Rabu, 8 Julai 2009

Mantapkan BI, Martabatkan BM

Ini ialah kenyataan akhbar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan itu berjudul: "MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,
MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS:
TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA."

Ada yang terang bersuluh di sebalik judul kenyataan ini. Apapun, sama-sama kita baca kenyataan di bawah ini, merenung dan mentafsir, dan apakah selepas ini nasib BM.

Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah akan dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.
Kerajaan juga memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.
Pelaksanaan keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan berkuatkuasa pada tahun 2012.
Pelaksanaan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu, Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat pada tahun 2012. Perubahan ini tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.
Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.
Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI sama ada yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran atau badan-badan bebas sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003.
Kajian dan pemantauan ini menunjukkan bahawa PPSMI tidak pernah dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan. Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:
· Hanya 8 peratus guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
· 46.7 peratus guru sekolah rendah dan 42.2 peratus guru sekolah menengah menggunakan kurang 50 peratus daripada masa P&P Sains dan Matematik untuk mengajar dalam bahasa Inggeris.
· Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
· Hanya 19.2 peratus guru Matematik dan Sains sekolah menengah dan 10 peratus guru Sains dan Matematik sekolah rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai Aras 4 dan 5, iaitu pencapaian baik dan cemerlang.
· Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
· Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.
Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, dan bahasa Cina dan Tamil di SJK(C) dan SJK(T).
Penguasaan bahasa Inggeris pula akan dipertingkatkan dengan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.
· Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 8000 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, terutamanya murid luar bandar.
· Untuk meningkatkan “contact time” antara guru dan murid, guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 akan disediakan bagi kelas besar yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua.
· Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
· Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
· Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu seminggu.
· Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
· Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada tiga jam menjadi enam jam seminggu.
· Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
· Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
· Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
· Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
· Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Melayu, memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.

Tiada ulasan: