Khamis, 11 Jun 2009

Menyusukan monyet di hutan


Saya sering dan sudah lali mendengar hujah mengenai keperluan bahasa Inggeris, yang dikatakan: ia sebagai bahasa antarabangsa. Saya tidak mendengar hujah lain yang lebih kuat misalnya, apabila memperkatakannya dalam PPSMI dan wajib lulus dalam peperiksaan SPM. Segalanya mahu antarabangsa, antarabangsa, antarabangsa....! Apakah kita akan menjadi antarabangsa nanti sehingga sanggup bersusah-payah memikirkannya untuk menjadi sebahagian daripada keperluan dan wajib dalam institusi kehidupan di negara kita. Dan nokhtah.

Saya tidak mahu memperkatakan soal itu, sebaliknya mahu memperkatakan beberapa pejuang bahasa Inggeris yang bagi saya sama saja seperti orang yang memberi susu kepada monyet di hutan, sedang anak sendiri di riba...nasibnya?

Saya juga mahu memperkatakan perkara ini disebabkan betapa sebenarnya perjuangan bahasa Melayu kehilangan semangat politiknya seperti yang pernah dimiliki suatu ketika dulu, kecuali golongan pelampau bahasa ini yang digelar sebagai pengganas disebabkan berarrak di jalan raya. Saya juga memperkatakan hal ini disebabkan sejak sekian lama tidak terlihat apakah usaha dilakukan untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu di sekolah atau institusi pengajian dan semua aspek kehidupan. Kita tidak perlu bercakap mengenai usaha DBP dalam perkara ini kerana tanpa dokongan dan kesungguhan politik tertinggi, perjuangan bahasa tidak membawa sebarang pengertian. Nokhtah.

Percaya atau tidak bahawa pejuang dan pendaulat bahasa Inggeris tidak lain adalah media berbahasa Melayu, maksud saya akhbar dan majalah yang berbahasa Melayu. Barangkali ia disebabkan bahawa kewujudan akhbar ini lebih kepada menjadi lidah dan suara kerajaan, maka apa juga yang dikemukakan oleh kerajaan akan disokong, sama seperti akhbar bahasa melayu yang saya baca sehari dua ini membuat berita susulan mengenai syarat wajib lulus BI untuk SPM.

Ironinya, sejak bertahun lamanya antara perkara yang dirintih oleh akhbar berbahasa Melayu adalah nilai komersial bahasa ini yang rendah sehingga kutipan iklannya rendah berbanding bahasa-bahasa lain - selain bahasa Tamil. Saya mahu memperkatakan betapa tindak-tanduk kita sendiri, termasuk akhbar-akhbar terbabit sendiri turut menyebabkan bahasa Melayu sendiri semakin lemah nilai dagangnya. Apakah memadai apabila kita memperkatakan kita memperjuangkan BM hanya kerana bahasa penyampaian kita Bahasa Melayu?

Sedangkan dalam banyak perbuatan kita selalunya bertentangan dengan makna perjuangan bahasa dan paling menyedihkan sebab ia dilakukan atas sebab-sebab pentadbiran. Saya memerhatikan bahawa akhbar-akhbar berbahasa Melayu bukan pejuang bahasa penyampaiannya, sebaliknya, banyak tindakannya, antara sedar atau tidak, hanya menjadi pembunuh bahasa Melayu. Apakah ini nota malang? Saya pernah berdepan dengan situasi seperti ini ketika mahu menggunapakai tulisan mengenai kajian pelaksanaan PPSMI yang dicantas sebelum sempat masuk ke mesin cetak atas alasan, editorial mesti selari dengan dasar pemerintah dan yang berkuasa. Apa mahu buat?

Dan ketika keributan PPSMI tercetus beberapa waktu yang lepas dan tersembul cadangan wajib lulus BI, apakah peranan akhbar berbahasa Melayu dalam mempertahankan bahasa pengantarnya? Nampaknya, ia lebih menjadi pemukul gendang para penyokong PPSMI dan wajib lulus.

Akhir sekali saya beranggapan, baguslah kalau akhbar-akhbar ini mengambil langkah yang dirasakannya sebagai proaktif, sebab kadang-kadang kita terlalu buta dan menjadi pengikut taksub tanpa menyedari bahawa tindakan kita tidak memberikan keuntungan dalam pengertian yang lebih besar, melainkan sekadar mahu menyelamatkan nasib dan periuk nasi sendiri.

Entahlah, sekadar pandangan sebab kita mungkin bangga dapat memberi susu kepada monyet dan beruk di hutan sana, dan sanggup membiarkan anak di ribaan kering tekak dan selepas itu mati.

2 ulasan:

Pyanhabib berkata...

salam,luq!

D'Rimba berkata...

Saya setuju amat sangat tidak terhingga. Memang benar apa dikata. Sedangkan akhbar bahasa Inggeris bila dicanang bahasa Inggeris cukup bersemangat sekali jadikan berita utama di muka depan tapi jika bahasa Melayu dipertidakkan hak akhbar berkenaan hanya jadikan berita sisipan di tengah mahupun terkebelakang.....