Isnin, 9 Mac 2009

Yang indah itu bahasa....

Ini adalah grafik cerpen saya yang berjudul, Kami Masih Berperang, diterbitkan beberapa tahun dulu dalam sebuah majalah, Masa. Tidak ada yang besar dalam bentuk pemikiran dalam cerpen ini, melainkan yang biasa-biasa tentang manusia marhaen dan kebanyakan, manusia yang hidupnya sentiasa ditentukan oleh kuasa. Ini bukan kisah perang, tetapi ia juga peperangan sebenarnya, perang menegakkan apa yang dinamakan sebagai maruah dan imej bangsa.
Saya mengarang cerpen ini atas sebab beberapa perkara sebenarnya, dan antara salah satu sebabnya tentulah yang berkaitan dengan isu paling panas ketika ini, isu beberapa hari lalu yang telah lama mengusik sanubari saya. Saya sudah memikirkan sejak sekian waktu yang lama, dan secara kebetulan, seorang kawan menelefon dan bertanya, apakah saya akan turut serta. Saya katakan tidak. Tidak bukan bermaksud saya mengabaikan atau tidak mempedulikan perjuangan mereka, cuma biarlah mereka menggunakan masa dan keadaan untuk menyatakan, apakah nurani mereka mahu perkatakan. Bagi saya, pendirian dan perjuangan saya sudah bertahun-tahun dinyatakan, terutamanya dalam bentuk penulisan, malah ada yang disekat oleh kuasa di tempat kerja. Itu sebahagian perjuangan nurani yang telah mencetuskan rasa kecewa dan marah. Namun saya belajar menerima hakikat ada kuasa yang lebih tinggi dan kuasa itu yang digunakan tatkala ini, dan saya bertanya kepada diri sendiri, apakah pertentangan ini akan berterusan, atau sebelah pihak akan berjalan tempang dan diberi aib selepas ditekan.
Mungkin saya tidak perlu memikirkan perkara seperti ini, apabila memikirkan beberapa hal yang bersangkutan. Misalnya, siapakah saya untuk mahu peduli dan bergelumang dengan persoalan ini, dan apakah kelebihan yang saya akan peroleh.
Barangkali, saya sudah berasa putus asa, atau hanya orang kecil yang bagaikan anjing menyalak bukit, tetapi sebenarnya, saya memikirkan, ada orang lain yang perlu memikirkan dan bertindak, bahawa ini bukan persoalan politik, ini soal maruah dan kelangsungan suatu bangsa.
Bahawa frasa Takkan Melayu Akan Hilang Di Dunia sudah tidak hidup dalam ingatan anak bangsanya merupakan hakikat yang pedih dan jika suatu bangsa terus wujud, persoalan yang paling menarik untuk diperhatikan, apakah bentuk rupa bangsanya. Mungkinkah bangsa ini wujud dengan rupa dan wajah seperti seorang mata sepet, atau hidung mancung berkulit putih isi pisang.
Saya tidak peduli sebab saya kini memikirkan, selepas beberapa keadaan dan situasi, jika suatu anak bangsa sudah tidak meletakkan ketinggian bahasanya pada tempat sewajarnya, atau tidak mahu mempeduli nasib bahasanya sendiri, kenapa saya dari keturunan dengan bahasa ibunda yang berlainan harus memikirkan. Alangkah moleknya saya tidak melihat satu lagi sikap jelik sebahagian manusia ini yang hanya membuakkan kemarahan dan meledakkan emosi, atau tidak mempedulikan hal seumpama ini. Tetapi hakikatnya saya amat terganggu dan tidak boleh untuk tidak berfikir...

Tiada ulasan: