Sejak beberapa waktu, saya berasa semakin gatal tangan untuk mengetuk papan kekunci demi memperkatakan perihal dewan bahasa dan pustaka, suatu badan besar - tetapi masih penting dan relevankah - paling tidak pun kepada media massa. Saya ingin mengakui bahawa sebagai penulis yang menggelumangi sastera serba sedikit, saya tidak menganggap dbp sebagai badan yang saya mahu dan boleh bergantung harap demi memastikan karya-karya saya akan tersiar atau diterbitkan, dan sebab itu, saya tidak pernah berasa berhutang. Saya boleh memahami jika ada golongan dan rakan yang begitu mahu meletakkan harapan dan kecintaan demi badan ini, tetapi saya memikirkan, terlalu banyak kekangan dan rigiditi yang mencengkam.
Apakah dbp relevan secara keseluruhannya. Ini cerita kecil yang saya mahu perkatakan, betapa banyak perubahan yang melanda badan ini sejak 15 tahun saya berhubung dengannya sebagai seorang wartawan, dan yang nyata perubahannya tidak begitu menyenangkan dan menyerlahkan sikap dan pemikiran yang jumud.
Saya mungkin emosi, tetapi saya sebenarnya berasa tidak puas hati dengan badan ini dan saya rasakan sebagai tindakan dan perbuatan tidak bertempat dan tidak profesional. Sekadar mahu mengata, bagaimana seorang editor begitu kecewa dengan tindakan pegawai dan kakitangannya yang tidak dapat memberi kerjasama biarpun untuk kerja perhubungan awam paling mudah dengan alasan paling bengap - saya tidak tahu apa perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan tahap profesionalisme golongan pekerja seperti ini. Saya beranggapan perkara dan permasalahan ini semakin menular selepas berakhirnya tempoh Datuk A. Aziz Deraman sebagai Ketua Pengarah. Saya berani mengatakan ketua pengarah selepas beliau tidak sebaiknya dalam hubungan dengan media, dan ia menjadi-jadi di bawah naungan kp yang sekarang ini.
Barangkali, sikap kakitangan badan ini mengikut jejak kpnya, barangkali. Saya pernah terkulat-kulat apabila terpaksa membatalkan topik untuk program Agenda Awani apabila kp yang dihormati ini mengarahkan supaya pegawainya yang berkenaan membatalkan persetujuannya untuk menjadi tamu program saya. Saya hormati keputusannya kerana itu bidang kuasanya, tetapi saya tidak faham apakah rasional dan pemikiran besarnya dengan tindakan itu sedang saya menjemput untuk memberi ruang kepada badan ini memperkatakan soal bahasa jauh daripada pengertian sensasi dan publisiti murahan - tetapi berpincangan secara berakal.
Tidak mengapalah jika itu tindakan bijaksana, tetapi saya "terkena" sekali lagi semasa MABBIM melangsungkan mesyuaratnya. Beberapa minggu terdahulu saya mendapat sepucuk surat daripada bahagian komunikasi yang ditujukan kepada Penerbit Perspektif Kita - saya penerbitnya pada masa itu - memaklumkan perihal acara itu. Maka saya berbesar hati untuk membawa acara ini untuk program Agenda Awani. Diringkaskan cerita, saya mendapat jawapan yang hampas apabila difahamkan pegawai-pegawai yang berkaitan mengatakan tidak ada isu untuk diperkatakan, dan majlis hanya mesyuarat biasa-biasa saja. Kalau mesyuarat itu sekadar biasa-biasa saja, kenapa perlu hendak diadakan, termasuk menjemput pegawai dari Brunei dan Indonesia? Bukankah membazir namanya.
Sekali ini, saya juga berasa betapa adanya orang yang bertaraf pegawai dan berkelulusan sebenarnya manusia yang tidak mempunyai karisma dan jumud, gagal memahami bahawa tujuan saya membawa perihal bahasa dan MABBIM bukan untuk sensasi, kontroversi dan isu. Apakah tidak boleh membawa perihal bahasa Melayu dan MABBIM kepada khalayak di luar daripada segala perkara kecoh, isu, kontroversi dan sensasi? Apakah jenis pemikiran pegawai bahasa serupa ini?
Saya selalu beranggapan, dengan peluang dan ruang yang ada, juga kuasa membuat keputusan yang ada, mahu menggunakannya untuk bahasa dan sastera tetapi pengalaman saya menunjukkan betapa kerenah manusia yang sesetengah ini memang menjadikan saya berasa amat jengkel, dan menyebabkan saya tidak mahu membuat sebarang hubungan dengan mereka melalui dunia siber, juga berharap, tidak perlu berdepan muka dengan mereka.
Pada akhirnya, saya tidak berasa rugi jika tidak membawa hal berkaitan bahasa, sastera dan dbp ke kaca televisyen, jika orang yang berkaitan tidak tahu menggunakan ruang yang diberikan dengan sebaik mungkin.
3 ulasan:
Apabila Lukman marah aku takut..samalah kalau shahrunizam marah... lagi takut. DBP kena beri perhatian pada kemarahan Lukman ni. Dia jarang marah. Sekali tentu sebabnya ada.
Luqman ni bahaya bila marah, baik lari cepat-cepat jangan nak tunjuk hero ngadap dia. Luqman bila menulis makna dia marah la tu. Tengok blog dia pun tahu, sampai berkulat - makna dia jarang marah. orang yang jarang marah, sekali marah jangan buat main. Man, dunia ni banyak pilihan - biarlah luncai dengan labu-labunya. Kita cari labu yang lain. tak da labu, betik pun jadila. Atau kau suka buah apa... kuang kuang
TUan,
DBP tu apa? Ooooo bangunan tinggi depan kubur tu ke? Dekat simpang 4 tu...Ooooo, bangunan tu? Ingatkan muzium buku negara. Oooo, ada.
Catat Ulasan