Rabu, 18 Mac 2009

Jangan menangis untuk Ali Rustam...


Sama ada mahu mengucapkan tahniah atau bersikap skeptikal, saya tidak boleh memilih, ketika mengimbau kembali keputusan Lembaga Disiplin UMNO ke atas Ali Rustam, KJ, Mat Tyson, Khir Toyo dan beberapa lagi para pejuang UMNO. Apakah ini amaran lembaga, sedangkan sudah ada beberapa keputusan sebelum ini.

Hakikatnya, ini merupakan salah satu babak daripada episod politik wang dalam politik - tolong baca, UMNO - yang sebenar-benarnya, sudah menjadi budaya - yakni budi dan daya - bahawa jika ini adalah penyakit seumpama barah, maka membuangnya bermakna mencabut batang dengan akar-akarnya sekali. Dan apakah ini tugas yang boleh dilaksana? Saya yakin, tidak.

Apakah tindakan terbaru ini bermakna berakhirnya perjalanan politik Ali Rustam yang direncana begitu kemas sejak mula, dan akhirnya menemui jalan mati dalam konteks penyakit politik kontemporari yang mewarnai politik negara. kata orang, pemimpin boleh datang dan pergi, dan begitu juga Ketua Menteri Melaka, dan saya sendiri tidak pernah kisah kerana politik tetap dengan cara dan rupanya.

Dan apakah keputusan lembaga sebenar-benarnya suatu tindakan paling keras dan telus oleh UMNO dalam membersihkan budaya yang menjadi jiwa dan rasa UMNO ini. Saya tetap berpendirian skeptik, lebih cenderung untuk tidak mempercayainya, atas alasan bahawa tidak ada manusia hidup yang tidak mahu imbuhan atau pemberian yang mengembungkan kantung.

Juga, dengan menyatakan demikian saya tidak bermaksud bahawa dalam politik - dan UMNO - hanya ada kejahatan, keburukan dan kebobrokan, cuma kita perlu bersikap jujur dan sanggup menerima segala rasa pedas dan tidak senang terhadap sesuatu yang seperti ini.

Apakah UMNO cukup kuat untuk memadamkan suatu lagi budaya, paradigma yang menjadi sebahagian nadi kewujudan dan kelangsungan, atau sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan politik tidak untuk mengejar pangkat dan kedudukan semata.

Rakyat atau orang ramai tidak akan berasa rugi andai UMNO menjadi reput disebabkan budaya dan paradigma pemikiran begini, kerana parti juga seperti individu politik boleh datang dan pergi, atau bergelut dengan parti-parti baru yang dipercayai membawa aspirasi kebanyakan.

Tentunya, ramai yang tertanya, kenapa Ali Rustam, dan bukannya KJ atau Mat Tyson, atau yang lain-lain. Barangkali Ali senasib dengan Isa Samad, dan situasi ini memperlihatkan bahawa pada masa tertentu politik akan mencari mangsanya sendiri, sedang pada ketika yang sama menyelamatkan nasib yang lain. Dan tentunya, ini memperlihatkan banyak pertembungan, ironi dan paradok yang berlegaran, bahawa kata-kata keadilan sebenarnya wujud dalam bentuknya yang amat absurd dan mempunyai piawaian atau standard sendiri. Atau ini merupakan satu lagi konspirasi politik kontemporari yang memaparkan sisi penuh intrig dan kejam.

Saya tidak pasti dan tidak mahu membuat sebarang andaian kerana politik tetap dengan kendiri, wajah dan rasanya, yang bagi manusia seperti saya tidak arif, tetapi menyerahkan politik kepada orang politik sepenuhnya, sama seperti tikus dengan labu. Mungkinkah?

Entah betul atau tidak, saya tidak tahu dan tidak pasti, tetapi keputusan ini pun boleh dirayu dan siapa tahu, pada ketika itu nasib akan berubah dan cemerlang.

Akhir sekali, saya masih menyimpan kopiah pemberian Ali Rustam ketika masih bergelar Timbalan Menteri Pengangkutan dulu, katanya, buah tangan dari Mekah - beliau masa itu baru balik mengerjakan umrah, dan kebetulan pada ketika itu saya menemuramah beliau berhubung gerakan belianya.

Itu sahaja yang saya ingat dengan baik dan kopiah itu masih dalam simpanan saya, tetapi saya tidak boleh pakai sebab saiznya kecil dan saya sendiri tidak suka memakai sesuatu di kepala. Dan untuk kali ini, saya tidak ada tangisan untuk Ali Rustam.

Tiada ulasan: