Jumaat, 14 Mei 2010

Penuliskah aku?


Seorang penulis, pastinya akan terus berkarya tanpa mengambil kira genrenya, atau sekurang-kurangnya diiktiraf oleh orang lain sebagai penulis. Saya, secara pastinya mahu mengatakan seorang penulis perlu menulis atau berkarya dan kemudiannya, menghasilkan buku atau penerbitan dalam bentuk cetakan, sama seperti yang dilakukan oleh teman seperti SM Zakir yang begitu bersungguh untuk berkarya.

Dan saya juga seorang penulis? Hakikatnya, saya sering memikirkan hal seperti ini dan menyoal, apakah aku seorang penulis, selayaknya, untuk dipanggil penulis, atau digelar penulis. Jika direnungi dan dihalusi soalan dan pertanyaan ini dan kemudiannya, ditambah dengan soalan, apakah saya seorang sasterawan, maka tentunya, dan saya semakin sedar, saya semakin tidak layak untuk meletakkan diri dalam perkataan 'seorang penulis' apatah lagi 'sasterawan.'

Mungkin, apakah yang perlu saya banggakan dengan beberapa cerpen yang pernah saya hasilkan untuk berebut beberapa hadiah suatu ketika dulu, atau menyumbang dalam antologi cerpen termausk yang diusahakan oleh mantan sifu kritikan sastera saya dulu, arwah Othman Puteh, juga beberapa karya yang tidak pernah diterbitkan, juga beberapa novel sama ada diterbitkan dalam bentuk novel bersiri atau buku, maka, sebenarnya, ia tidak memadai, atau tidak memberikan kelebihan.

Barangkali juga, disebabkan perasaan diri seperti ini juga, suatu masa dulu saya pernah memikirkan secara serius, secara tuntas, untuk tidak lagi menggelumangi dunia penulisan dan sastera untuk menghasilkan cerpen atau novel. Tetapi entah apakah sebabnya, saya memilih untuk menulis semula pada kadar yang amat minimum dan lebih terarah untuk mendapatkan sedikit (atau banyak) wang. Ya, menulis novel mengajar saya bahawa berkarya juga boleh memberi pulangan material atau kewangan dan jika kena pada usaha dan cara, ia merupakan suatu yang lumayan.

Tetapi hakikatnya, saya tidak mencapai tahap itu untuk berkarya sepetri beberapa teman yang kelihatannya memperoleh dan menikmati hidup yang lebih baik dengan menghasilkan novel, dan akhirnya, saya menyedari, saya juga bukan seorang yang layak untuk digelar novelis, penulis, apatah sasterawan yang tersohor dan terbilang, sedang pada tahap sekarang, saya tidak mempunyai apa-apa dalam bidang ini.

Barangkali, saya lebih selesa dengan profesion saya sebagai wartawan dan kemudiannya penerbit televisyen, jauh daripada kebesaran nama seorang penulis, apatah lagi sasterawan. Menikmati hidup sebagai penerbit pun bukanlah suatu yang penuh glamor, kerana, realiti dalam bidang penyiaran tidak menyelitkan sama makna glamor atau ternama. Kini, saya masih seorang yang perlu belajar dan sentiasa belajar dalam bidang penyiaran, masih perlu berfikir secara kreatif, selain perlu mempunyai ketajaman fikiran membuat analisis dan mendalami sesuatu isu atau perkara daripada pelbagai sudut.

Masihkah saya seorang penulis? Saya memilih untuk tidak meletakkan diri sebagai seorang penulis, novelis atau cerpenis, dan kadang-kadang saya memilih untuk melakukan kerja-kerja terjemahan, yang nampakhnya lebih lumayan pulangan kewangannnya. Dan dalam dunia sastera, saya sebenarnya mahu menjadi apa, atau mahu dijadikan apa?

Sekali lagi, saya tidak bernama dalam bidang ini. Itu yang pastinya dan saya tidak mempunyai sebarang perasaan terkilan atau mahu berbesar hati dengan kekurangan atau penglibatan saya yang amat rendah/minimum itu. Atau mungkin, dalam perjalanan waktu ini, dengan gelut tugas sebagai Penerbit, saya hanya orang pinggiran dalam sastera dan penulisan, yang tidak layak pun dianggap sebagai pemerhati atau peminat sastera.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Diri saudara adalah apa yang saudara pilih dalam hidup. Buatlah sesuatu yang saudara rasa yang selesa dan yang saudara gemari. Bekerja adalah tanggungjawab dalam memenuhi kehendak harian dan kehidupan. Kenalpasti potensi diri dan minat sebenar saudara. Pada satu tahap saudara pasti akan temui diri saudara yg sebenarnya. Bekerja bukan penghalang untuk berkarya...berkarya adalah anugerah yang di kurnia oleh Allah s.w.t pada individu.Gunakan kebolehan dan bakat yg ada pada diri sebaik-baiknya. Tak perlu pada gelaran, yang penting mesej apa yang nak disampaikan dalam setiap penulisan,karya atau penerbitan. Kerana itu lah kepuasan pada diri.

*******

S.M. Zakir berkata...

Tak serius:
apologetik la pulak kawan aku ni. dah punya hebat menulih, kecik ati lak skrang. tula sapa suruh nulih novel cinta pop.. kalu jiwang macam haji sham dan rahimidin boleh la

Serius:
Luqman Hakim yang saya kenali adalah seorang penulis hebat seangkatan saya pada dekad 90-an. Lawrence Quek mengungguli penulisan cerpen yang menyaingi saya, Zaen Kasturi, Muhd Nasruddin Dasuki dll pada dekad 90-an. Tetapi dunia kewartawanan menghilangkan 'Lawrence Quek @ Luqman Hakim' dalam dunia sastera, sementara saya yang tidak jadi wartawan atau apa-apa terus jadi penulis (pilihan saya @ tiada pilihan lain).

Salah seorang editor terbaik yang menangani karya kreatif dan non-kreatif saya dengan amat baik adalah Luqman Hakim. Luqman mewakili dunia editor lama yang penuh iltizam, luas ilmu, bijak bahasa dan jujur mengkritik. Sekarang banyak editor muda yang tak layak pun dipanggil editor... buku pun tak baca, nulis pun tak tahu.

Tak Serius balik:
Dah lah, banyak sangat puji kan kembang lak ko.. meletup nanti. Tapi kenyataannya kami penulis2 lama dekad 90-an ni - tak hidup dek puji tak mati dek keji!

Sham al-Johori berkata...

Itu duluuuuu, skrg ni dah cekap main kamera pula.
hehehe