Sabtu, 11 Julai 2009

1Malaysia 1Bahasa?

Seorang kenalan menghantar SMS: Bahasa Melayu kita begitu rendah martabatnya sehinggakan untuk digunakan mengajar sains dan matematik di sekolah Cina dan India pun kita tidak mampu tegas untuk laksanakan, maka janganlah tinggi harapan untuk mengantarabangsakannya. Di peringkat negara sendiri pun kita sudah gagal. Apa nak jadi dengan kita ... harap pejuang-pejuang bahasa yang selama ini dok berjuang terus lagi berjuang, alang-alang nak guna Bahasa Melayu, biarlah melata ke setiap jenis sekolah.
Itu SMS yang dihantar ketika para pejuang menyambut pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan PPSMI, dan sememangnya, pengumuman itu bukan bermakna perjuangan sudah berakhir atau kemenangan sudah dicapai, sedangkan, perjuangan sebenar baru bermula.
Hakikatnya, apakah kemenangan ini mencapai makna pemartabatan sebenar kepada bahasa ini jika penggunaannya dalam semua aspek atau bidang di negara ini, bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang. Contoh paling mudah, lihatlah di gedung membeli-belah yang papan-papan iklannya nampaknya lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Itu belum lagi mengambil kira penggunaan bahasa lain. Apakah ini merupakan satu aspirasi kepada perpaduan nasional sebenar dan pembentukan suatu bangsa Malaysia sebenar, atau kita mahu melahirkan suatu bangsa Malaysia yang tampil dengan imej tanpa pengenalan diri yang jelas.
Lantas saya tertarik untuk mengaitkan perjuangan bahasa ini dengan konsep 1Malaysia. Persoalannya, apakah wadah sebenar 1Malaysia ini jika dalam aspek bahasa kita sebenarnya gagal menampilkan 1Malaysia yang tampil dengan satu bahasa.
Saya memahami SMS teman itu dan sebelum kita melangkah jauh dengan memperkatakan apa juga yang tarafnya antarabangsa, maka kita perlu bekerja ibarat mengemaskan dalaman rumah kita sendiri dan sebenarnya, kegagalan atau sikap bertolak-ansur seperti dalam SMS itu merupakan satu tempelakan kepada martabat, kepentingan dan nilai bahasa Melayu.
Jadi apakah pemimpin politik kita memikirkan bahawa 1Malaysia itu juga perlu memasukkan satu bahasa sebagai ciri utamanya. Jika kita gagal mewujudkan 1 Malaysia yang satu bahasanya, maka sebenarnya, 1Malaysia merupakan satu retorik dan slogan politik tanpa sebarang kekuatan dan makna, dan tidak perlu kita bercakap tentang kemajmukan dan kepelbagaian yang digaul memnjadi satu wajah kepada 1Malaysia.
Barangkali kita perlu melihat kepada negara seperti Amerika Syarikat yang didakwa negara kawah pelakuran dengan pelbagai ras dan etnik dunia bermastautin, tetapi menetapkan secara tegas bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kepada satu negara AS. Maka apakah Malaysia dan para pemimpinnya belajar aspirasi ini, atau 1Malaysia itu sama sahaja seperti kita bercakap mengenai Wawasan 2020, Islam Hadhari atau pelbagai lagi.
Saya kira, ini bukan sekadar perjuangan pejuang bahasa tetapi sebagai manusia yang hidup dan mahu mati di bumi Malaysia, kita wajar memikirkan, juga bekerja dan tegas untuk menyatakan, 1Malaysia juga sewajarnya satu bahasa. Jika kita tidak dapat memupuk dan memartabat pengunaan bahasa nan satu dalam negara ini, maka 1Malaysia juga tidak memberikan sebarang erti.
Jadi persoalannya, kenapa tidak, kenapa bukan. Dan kenapa ...

7 ulasan:

sahrunizam abdul talib berkata...

Saya berkongsi pandangan yang sama dengan judul yang hampir sama. Tulisan tersebut telah saya hantar ke Dewan Bahasa. Moga tersiar.

Era pasca ppsmi, pejuang dan pencinta bahasa mengharapkan bm dimartabatkan. Tapi apa yang terjadi bi semakin didaulatkan. RM50 bilion untuk pengajaran bi, masa bi ditambah, guru bi ditambah dan tidak mustahil bakal diumumkan nanti elaun guru bi akan juga ditambah. Sastera Inggeris bakal disumbatkan kepada pelajar seawal sekolah rendah. Sastera Melayu bagaimana?

Kesimpulannya mereka beri kita satu tapi dia ambil sepuluh hak kita. Terbaru 80% setuju BI mesti lulus dalam SPM. Data siapa?

- berkata...

Masa untuk proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris akan ditambah. Kenapa tidak Bahasa Melayu? Orang kita sudah lupa diri agaknya.

Luqman Hakim QA berkata...

S, tu yg saya fikirkan sebelum ini, apabila gomen melebihkan BI. Sebenarnya dah lama kerajaan (bukan DBP) tidak berbuat sesuatu dalam mengukuhkan kedudukan dan nilai BM.

ZMBL, saya tidak fikir mereka lupa diri, sebab mereka mmg tidak peduli dan tidak beriltizam.

ekspresi berkata...

salam tuan,
salam saja. no komen. hehe

- berkata...

Mungkin juga.

Sham al-Johori berkata...

Bak kata Nik Aziz, pergi jahanelah UMNO.

Luqman Hakim QA berkata...

al haj, buke ko amnoh doh lame jahane?