Isnin, 1 Jun 2009

Demokrasi dijunjung, rakyat ditatang


Selesai sudah pertarungan yang saya anggap sebagai berat sebelah, bermakna terlaksana sudah prinsip demokrasi, yakni menyerahkan kepada rakyat/pengundi untuk memilih wakil mereka di badan perwakilan. Opss, tunggu sebentar, apakah saya sudah tersilap untuk mengatakan, demokrasi sudah dilunas dalam erti kata sebenar, atau sekali lagi berlakunya drama yang menunjukkan prinsip berkerajaan telah diperlekehkan dengan sedemikian rupa.

Pertanyaan kepada persoalan ini, tepuk dada tanya selera. Sesiapa pun boleh membuat tafsiran dan definisi sendiri mengikut kefahaman dan aliran politik masing-masing, dan bagi saya, sama ada demokrasi benar-benar wujud masih mencetuskan persoalan, yakni persoalan dan pertanyaan baru. Tentunya, perkara itu bertolak daripada keengganan BN dan UMNO menyertai proses demokrasi ini dengan alasan sebenar mereka sahaja yang mengetahuinya.

Persoalannya, apakah demokrasi benar-benar terlaksana, atau sesiapa sahaja boleh menyertai proses atau tidak mahu menyertainya atas semangat demokrasi. Amat malang bagi pengundi dan penduduk di Penanti pada pilihan raya kecil ini tidak mendapat sebarang habuan pilihan raya seperti yang berlaku di banyak pilihan raya kecil dan umum sebelum ini, apabila pelbagai limpahan dan mikmat daripada perbelanjaan besar.

Tetapi bukankah itu tidak mengapa, kerana langkah tersebut dapat menjimatkan duit kerajaan - yang sebenarnya duit para pembayar cukai - yang ditaburkan suatu kawasan dengan sekitar beberapa ribu penduduk berbanding kepentingan berjuta-juta lagi rakyat Malaysia. Amat malang mereka tidak merasa dilayan dan ditatang bagaikan anak emas.

Tentunya, melihat kepada situasi ini seperti merenung dalam kesuraman, bahawa demokrasi juga boleh dijadikan pilihan. Dan pastinya, membuat pilihan juga sebahagian daripada proses demokrasi. Maka, orang boleh mendakwa, sama ada suatu pihak memboikot atau menjauhkan diri daripada proses demokrasi ini, ia tidak menjadi persoalan besar atau perlu dikecohkan bahawa kononnya demokrasi tidak wujud.

Apakah demokrasi perlu dijadikan barang tukaran apabila ada pihak merasakan proses ini tidak perlu kerana merugikan semua pihak dan lebih merupakan suatu manipulasi. Perihal manipulasi ini juga satu lagi topik khusus dan besar dalam demokrasi yang boleh diperkata dan diperdebat dan saya beraanggapan, proses kali ini memperlihatkan suatu lagi betapa demokrasi sering menjadi pertarungan yang seolah-olah pergeserannya berpanjangan, penuh dengan membalas dendam dan sengketa yang berlarutan tanpa sudah.

Saya tertarik dengan tiga calon bebas yang menyertai proses ini, Tentunya mereka sedar bahawa penyertaan pada pilihan raya ini hanya memberikan calar kecil kepada pemenangnya, tetapi mereka telah memberikan satu sumbangan besar kepada demokrasi dan nilainya, dan masih menyanjung dan mempercayai prinsip ini sebagai manifestasi terbaik sebagai institusi rakyat.

Saya memahami beberapa perkara pada pilihan raya kecil Penanti ini, demokrasi juga boleh menjadi pilihan dan ia dlakukan atas nama demokrasi juga. Ini suatu tafsiran baru mengenai demokrasi dan tidak mustahil ada lagi fahaman baru yang lebih avant-garde. Entahlah...

2 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Tuan Luq...
Ada ke demokrasi di Malaysia ni?
Faham ke mereka (baca org umno) tu makna demokrasi?
Rasanya demokrasi bagi mereka macam biskut yg sekejap ada sekejap tiada. Aku percaya kepada kata-kata kasim ahmad bahawa demokrasi telah mati dibunuh oleh penguasa/ kuasawan negara.
Hehehe... demokrasi hanya imageri yang muluk.

edolah berkata...

Demokrasi ala Malaysia...yang pastinya menyediakan pertarungan di atas padang yang tidak sama rata, malah pengadilnya turut menyebelahi sebelah pihak...semuanya lakonan semata!
Rakyat pula dipaksa mempercayai segalanya.