Beberapa peristiwa yang berlaku di Malaysia ini, khususnya Kuala Lumpur dalam
apa yang dinamakan tuntutan hak, kesaksamaan dan keadilan seperti himpunan
BERSIH dan LBGT diangkat sebagai suatu yang mempunyai kesahannya sendiri.
Namun dalam aliran pemikiran baru seperti wujudnya Atheisme Baru dan juga apa
yang dinamakan sebagai Gerakan Masyarakat Sivil, kita perlu memikirkan secara
jernih apakah sebenarnya makna di sebalik segala peristiwa, kejadian atau
pelbagai tuntutan yang dikemukakan.
Tentunya, berdepan dengan perkara seumpama itu memerlukan suatu
rangka pemikiran dan gerakan ketamadunan dan penyuburan pemikiran
yang berkerangka yang sesuai dengan masyarakat, amalan, budaya dan tentu
sekali dengan agama Islam.
Apakah umum masyarakat di Malaysia menyedari tentang perihal sebenar agenda
dalam apa yang dinamakan sebagai Gerakan Masyarakat Sivil? Apakah ia suatu
gerakan dalam memaju masyarakat dan negara menuju kemajuan dan ketamadunan?
Hakikatnya, gerakan ini yang dipelopor oleh kelompok tertentu di negara ini
sebenarnya adalah suatu bentuk penerobosan pemikiran yang mengubah cara berfikir
dan bertindak kita dengan kesan akhirnya, kita akan berfikir, bertindak dan
berbudaya seperti kuasa di belakang penggerak kelompok ini.
Cabaran sebenar agama, bangsa dan negara hari ini adalah bagaimana menangkis
serangan pemikiran dan falsafah kehidupan pascamoden yang melihat kehancuran dan
perpecahan sebagai asas dan pembaharuan.
Maka dengan itu kita boleh memahami bahawa ia sebenarnya suatu
bentuk imperialisme baru dalam zaman moden selepas penjajahan dan
penguasaan ekonomi. Persoalannya, apakah kita sedar dan memahami apakah
sebenarnya gerakan ini?
Inilah hegemoni baru sebenar Barat, khususnya Amerika Syarikat yang
mahu meneruskan penguasaannya secara terselindung terhadap dunia
melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan gerakan melalui diplomasi
awam.
Lantas, menggunakan NGO merupakan langkah strategik dan topeng yang
perlu diawasi supaya kita tidak terpedaya dengan niat dan kemahuan sebenar
dalam penjajahan baru ini melalui agenda nilai sejagat, kesamaan agama dan
hak asasi.
Dan dalam konteks Malaysia kontemporari, kita boleh melihat perkara
atau peristiwa seperti Himpunan Bersih, LBGT dan penularan fahaman
liberalisme agama yang sebenarnya digerakkan atas landasan Gerakan Masyarakat
Sivil yang merupakan idea dan pemikiran penjajahan Barat.
Inilah perkara di sebalik peristiwa yang kita sering gagal fahami
dan tanggapi apabila kita terlalu memikirkan kehendak dan tuntutan,
atau mengikuti terlalu taksub kelompok atau kumpulan kita atas nama
perjuangan, keadilan dan kesaksamaan.
Inilah agenda Order Dunia Baru, suatu bentuk baru penjajahan kuasa Barat ke
atas dunia dengan mengeksport dan memaksa nilainya diterima pakai
oleh negara-negara lain, termasuk Malaysia.
* Tulisan ini diterbitkan dalam portal berita Mysuara.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan