Jumaat, 29 Jun 2012

Scorpene dan putaran media

JIKA dilihat tanpa menilai, pasti kita akan beranggapan bahawa terdapat kebenaran hitam di sebalik isu jual-beli kapal selam Scorpene. Dan hakikatnya, ia merupakan mainan media yang dibuat secara berkesan dan berterusan sehingga menjadi lazim seterusnya mengumpul rasa percaya dan yakin.

Maka ternampak kini membesar-besarkan sesuatu isu atau perkara sehingga terkeluar daripada batas kebenaran semakin menular tanpa mempedulikan apakah kesan dan pentingnya kepada semua pihak. Itu belum mengambil kira apakah kebaikan dan keuntungan yang dibawa daripada perbuatan menjaja sesuatu perkara yang pada hakikatnya tidak lebih daripada perbuatan putar alam sebagaimana yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan SUARAM dalam isu kapal selam Scorpene. Tidak perlu bertanya, apakah faedah atau kemahuan pihak ini di sebalik segala gembar-gembur yang mereka lakukan, seolah-olah menjaja cerita mengenai rasuah atau bayaran bawah meja dalam urusan pembelian bernilai RM7 bilion menjadi denyut nadi mereka.

Tetapi kita juga perlu menilai dan melihat semula sikap mereka ini, jika daripada segi adap, tidak pernah mahu menghormati maruah atau harga diri orang yang dipalit dengan pelbagai cerita seolah-olah jenayah sudah dilakukan dan semua pihak yang dilibatkan akan didakwa, disabit dan dihukum.

Tuduhan yang dilemparkan pada hakikatnya menjadi fitnah yang keterlaluan berbanding situasi dan cerita sebenar, seolah-olah menjadi lebih sudu dari kuah, atau apa yang orang katakan, nasi kuah taruk (letak) atas, atau bahasa mudah dan jelasnya, melebih-lebih.

Ramai yang kurang jelas mengenai perihal siasatan pembelian kapal selam Scorpene sehingga melihat dan mempercayai, ada unsur jenayah di sebalik urusan jual-beli, tetapi perlu difahami, tata perundangan di Perancis, di mana-mana aduan mengenai kes ini difailkan, agak berbeza berbanding di Malaysia – satu proses adalah siasatan, satu proses lagi perbicaraan, dan kedua-duanya melalui mahkamah dan hakim, untuk kes di Perancis.

Berbeza di sini adalah aduan sesuatu salah laku jenayah yang didakwa dilakukan oleh sesuatu pihak akan dibawa kepada mahkamah yang membenarkan hakim melakukan siasatan atau mengkaji kes secara bebas. Jadi apa yang berlaku dalam kes Scorpene ini adalah, SUARAM memberi gambaran seolah-olah mahkamah dan hakim terbabit sedang melakukan perbicaraan dan membuat publisiti seolah-olah sudah terbukti jelas ada jenayah yang dilakukan, disembunyikan dan kini sedang didedahkan.

Melalui cerita yang digembar-gemburkan dalam media, seolah-olah hukuman atas kesalahan sudah terbukti, maka DCNS kononnya membayar wang sejumlah EURO 114 milion kepada Perimekar Sdn Bhd, maka semua orang yang dikaitkan telah melakukan suatu kesalahan jenayah.

Apakah faedah dan pentingnya mainan ini kepada rakyat dan Negara? Memperjuangkan wang cukai rakyat, atau apa? Atau kepentingan puak tertentu yang sebenarnya hanya mahu memperlihatkan betapa buruknya situasi urus tadbir kewangan dan ketelusan di Malaysia.

Mendahului hasil siasatan dan menjadikannya bahan publisiti merupakan suatu tindakan yang tidak wajar, apatah membabitkan kepentingan semua pihak dalam Negara sama ada kerajaan, negara dan rakyat.

Hakikatnya, mudah untuk kita menconteng arang di muka, berbanding membasuhnya, dan jika benar apa yang digembar-gemburkan tidak lebih daripada proses siasatan yang pada akhirnya terbukti tidak benar dakwaan yang ditabur, bayangkanlah berapa besar kerosakan yang sudah dipalitkan.

Tentunya, untuk merawat dan memulih bukan kerja sehari dua kerana di sini, kita memasuki dunia persepsi di mana kumpulan ini meletakkan persepsi kental dalam pemikiran rakyat, ada jenayah serius dan berat, dan di depan negara lain, betapa teruknya Malaysia ini.

Kembali kepada isu Scorpene, terasa SUARAM sudah pergi terlalu jauh membawa isu ini ke tengah arena media sedangkan, siasatan yang dilakukan adalah bertujuan mencari fakta dan bukti, dan bukannya bukti nyata dan kukuh yang akan dikemukakan kepada hakim untuk menentukan salah atau benar.

Perlu diketahui juga siasatan yang dijalankan tidak sekadar membabitkan pembelian yang dibuat oleh Malaysia, tetapi termasuk Taiwan dan Pakistan dan isu sebenar yang dibangkitkan adalah kes korupsi antara DCN (pembuat kapal selam) dengan ahli dan parti politik Perancis.

Maka ada wajarnya, SUARAM dan pembangkang perlu bersikap jernih dalam isu ini, agar tidak bermain silap mata dengan persepsi dan fakta melalui dakwaan dan tuduhan yang akhirnya menjadi fitnah.

Apakah kita mahu terus hidup dengan melemparkan fitnah, memusing fakta dan kebenaran hanya memuaskan hati dan nafsu sendiri? Tepuk dada tanya selera.

* Kopi dan pes dari MySuara.net.

Selasa, 26 Jun 2012

Budaya surat sokongan


Petikan laporan media:

Exco pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali berkata amalan menghantar surat sokongan di kalangan pegawai kanan kerajaan bagi permohonan projek kerajaan negeri perlu dihapuskan.
"Itu norma, budaya dahulu, jumpa YB untuk dapatkan kerja dan sebagainya.
"Norma itu kita mahu tukar, YB tiada pena ajaib," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor itu berkata, beliau tiada halangan sekiranya orang ramai memohon untuk mendapatkan surat sokongan.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas isu surat sokongan memohon tender sebagai peguam panel kerajaan negeri yang ditandatangani Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.
Saya bukan pemuja mana-mana ahli politik walaupun pernah melalui hidup ini menggunakan bantuan orang politik. Apa boleh buat, sebab nak hidup dan terdesak masa itu. Kalau tidak, mungkin payah la juga sebab tercicir gerabak masa itu. Surat lambat sampai, sebab kampung kat ulu banat, jadi surat sampai dah lepas tarikh.

Itu cerita lama. Surat sokongan ni kadang-kadang berlaku disebabkan tak layak merit, tapi sebab nak, kita guna pintu belakang. Betul tak? Masalahnya juga, surat sokongan dah menjadi macam satu budaya dalam apa juga urusan dan keperluan, lebih-lebih lagi surat sokongan orang politik. Sebab, tanpa surat sokongan politik, layak sekali pun, boleh jadi tak layak andai tak ada tandatangan orang politik. Susah, kan.

Macam ada seorang kawan, nak masukkan anaknya dalam kelas prasekolah percuma, sebab dia hanya drebar teksi, jadi terpaksalah minta cop dan signature penghulu dan ketua cawangan untuk mengesahkan dia layak.

Masalahnya juga, pegawai mana-mana pun, kalau tak ada tandatangan orang politik atau orang besar, mereka jadi buta mata untuk menerima, apatah lagi memproses dan meluluskan sesuatu apa pun.

Begitulah lazim. Ini sudah budaya, jika pun ada pemimpin yang menidakkannya, ini adalah hakikat.