Rabu, 10 Jun 2009

Obama, Zionis, Islam dan kita


Beberapa hari lepas dalam rangka lawatan ke dunia Arab dan Eropah, Barack Obama, Presiden AS kulit hitam menyampaikan ucapan yang menyentuh hubungan negara Uncle Sam dengan negara Islam, penuh aspirasi dan harapan. Presiden AS ini memperlihatkan sikap sederhana di sebalik kedudukan AS sebagai negara besar, tetapi apakah ia sudah memadai dalam memberikan harapan dan mengembalikan kepercayaan negara dan orang Islam terhadap AS dan White House.

Sememangnya selama ini pun orang sentiasa percaya sesapa pun yang menduduki jawatan eksekutif paling berkuasa di Washington pun sebenarnya mempunyai sikap dan pendirian yang sama, dan Obama di sebalik kemahuannya pun tidak terlepas daripada tanggapan, bahawa AS tetap menjadi kembar dan pelindung kepada Zionis atau Israel.

Nah, apa lagi yang boleh diharapkan oleh negara Islam terutama dalam hubungan tidak baik yang berlarutan selama ini, terutamanya berhubung soal Arab Palestin? Setegas manapun seorang Presiden AS, dia tidak akan dapat mengetepikan kepentingan Israel dan semua tahu selama ini pun AS merupakan proksi kepada Israel. Dan Obama tidak mempunyai lampu ajaib Aladin untuk menunduk Israel, Zionis dan kuasa Yahudi.

Tentunya, situasi ini memperlihatkan betapa sebuah negara besar yang ditakuti oleh banyak negara ini tidak lebih boneka kepada negara bangsa Yahudi dan meletakkan harapan bahawa Obama akan mengubah keadaan merupakan angan-angan. Ini merupakan perkara malang biarpun Presiden AS ini tidak lagi berbicara seolah-olah ia adalah raja dan semua harus mengikut telunjuk, bahawa Obama memperlihatkan, dirinya dan AS merupakan rakan seganding kepada dunia Islam.

Dan apakah Obama akan berjaya? Ini tentunya pertanyaan yang akan tercetus tetapi pasti ramai yang percaya, Obama akan gagal dalam memenangi hati dunia Islam memandangkan keraguan bahawa AS boneka Zioinis tidak pernah terhapus, malah tindak-tanduk Israel yang tidak mengendahkan sesiapa pun masih berterusan. Bukankah perkembangan politik di Asia Barat memberikan gambaran jelas?

Kita boleh memberikan apa juga label kepada negara bangsa Yahudi ini, sepuas hati untuk mengata, hakikatnya, harapan kita untuk melihat kepentingan Arab Palestin dan dunia Islam dianjak pada era Obama ini menyebabkan kita akan berputih mata.

Ini hakikat pahit yang kita akan lalui, sama ada suka atau tidak, apakah kita mempunyai pilihan selain daripada terus menyumpah seranah atau melepaskan kegeraman dengan apa juga cara. Dan mungkin juga, jika Obama memberikan perhatian besar kepada dunia Islam dan memperlihatkan sikap keras terhadap Israel akan menyebabkan dia tidak mungkin berkuasa untuk penggal kedua selepas kehilangan sokongan pelobi Yahudi/Israel atau ada kumpulan tertentu yang membunuhnya sebelum habis penggal pertamanya, dan kali ini oleh pelampau Yahudi.
Mungkin kita patutnya lebih bersungguh untuk menyatukan diri dan menjadi satu kuasa besar untuk berdepan dengan apa juga tantangan, bukan mengharap ihsan kuasa lain yang sudah nyata paksinya. Dan ini sebenarnya bukan sekadar yang mungkin, tetapi yang perlu. Wajib.


1 ulasan:

rubee,rubie,ru-b berkata...

Abg luq.....nape sepi takde berita!!!!??? contact ler...no tipon yang lama gak...