Selasa, 24 Julai 2012

Apa penyelesaiannya isu air kat Selangor


ISU air bersih dan terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah berlarutan untuk tempoh, dan yang sebenarnya menuntut suatu penyelesaian secara tuntas, tanpa ada permainan tarik tali atau tindakan sengaja untuk menjadikannya kusut.

Hakikatnya, tidak mudah untuk menyelesaikan kemelut air ini, apatah lagi ia membabitkan beberapa pihak yang mempunyai bidang kuasa sendiri serta kepentingan masing-masing yang mahu dipertahan dan penonjolan diri.

Namun, harus diingat, isu air ini tidak boleh dilihat dalam ruang politik biarpun penyelesaian politik perlu ada dalam menangani isu ini, tetapi penyelesaian menyeluruh dan tuntas amat dituntut terutama bagi memastikan, masalah seperti ini tidak berulang pada masa depan. Dan kejayaan menyelesaikan kemelut ini daripada sudut politik pasti memberikan gambaran kita berada dalam ruang politik matang.

Sama ada KeTTHA, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Kerajaan Selangor atau Syabas, mereka memikul tanggungjawab bagi memastikan pengeluaran air terawat untuk pengguna bukan sahaja mencukupi, malah meliputi aspek lain seperti pengurusan dan agihan yang cekap.

Isu air yang berlegar kebelakangan ini tidak sekadar soal bekalan air bersih untuk pengguna yang mencukupi, atau bekalan air mentah untuk dirawat sebelum disalurkan kepada pengguna mencukupi, sebenarnya ia memerlukan penyelesaian menyeluruh dan tuntas melalui penstrukturan semula.

Bagaimanapun hambatan yang perlu diatasi tidak kecil seperti halnya masalah prasarana menyalurkan air yang using menyebakan berlakunya air tidak terhasil (NRW) yang tinggi. Ini merupakan satu permasalahan yang menjadi duri dalam daging dalam isu air, tetapi tidak mahu diselesaikan, atau tidak dicari jalan menyelesaikan.

Perlu diketahui nilai kerugian NRW setiap tahun untuk seleuruh negara amat tinggi, dan bayangkan jika pada 2010, kerugian yang dicatatkan adalah RM1.7 bilion. Jika dijumlahkan untuk sedekad, agak-agak berapakah nilai kerugian yang ditanggung?

Kerugian yang tinggi ini menunjukkan betapa tahap kecekapan urus air negara amat rendah dan ketirisan hasil ini perlu diatasi, kerana dalam konteks sekarang, air yang menjadi komoditi perniagaan, sewajarnya kerugian seperti ini diatasi.

Dan daripada angka itu, Selangor mencatatkan kerugian sebanyak RM598 juta. Ini angka untuk setahun. Jika sebahagian daripada NRW ini dapat diatasi, secara empirikalnya, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak akan berada di ambang masalah kekurangan air seperti yang diramalkan pada 2014.

Kerugian yang ditanggung agak besar kerana NRW pada kadar sekitar 32 peratus sekarang, ia amat tinggi dan kerugian itu ditanggung oleh pengguna melalui kadar tariff yang dikenakan. Fikirkanlah, kenapa perlu pengguna menanggung 32 peratus kerugian akibat air yang tidak terhasil ini.

Masalah ini merupakan sebahagian daripada kemelut yang melanda perbekalan air memandangkan ia membabitkan kawasan kepadatan penduduk yang tinggi di Malaysia dengan permintaan yang sentiasa mendesak dan bertambah saban tahun.

Dalam mencari penyelesaian, semua pihak perlu bersikap terbuka dan profesional kerana ia tidak boleh dilihat daripada sudut politik dan mengutamakan kepentingan dan ego masing-masing. Tentunya, kepentingan pihak teramai perlu diutama.

Jika mahu melihat isu air ini diselesaikan, suatu tindakan menyeluruh perlu dilakukan dengan melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) – penyelesaian menyeluruh dengan menghapuskan sebarang bentuk konsesi.

Biarpun sudah terlewat kerana WSIA sepatutnya disempurnakan pada Rancangan Malaysia ke-9, semua pihak perlu kembali kepada asas penyelesaian ini untuk menghindarkan sebarang bentuk kekalutan yang mungkin timbul kelak, dan juga sedang berlaku sekarang.

Pada akhirnya, semua pihak terbabit perlu melihat dan mengutama kepentingan pengguna mengatasi pertimbangan dan kepentingan lain untuk kita dilihat sebagai pihak yang benar-benar ikhlas menjalankan tugas dan memikul amanah perkhidmatan untuk rakyat.

* Diambil dari mysuara.net

Tiada ulasan: