Khamis, 5 Julai 2012

Penulis, buku dan penerbit

Sebenarnya, agak lama juga saya tidak menghadiri majlis yang berkaitan dengan buku dan sastera, atau pundalam erti kata sebenar, amat jarang berkesempatan. Mungkin satu kebetulan dan kemujuran, dan lebih disebabkan tugas, saya dalam menghadiri Majlis Pelancaran Penerbitan 30 Judul buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Mestilah gak juga majlisnya yang dianjurkan oleh PENA, ITBM dan Percetakan Nasional kerana berlangsung di Seri Perdana, tempat kediaman Perdana Menteri yang merasmikan majlis itu petang semalam.
Menariknya juga dapat bertemu dengan beberapa rakan penulis, sebaya, seangkatan - macam penerima SEA Write Award yang baru tu la, SM Zakir - dan ramai lagi termasuk penulis dari Ulu Bakai dan Bera. Sorilah kepada kekawan yang lain tak disebutkan di sini. Oh ya, Sheikh Rahimidin dan penjual buku Pos, Marjan pun ada.
Apakah yang menarik perihal pelancaran buku ini? Angkanya 30 judul yang melepasi KPI penerbit, ITBM yang mensasarkan 10 judul dalam enam bulan, atau ada perkara lain yang penting.
Mungkkin juga kata-kata perasmi majlis, Datuk Seri Najib yang mahu menjadikan Seri Perdana sebagai pusat ilmu dan buku boleh diambil kira, dan alangkah baiknya kepada dunia buku dan penulisan, tempat kediaman rasmi Seri Perdana menjadi nadi penggerak. Cuma nak tunggu sejauhmanakah ia benar-benar menjadi kenyataan. Teringat pula bagaimana istana raja Thai menjadi pusat penyelidikan pertanian, dan kata-kata Perdana Menteri itu boleh menjadi faktor pemula dan pemangkin.
Bagi penulis, tentunya kegembiraan mereka adalah karya mereka diterbitkan dalam bentuk buku, dan pastinya lebih indah jika buku atau karya itu terjual dalam jumlah yang banyak dan memberikan hasil lumayan kepada penulis, juga penerbitnya.
Diharapkan juga, buku tidak lagi menjadi pengisi ruang simpanan atau stor kerana ia bermakna suatu kerugian, bukan sekadar, tenaga, masa dan wang, tetapi yang lebih penting ilmu dalam buku tidak dapat diturunkan atau diwariskan kepada orang lain, yakni ilmu tidak berkembang atau statik.
Pastinya, kata-kata Perdana Menteri bahawa Malaysia menjadi pusat keilmuan yang didasari oleh penerbitan buku dan penyebaran ilmu seperti Baghdad, Kufah dan Cordoba tidak sekadar harapan atau angan sahaja.
Ini sekadar harapan dan bayangan molek tetapi perjalanan dan pelaksanaannya menampilkan suatu dimensi penceritaan yang berlainan dan dengan mengambil contoh seperti gagalnya kampung buku yang cuba diwujudkan di Langkawi dan kota buku di Kuala Lumpur, banyak yangg perlu dilakukan, tidak sekadar kata-kata tanpa pelaksanaan.
Jika kita percaya kepada tradisi ilmu dan keilmuan, maka kita perlu melakukan sesuatu, tidak sekadar menggalakkan rakyat Malaysia semakin rajin membaca dan membeli buku, tetapi menerbitkan buku dan ilmu untuk dibaca dan disebarkan, tidak dalam negara, tetapi seluruh dunia.
Sekali lagi kita perlu yakin dan percaya kepada kemampuan dan kepercayaan kepada diri kita sendiri, tidak ada jalan pintas, atau tongkat sakti melainkan kita berusaha dan sentiasa bijak menggunakan akal untuk membangun dan memaju diri.
Kembali kepada majlis petang semalam, saya mempercayai wang menjadi faktor kepada penerbit untuk menjayakan, tetapi pada masa sama, kita perlu memikirkan wang bukanlah segala-galanya. Wang untuk majlis pelancaran yang hebat, kualiti penerbitan yang baik dan imbuhan kepada penulis untuk memberikan semangat dan dorongan, kerana pada akhirnya, dalam memperkatakan buku dan ilmu, wang tetap berada di depan. Apa pun peranan dan pengarah wang, wang tetap akan muncul sebagai faktor penentu dan utama, tetapi kita harus yakin dan percaya kepada tradisi yang dibawa oleh buku, iaitu ilmu, pengetahuan dan pemikiran.

Tiada ulasan: