Jumaat, 26 Jun 2009

Dirgahayu BI dalam sains dan matamatik


*Inilah sebahagian daripada rencana Pengarang Berita Utusan Malaysia, Marhaini Kamaruddin mengenai bahasa Melayu dan PPSMI hari ini dalam akhbar berbahasa Melayu nombor (?) negara.



Malangnya di Malaysia, perjuangan memartabat bahasa kebangsaan sering kali disempitkan kepada sektor pendidikan atau tepatnya peringkat sekolah.
Kerap kali sasaran kejayaan sesuatu usaha atau kempen dibebankan kepada guru dan pelajar. Akibatnya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi polemik dan konflik ekoran campur tangan politik yang tidak sewajarnya.
Matlamat asas pelaksanaannya enam tahun lalu seperti dilupakan. Desakan dibuat supaya pelajar kembali menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sedangkan persekitaran yang menunggu mereka di peringkat kolej, universiti dan tempat kerja tidak pula sedemikian.
Tidak boleh siapa pun menafikan, bahasa pertuturan di syarikat-syarikat besar dalam negara malah di jabatan dan agensi kerajaan adalah bahasa Inggeris. Lebih malang lagi bagi pelajar apabila memasuki pasaran kerja, syarikat-syarikat dikuasai tokoh perniagaan berketurunan Cina turut mensyaratkan bahasa Mandarin untuk mereka.
Justeru benarkah gerakan memansuhkan PPSMI ikhlas mahu membantu pelajar khususnya di luar bandar seperti diuar-uarkan?
Tidakkah perjuangan mendaulatkan bahasa tidak sepatutnya menafikan masa depan anak-anak kita?
Tidak ada salahnya para pejuang bahasa mendesak pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ditingkatkan di sekolah-sekolah. Namun tidak adil pula untuk mereka menafi atau menolak usaha kerajaan melengkapkan para pelajar dengan bahasa Inggeris demi kesenangan dan kemudahan mereka pada hari muka.
Tumpuan sepatutnya diberikan oleh para pejuang bahasa untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di segenap lapisan dan peringkat di seluruh negara.
Golongan ini sepatutnya mendesak agar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan dalam semua acara rasmi kerajaan dan swasta! Desak juga semua program bertaraf antarabangsa yang dianjurkan dalam negara menggunakan setidak-tidaknya dua bahasa dengan satu daripadanya adalah bahasa Melayu!
Desak kerajaan mewajibkan setiap program televisyen yang dibawa dari luar negara menyediakan sarikata atau dialih bahasa. Desak juga supaya semua papan tanda ditulis dalam bahasa kebangsaan. Begitu juga surat dan dokumen rasmi termasuk perjanjian jual beli hartanah!
Desak kerajaan menetapkan syarat agar pelajar atau pekerja asing menduduki ujian asas bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya mengikuti kursus pendek bertutur dalam bahasa itu.
Dan pastikan semua pemimpin politik bercakap terutamanya di Parlimen dalam bahasa kebangsaan yang sempurna bukannya caca-marba. Penulis tidak tahu adakah semua desakan itu telah dibuat oleh para pejuang bahasa kita. Jika sudah, baguslah. Tetapi berapa peratuskah kejayaan pelaksanaannya?
Sejarah Tanah Melayu menunjukkan bahasa Melayu pernah menjadi lingua-franca. Para pedagang China, Arab dan India pada masa itu berusaha mempelajarinya untuk memudahkan urus niaga.
Jadi tidak mustahil ia dilakukan sekarang.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak sepatutnya disempitkan kepada pelaksanaan PPSMI di sekolah sahaja.
Jika dasar itu hendak dimansuhkan, sejauh manakah persediaan kita menyediakan rujukan untuk mata pelajaran Matematik dan Sains termasuk cabang-cabangnya seperti perubatan, kejuruteraan dan teknologi dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda?
Sekadar perbandingan, carian di Internet bagi Sains menghasilkan hanya 8.15 juta perkara berbanding perkataan sama dalam bahasa Inggeris (Science) sebanyak 718 juta.
Manakala carian Matematik menghasilkan 12.6 juta perkara berbanding 92.7 juta bagi Mathematics. Agak mengejutkan carian Sejarah Melayu juga hanya menemui 538,000 topik berbanding 6.07 juta dalam bahasa Inggeris.
Justeru sudah banyakkah buku rujukan dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemah - seperti dilakukan oleh negara-negara yang mengagungkan bahasa ibunda mereka contohnya Jepun dan Korea?
Bukankah kelemahan penuntut kita di universiti untuk memahami subjek-subjek itu jugalah yang mendorong kerajaan mewujudkan dasar PPSMI enam tahun lalu?
Jika khutub khanah kita sudah lengkap, tidak ada masalah untuk para pelajar kita kembali mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
Namun jika tidak, sesuatu perlu dilakukan dari sekarang sebelum mereka melangkah kaki ke menara gading dan terpinga-pinga mencari rujukan untuk memahami terma-terma dalam bahasa antarabangsa itu.
Terjemahan yang dibuat pula perlulah jelas dan bukan semudah memelayukan perkataan asing seperti ratifikasi yang diterjemah daripada ratification. Ia tidak membantu mengayakan bahasa kebangsaan.
Jika semua tuntutan di atas belum dibuat dan dilaksanakan, hentikanlah desakan untuk menghapuskan dasar itu yang diperkenalkan demi memajukan anak bangsa!


* Catatan saya:


kata-kata dia memang betul sebab nanti apabila BI sudah kukuh dan mantap dalam Sains dan Matematik, kita ada alasan baru untuk tidak kembali kepada penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Ya, kenapa perlu bersusah-payah sedang kita sudah pandai sains dan matematik dalam BI dan tidak perlulah hendak memecahkan kepala demi memikirkan atau mencari istilah BM untuk kedua-dua matapelajaran.
Dan melihat kepada tulisan ini pun saya ragu apakah penulisnya benar-benar memahami dan menguasai aspek pembinaan bahasa, pembentukan istilah dan terjemahan istilah, sebab bagi saya, dewasa ini semua orang boleh menulis walaupun bukan bidang kemahiran dan kepandaiannya.
Barangkali, ya sekadar barangkali saja, selepas ini saya memikirkan untuk memasukkan bahasa Melayu dalam data kumpulan bahasa yang pernah wujud di dunia fana ini dalam kelompok bahasa yang pupus. Pupus macam dinosaur; ya, barangkali juga!

10 ulasan:

sahrunizam abdul talib berkata...

Tuan Luq,

Dialah "Peludah Bahasa"!

Luqman Hakim QA berkata...

tuan pemuisi, peludah ya? hamba ingat selama ni, pengencing bahasa. hahahaaa

Tanpa Nama berkata...

saya kira, kebimbangan pejuang bahasa yang membawa kepada penentangan PPSMI adalah jua didasarkan kepasda kecenderungan oarang Malasyia, termasuk Melayu, termasukpemimpin untuk mengutamakan Bahsa Inggeris dalam urusan mereka, atau pun paling kurang enggan berbahasa Melayu 100%, mahu juga diselit dengan Bahsa Inggeris sana sini setiap kali membuka mulut.

Jadi saya setuju, jika Kerajaan melakukannya terlebih dahulu dengan menjadikan Bahasa Melayu medium utama dalam sebarang urusan dan majlis. Janganlah hanya kerana ditanya dalam Bahas Inggeris,laju sahaja menjawab dalam bahasa tersebut. Walhal yang bertanya pun orang Malaysia.
Dan, bilakah agaknya kali terakhir kita menonton Datuk Zati Akhtar berbahasa melayu di kaca TV, samada berucap atau menjawab soalan wartawan?

Harap2 datuk Rais yatim menyedari hal ini dan memulakan perubahan positif.

Luqman Hakim QA berkata...

Tanpa nama, anda memang benar! kita lebih malu tidak berbahasa inggeris dari berbahasa Melayu.

benuasuluk berkata...

Saya pong malu, tak reti berbahasa Inggeris. Bercakap dalam bahasa Melayu pula rasa rendah diri. Macamana ni tuan?

Unknown berkata...

Bahasa Melayu ni diguna oleh orang-orang kampung yang tak pandai...mana layak di guna oleh orang-orang berpelajaran tinggi (konon nya lah), orang-orang bandar, bahkan pada orang-orang yang mengkategorikan diri mereka berkasta tinggi (Macam kat India pulak dah).Bahasa melayu mana ada prestij..bagi yg segolongan perasan pulak...biar salah grammar atau lintang pukang janji gaya mesti ada...kalau niat baik nak belajar tak apa..ni lebih pada nak berlagak. Tapi nak kata apa...orang melayu..gitu lah ada nya, si luncai ngan labu2 nya mmg dari dulu.

Luqman Hakim QA berkata...

Benuasuluk,takpa hang bantai je slanga utara!
Nebula, saya selalu berfikir, orang Thai sebahagian besar tak reti atau tak fasih cakap org putih sampai org yg bebal bahasa org putih macam saya jd lagi tak paham. tp (sebagai contoh mudah aje la) kalau kita lihat di pusat-pusat pelancongan seperti Phuket, Krabi dan sebagainya, org luar tetap datang melancong gak. Iklan lebih 90 peratus dalam tulisan depa. cakap inggeris sekadar yes, i, you, can, go, eat, drink, can less, cannot, massage and bla bla bla. tak dak past tense tak dak present tense. jepun datang gak melabur buat honda dan toyota. juga kalau ada luncai dalam bahasa Melayu sebab dengan sikap bangang mereka, mereka akan terjun ke lubuk dengan bahasa itu sendiri. mereka mampus, bahasa pun berkubur!

Unknown berkata...

Pasti berkubur kalau tak dipertahankan. Kalau diperhatikan di seluruh dunia pun mana ada negara besar dan maju yang menggunakan bahasa asing selain dari bahasa negara mereka sediri. Jerman bangga dengan bahasa jerman nya, Perancis tetap mengagungkan bahasa perancis, Jepun maju dalam teknolgi dengan menggunakan bahasa ibunda mereka (tak perlu pun bahasa org putih yg tak putih hati tu tuk rujukan ilmu nya). Banyak lagi kuasa-kuasa besar yg boleh dijadikan rujukan. Cuma orang "Satu Malaysia" ni je yang masih bersemangat dijajah walau pun sudah merdeka bepuluh tahun...tapi masih tak mengaku.

za berkata...

L,

sila lihat emel. dan abaikan emel yang pertama.


terima kasih.

Luqman Hakim QA berkata...

Nebula, itu yg menyedihkan, bodoh tak boleh ditunjuk ajar, salah tak mengaku silap