuh atau cicip.


Cuma tahun ini, saya ada alasan untuk tidak menyambut Hari Gawai sebab anak saya ada peperiksaan pertengahan tahun, sedang di Sarawak, anak-anak sekolah bercuti awal dan selama tiga minggu. Dan mungkin satu hari nanti, saya menjangkakan, anak saya juga tidak mengerti dan memahami pengertian dan semangat sebenar Hari Gawai.


Selamat Hari Gawai..untuk keluarga saya, sahabat, kawan, rakan dan seluruh kominiti yang meraikannya...


Apakah gawai bagi orang seperti saya? Barangkali, ada yang beranggapan, saya orang yang lupa tradisi, lupa asal-usul atau warisan nenek-moyang, tetapi saya tidak pernah beranggapan begitu!

Jumaat, 14 Mei 2010

Penuliskah aku?


Seorang penulis, pastinya akan terus berkarya tanpa mengambil kira genrenya, atau sekurang-kurangnya diiktiraf oleh orang lain sebagai penulis. Saya, secara pastinya mahu mengatakan seorang penulis perlu menulis atau berkarya dan kemudiannya, menghasilkan buku atau penerbitan dalam bentuk cetakan, sama seperti yang dilakukan oleh teman seperti SM Zakir yang begitu bersungguh untuk berkarya.

Dan saya juga seorang penulis? Hakikatnya, saya sering memikirkan hal seperti ini dan menyoal, apakah aku seorang penulis, selayaknya, untuk dipanggil penulis, atau digelar penulis. Jika direnungi dan dihalusi soalan dan pertanyaan ini dan kemudiannya, ditambah dengan soalan, apakah saya seorang sasterawan, maka tentunya, dan saya semakin sedar, saya semakin tidak layak untuk meletakkan diri dalam perkataan 'seorang penulis' apatah lagi 'sasterawan.'

Mungkin, apakah yang perlu saya banggakan dengan beberapa cerpen yang pernah saya hasilkan untuk berebut beberapa hadiah suatu ketika dulu, atau menyumbang dalam antologi cerpen termausk yang diusahakan oleh mantan sifu kritikan sastera saya dulu, arwah Othman Puteh, juga beberapa karya yang tidak pernah diterbitkan, juga beberapa novel sama ada diterbitkan dalam bentuk novel bersiri atau buku, maka, sebenarnya, ia tidak memadai, atau tidak memberikan kelebihan.

Barangkali juga, disebabkan perasaan diri seperti ini juga, suatu masa dulu saya pernah memikirkan secara serius, secara tuntas, untuk tidak lagi menggelumangi dunia penulisan dan sastera untuk menghasilkan cerpen atau novel. Tetapi entah apakah sebabnya, saya memilih untuk menulis semula pada kadar yang amat minimum dan lebih terarah untuk mendapatkan sedikit (atau banyak) wang. Ya, menulis novel mengajar saya bahawa berkarya juga boleh memberi pulangan material atau kewangan dan jika kena pada usaha dan cara, ia merupakan suatu yang lumayan.

Tetapi hakikatnya, saya tidak mencapai tahap itu untuk berkarya sepetri beberapa teman yang kelihatannya memperoleh dan menikmati hidup yang lebih baik dengan menghasilkan novel, dan akhirnya, saya menyedari, saya juga bukan seorang yang layak untuk digelar novelis, penulis, apatah sasterawan yang tersohor dan terbilang, sedang pada tahap sekarang, saya tidak mempunyai apa-apa dalam bidang ini.

Barangkali, saya lebih selesa dengan profesion saya sebagai wartawan dan kemudiannya penerbit televisyen, jauh daripada kebesaran nama seorang penulis, apatah lagi sasterawan. Menikmati hidup sebagai penerbit pun bukanlah suatu yang penuh glamor, kerana, realiti dalam bidang penyiaran tidak menyelitkan sama makna glamor atau ternama. Kini, saya masih seorang yang perlu belajar dan sentiasa belajar dalam bidang penyiaran, masih perlu berfikir secara kreatif, selain perlu mempunyai ketajaman fikiran membuat analisis dan mendalami sesuatu isu atau perkara daripada pelbagai sudut.

Masihkah saya seorang penulis? Saya memilih untuk tidak meletakkan diri sebagai seorang penulis, novelis atau cerpenis, dan kadang-kadang saya memilih untuk melakukan kerja-kerja terjemahan, yang nampakhnya lebih lumayan pulangan kewangannnya. Dan dalam dunia sastera, saya sebenarnya mahu menjadi apa, atau mahu dijadikan apa?

Sekali lagi, saya tidak bernama dalam bidang ini. Itu yang pastinya dan saya tidak mempunyai sebarang perasaan terkilan atau mahu berbesar hati dengan kekurangan atau penglibatan saya yang amat rendah/minimum itu. Atau mungkin, dalam perjalanan waktu ini, dengan gelut tugas sebagai Penerbit, saya hanya orang pinggiran dalam sastera dan penulisan, yang tidak layak pun dianggap sebagai pemerhati atau peminat sastera.


Selasa, 20 April 2010

Tanpa judul


Di sana tidak ku temui

tentang hidup dan mati

tentang nyata dan meta.


Di sana tentang segala

antara benar dan palsu

yang sebati berbaur

hingga aku merasai nikmat sengsara

tersesat mencari betul dan benar

mentafsir palsu dan betul.


Tidak mengapa

jika ini sekadar mimpi

atau singgahan mencari kepastian

bukankah hidup menungkah perjalanan

dalam liku dan payah

dalam lelah dan sungkur

dalam alpa dan jaga.



Jumaat, 9 April 2010

Tanggungjawab..sudah?


Lihat logo keramat ini, simbol yang secara peribadi kurang menyenangkan saya, tetapi apakan daya saban tahun menjelang Januari dan februari maka sampailah sampul surat di dalam peti pos di rumah anda. Urusan selebihnya, ramai yang tahu!

Saya tidak anti atau menentang percukaian kerana memahami kepentingan wang hasil cukai kepada kantung perbendaharaan negara, tanpa wang pembayar, hatta negara mana pun memerlukan hasil percukaian untuk segala-galanya urusan kenegaraan, dan begitulah untuk Malaysia.

Saya menjadi sebahagian warga pembayar cukai sejak mula memasuki alam pekerjaan disebabkan skil gaji saya termasuk dalam golongan layak (layak?) membayar cukai. Saya lebih suka perkataan layak diganti sebagai "orang kena bayar cukai" bermula daripada beberapa ratus setahun kini meningkat kepada beberapa ribu setahun.

Saya juga amat kagum dengan undang-undang percukaian negara dan mengakui mereka memang cekap dalam mengutip duit daripada okbc ini, malah begitu terperinci sehingga pendapatan sebesar hama pun kalau dikesan, anda kena bayar. Kena bayar tau!

Berapakah yang anda kena bayar, perlu bayar dan wajib bayar? dalam aktanya, sebagai okbc, maka menjadi tanggungjawab anda melunaskan cukai kepada lembaga yang menguruskannya, jika tidak, ada la habuannya. Tidak mengapa, itu undang-undang dan wajib dipatuhi. Dipatuhi?

sebenarnya, sebagai pembayar anda tidak ada peluang lain selain daripada pembayar dan membayar sehingga saya merasakan, dan tidak dapat memahami apakah yang saya wajib bayar selain daripada pembayaran asas mengikut kadar yang ditetapkan melalui potongan gaji. Misalnya, saya dikenakan membayar setiap bulan pada jumlah yang amat besar sepanjang tahun, dan jumlahnya bukan sedikit! Saya tidak faham apakah pertimbangan dan perincian yang digunakan oleh pihak berkenaan untuk memotong gaji saya pada kadar yang agak tinggi, yang pada hemat saya dibuat sesuka hati tanpa memikirkan apakah kesan kewangan. Jika itu tanggungjawab, ya, saya boleh faham dan menerima, tetapi apakah justifikasi pihak berkenaan membuat arahan memotong gaji, tidak pernah dijelaskan. dasar kerja mereka adalah: potong dulu, tanya kemudian!

Malah mereka, demi memastikan kutipan sentiasa meningkat setiap tahun, dan mengembungkan dana negara, membuat peraturan-peraturan berkaitan pembayaran cukai seumpama semberono. Misalnya, faedah persaraan yang diambil semasa berhenti daripada majikan lama saya dulu dikenakan cukai, sedangkan selama ini, faedah itu tidak dikenakan cukai. Alasannya, ada peraturan terbaru, wang itu dikenakan cukai sebab dikeluarkan sebelum usia persaraan. Emmm..ambil sajalah, kami pembayar cukai tidak pernah tahu menahu tentang sekian peraturan dan tanggungjawab yang dikuatkuasakan dan kami pun tidak boleh mempersoalkan apa-apa pun.

Bulan April ini, kerja-kerja mengisi borang dan menyerahkannya kepada LHDN sedang rancak. Kalau bayar terlebih, baguslah. Kalau terkurang bayar, alamatnya, kempis lagi kantung peribadi okbc seperti mana seorang kawab saya, seorang pegawai diplomat yang terpaksa membayar kekurangan bayaran...mana nak cekau? Nasib la kawan.

Saya juga tidak begitu senang dalam hal wang pembayar cukai ini apabila gomen misalnya, selalu berkata seperti dalam kempen-kempennya, terutama semasa pilihan raya, menggunakan wang kerajaan untuk janji politik. Dan gomen, para eksekutif politiknya mendakwa wang yang dibelanjakan adalah wang kerajaan. Tanpa pembayar cukai, apakah gomen ada wang? jadi bacalah begini, wang pembayar cukai, bukan wang kerajaan, dan janganlah sesuka hati menabur wang itu. Tapi kalau tak percaya, saksikanlah sedikit hari lagi bagaimana wang dibelanjakan sesuka hati hanya untuk tujuan politik parti atas nama wang kerajaan sebab kerajaan dan parti politik adalah satu, dan sengaja buat tak tahu bahawa wang itu, wang pembayar cukai, wang orang kena bayar cukai...wang orang kena bayar cukai.

Cuma sebenarnya, bagi tahun lalu, saya masih belum lagi menguruskan borang LHDN, terutamanya apabila memikirkan akan ada potongan yang menghilangkan kewarasan saya berfikir kelak.

Yalah, saya kena juga menghadapi sistem percukaian ini, walaupun dengan hati yang sebal...sebalkah aku?

Rabu, 10 Mac 2010

15 tahun dan perubahan


Sejak beberapa waktu, saya berasa semakin gatal tangan untuk mengetuk papan kekunci demi memperkatakan perihal dewan bahasa dan pustaka, suatu badan besar - tetapi masih penting dan relevankah - paling tidak pun kepada media massa. Saya ingin mengakui bahawa sebagai penulis yang menggelumangi sastera serba sedikit, saya tidak menganggap dbp sebagai badan yang saya mahu dan boleh bergantung harap demi memastikan karya-karya saya akan tersiar atau diterbitkan, dan sebab itu, saya tidak pernah berasa berhutang. Saya boleh memahami jika ada golongan dan rakan yang begitu mahu meletakkan harapan dan kecintaan demi badan ini, tetapi saya memikirkan, terlalu banyak kekangan dan rigiditi yang mencengkam.


Apakah dbp relevan secara keseluruhannya. Ini cerita kecil yang saya mahu perkatakan, betapa banyak perubahan yang melanda badan ini sejak 15 tahun saya berhubung dengannya sebagai seorang wartawan, dan yang nyata perubahannya tidak begitu menyenangkan dan menyerlahkan sikap dan pemikiran yang jumud.


Saya mungkin emosi, tetapi saya sebenarnya berasa tidak puas hati dengan badan ini dan saya rasakan sebagai tindakan dan perbuatan tidak bertempat dan tidak profesional. Sekadar mahu mengata, bagaimana seorang editor begitu kecewa dengan tindakan pegawai dan kakitangannya yang tidak dapat memberi kerjasama biarpun untuk kerja perhubungan awam paling mudah dengan alasan paling bengap - saya tidak tahu apa perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan tahap profesionalisme golongan pekerja seperti ini. Saya beranggapan perkara dan permasalahan ini semakin menular selepas berakhirnya tempoh Datuk A. Aziz Deraman sebagai Ketua Pengarah. Saya berani mengatakan ketua pengarah selepas beliau tidak sebaiknya dalam hubungan dengan media, dan ia menjadi-jadi di bawah naungan kp yang sekarang ini.


Barangkali, sikap kakitangan badan ini mengikut jejak kpnya, barangkali. Saya pernah terkulat-kulat apabila terpaksa membatalkan topik untuk program Agenda Awani apabila kp yang dihormati ini mengarahkan supaya pegawainya yang berkenaan membatalkan persetujuannya untuk menjadi tamu program saya. Saya hormati keputusannya kerana itu bidang kuasanya, tetapi saya tidak faham apakah rasional dan pemikiran besarnya dengan tindakan itu sedang saya menjemput untuk memberi ruang kepada badan ini memperkatakan soal bahasa jauh daripada pengertian sensasi dan publisiti murahan - tetapi berpincangan secara berakal.


Tidak mengapalah jika itu tindakan bijaksana, tetapi saya "terkena" sekali lagi semasa MABBIM melangsungkan mesyuaratnya. Beberapa minggu terdahulu saya mendapat sepucuk surat daripada bahagian komunikasi yang ditujukan kepada Penerbit Perspektif Kita - saya penerbitnya pada masa itu - memaklumkan perihal acara itu. Maka saya berbesar hati untuk membawa acara ini untuk program Agenda Awani. Diringkaskan cerita, saya mendapat jawapan yang hampas apabila difahamkan pegawai-pegawai yang berkaitan mengatakan tidak ada isu untuk diperkatakan, dan majlis hanya mesyuarat biasa-biasa saja. Kalau mesyuarat itu sekadar biasa-biasa saja, kenapa perlu hendak diadakan, termasuk menjemput pegawai dari Brunei dan Indonesia? Bukankah membazir namanya.


Sekali ini, saya juga berasa betapa adanya orang yang bertaraf pegawai dan berkelulusan sebenarnya manusia yang tidak mempunyai karisma dan jumud, gagal memahami bahawa tujuan saya membawa perihal bahasa dan MABBIM bukan untuk sensasi, kontroversi dan isu. Apakah tidak boleh membawa perihal bahasa Melayu dan MABBIM kepada khalayak di luar daripada segala perkara kecoh, isu, kontroversi dan sensasi? Apakah jenis pemikiran pegawai bahasa serupa ini?


Saya selalu beranggapan, dengan peluang dan ruang yang ada, juga kuasa membuat keputusan yang ada, mahu menggunakannya untuk bahasa dan sastera tetapi pengalaman saya menunjukkan betapa kerenah manusia yang sesetengah ini memang menjadikan saya berasa amat jengkel, dan menyebabkan saya tidak mahu membuat sebarang hubungan dengan mereka melalui dunia siber, juga berharap, tidak perlu berdepan muka dengan mereka.


Pada akhirnya, saya tidak berasa rugi jika tidak membawa hal berkaitan bahasa, sastera dan dbp ke kaca televisyen, jika orang yang berkaitan tidak tahu menggunakan ruang yang diberikan dengan sebaik mungkin.


Jumaat, 15 Januari 2010


Saya sudah memperkatakan tentang perihal ini dalam blog ini dan amat tidak menyokong perkataan Allah digunakan oleh pengikut agama Kristian. Saya memang jelas dalam hal ini tetapi ada orang yang memberi respons menyanggah pendirian saya dengan khutbah yang panjang dan malas saya hendak mempedulikan. Saya begini bukan sebab saya jumud atau tidak berfikiran terbuka tetapi memikirkan apakah justifikasi untuk membenarkan pengikut agama Kristian, khususnya Katolik menggunakan perkataan Allah. Apatah lagi, apabila kita sendiri mempertikaikan sejauh mana kesahihan ajaran agama ini selepas mengetahui bahawa kitab yang mereka gunakan sudah diseleweng? Dan, saya menghujahkan pengikut agama ini lazimnya menggunakan pelbagai perkataan untuk merujuk tuhan, selain God atau Tuhan, para pengikutnya juga menggunakan perkataan yang membawa maksud tuhan dalam bahasa sukuan kaum-kaum yang ada. Jadi bayangkan di seluruh dunia ini ada berapa banyak kata nama tuhan pengikut agama ini.

Saya tidak sentrik dalam hal ini, malah menolak hujah bahawa kununnya perkataan Allah sudah digunakan sekian lama oleh pengikut agama ini di Sabah dan Sarawak. Saya tertanya sendiri, sekian lama yang didakwa itu sebenarnya, berapa lama. Adakah 10 tahun, 15 tahun atau 20 tahun, atau lebih lama lagi. Malangnya, pengetahuan dan ingatan cetek saya ini tidak dapat mengikuti berapa lama sudah perkataan Allah ini digunakan oleh pengikut agama ini di Sabah dan Sarawak. Saya sering mengikut Missa (Massa, iaitu acara sembahyang utama) yang menggunakan bahasa Melayu pada tahun 1980-an dan 1990-an, saya tidak pernah mendengarnya, atau barangkali pada masa itu telinga saya tersumbat, jadi... Kalau perkataan itu digunakan dekad pertama abad ke-21, maka itu dikatakan sudah lama? Saya tidak mahu menyentuh terlalu banyak dalil atau hujah, merujuk Allah dalam kepercayaan pengikut agama Kristian akan memberi gambaran yang terpesong. Apakah kita akan difahamkan pula mengenai suatu konsep Trinity, yakni tiga unsur dalam satu tuhan mengikut kepercayaan mereka. Tentu kacau-bilau jadinya! Jadi saya tidak terkejut ramai yang menentang, biarpun ada yang bersikap liberal kununnya, menerima Allah digunakan dalam perbendaharaan kata pengikut agama Kristian.

Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan menyerang dan membakar gereja sebab kebanyakan, hampir semua gereja yang dibakar - walaupun apinya besar sikit daripada sumbu peliti - merupakan gereja yang tidak semazhab dengan gereja Roman Katolik. Perlu diingat, pihak yang bersungguh menggunakan perkataan Allah adalah gereja Katolik dan kita tidak boleh melakukan suatu penyamaan atas sebab mereka beragama Kristian. Tindakan seperti ini sebenarnya memberi padah buruk kepada agama Islam kerana, ia telah menyatukan pengikut mahzab yang berbeza, sedangkan perbezaan, pengasingan dan pertelingkahan antara mazhab dalam agama Kristian amat besar - biarpun tidak pernah diperkatakan secara terbuka, tetapi dalam banyak perkara dan hal, termasuk soal akidah mengikut kepercayaan mereka, mereka saling bertelingkah.

Berkaitan dengan isu ini juga, seorang sahabat saya yang bekerja dengan orang besar di KDN memberitahu, isu ini membuka suatu lagi nanah dalam hubungan antara agama di Malaysia, betapa wujudnya sikap antagonis atau membenci pengikut agama Kristian, khususnya di Sabah dan Sarawak terhadap orang Islam. Saya tidak mahu berprasangka buruk, apatah lagi ia merupakan kata-kata perbualan tetapi ini merupakan kebenaran yang tidak mahu dipedulikan selama ini, hakikatnya juga, ia merupakan kebenaran yang hidup dan mungkin bagaikan api membakar di tanah gambut. Sama ada percaya atau menolak, kebenaran tetap sudah berada di sana.

Dan penyelesaian terbaik bagi saya dalam hal dan kemelut yang sedang melanda ini, bukan mahkamah, bukan dialog, melainkan menarik balik penggunaan perkataan Allah oleh penerbitan terbabit. Apakah mereka mahu?