Jumaat, 15 Januari 2010


Saya sudah memperkatakan tentang perihal ini dalam blog ini dan amat tidak menyokong perkataan Allah digunakan oleh pengikut agama Kristian. Saya memang jelas dalam hal ini tetapi ada orang yang memberi respons menyanggah pendirian saya dengan khutbah yang panjang dan malas saya hendak mempedulikan. Saya begini bukan sebab saya jumud atau tidak berfikiran terbuka tetapi memikirkan apakah justifikasi untuk membenarkan pengikut agama Kristian, khususnya Katolik menggunakan perkataan Allah. Apatah lagi, apabila kita sendiri mempertikaikan sejauh mana kesahihan ajaran agama ini selepas mengetahui bahawa kitab yang mereka gunakan sudah diseleweng? Dan, saya menghujahkan pengikut agama ini lazimnya menggunakan pelbagai perkataan untuk merujuk tuhan, selain God atau Tuhan, para pengikutnya juga menggunakan perkataan yang membawa maksud tuhan dalam bahasa sukuan kaum-kaum yang ada. Jadi bayangkan di seluruh dunia ini ada berapa banyak kata nama tuhan pengikut agama ini.

Saya tidak sentrik dalam hal ini, malah menolak hujah bahawa kununnya perkataan Allah sudah digunakan sekian lama oleh pengikut agama ini di Sabah dan Sarawak. Saya tertanya sendiri, sekian lama yang didakwa itu sebenarnya, berapa lama. Adakah 10 tahun, 15 tahun atau 20 tahun, atau lebih lama lagi. Malangnya, pengetahuan dan ingatan cetek saya ini tidak dapat mengikuti berapa lama sudah perkataan Allah ini digunakan oleh pengikut agama ini di Sabah dan Sarawak. Saya sering mengikut Missa (Massa, iaitu acara sembahyang utama) yang menggunakan bahasa Melayu pada tahun 1980-an dan 1990-an, saya tidak pernah mendengarnya, atau barangkali pada masa itu telinga saya tersumbat, jadi... Kalau perkataan itu digunakan dekad pertama abad ke-21, maka itu dikatakan sudah lama? Saya tidak mahu menyentuh terlalu banyak dalil atau hujah, merujuk Allah dalam kepercayaan pengikut agama Kristian akan memberi gambaran yang terpesong. Apakah kita akan difahamkan pula mengenai suatu konsep Trinity, yakni tiga unsur dalam satu tuhan mengikut kepercayaan mereka. Tentu kacau-bilau jadinya! Jadi saya tidak terkejut ramai yang menentang, biarpun ada yang bersikap liberal kununnya, menerima Allah digunakan dalam perbendaharaan kata pengikut agama Kristian.

Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan menyerang dan membakar gereja sebab kebanyakan, hampir semua gereja yang dibakar - walaupun apinya besar sikit daripada sumbu peliti - merupakan gereja yang tidak semazhab dengan gereja Roman Katolik. Perlu diingat, pihak yang bersungguh menggunakan perkataan Allah adalah gereja Katolik dan kita tidak boleh melakukan suatu penyamaan atas sebab mereka beragama Kristian. Tindakan seperti ini sebenarnya memberi padah buruk kepada agama Islam kerana, ia telah menyatukan pengikut mahzab yang berbeza, sedangkan perbezaan, pengasingan dan pertelingkahan antara mazhab dalam agama Kristian amat besar - biarpun tidak pernah diperkatakan secara terbuka, tetapi dalam banyak perkara dan hal, termasuk soal akidah mengikut kepercayaan mereka, mereka saling bertelingkah.

Berkaitan dengan isu ini juga, seorang sahabat saya yang bekerja dengan orang besar di KDN memberitahu, isu ini membuka suatu lagi nanah dalam hubungan antara agama di Malaysia, betapa wujudnya sikap antagonis atau membenci pengikut agama Kristian, khususnya di Sabah dan Sarawak terhadap orang Islam. Saya tidak mahu berprasangka buruk, apatah lagi ia merupakan kata-kata perbualan tetapi ini merupakan kebenaran yang tidak mahu dipedulikan selama ini, hakikatnya juga, ia merupakan kebenaran yang hidup dan mungkin bagaikan api membakar di tanah gambut. Sama ada percaya atau menolak, kebenaran tetap sudah berada di sana.

Dan penyelesaian terbaik bagi saya dalam hal dan kemelut yang sedang melanda ini, bukan mahkamah, bukan dialog, melainkan menarik balik penggunaan perkataan Allah oleh penerbitan terbabit. Apakah mereka mahu?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnye apa yg berlaku sekarang ini adalah merupakan "end result" dari sikap kelekaan dan keangkuhan orang islam itu sendiri.Orang Islam patut menyedari hal ini akan berlaku sejak dari dulu lagi. Lihat aje pemahaman dan pegangan orang2 Islam yang lahir selepas zaman penjajah. Bertitik dari segi pendidikan dan juga cara hidup mereka. Persoalan agama sering diabaikan malah lebih berbangga dengan kehidupan yang bercanggah dengan cara Islam itu sendiri. Inilah hasilnya anak cucu yang dilahirkan kemudiannya. Berfikiran terbuka yang keterlaluan, hal agama diasingkan dari kehidupan seharian. Ada yang memang sembahyang tetapi sembahyang disebabkan keturunan nya Islam tetapi tidak memahami hakikat yang sebenarnya apa itu ISLAM. Maka tidak hairanlah cuma segelintir yang merasa sensitif akan isu sebegini. Apa hal pula dengan golongan2 elit yang mengaku Islam yang memegang jawatan2 kuat adalam sesuatu organisasi? Mereka ini lah yang menerajui orang2 Islam dibawahnya. Adakah mereka mempertahankan hak yang kita ada ini...atau mereka cuma sibuk dengan hal dunia mereka. Anak2 mereka yang akan mengantikan tempat mereka kelak? Adakah terdidik sama memegang konsep Islam sebenar nya...atau Islam di Disco2, Club2, Casino atau....? Cuma Kancil yang melupakan jerat, jerat tak pernah melupakan kancil.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Saya percaya, Sdr lebih mengetahuinya dalam hal penggunaan nama Allah ini.