Ahad, 15 Julai 2012

Spin berita, laporan benar dan patuh tuan


Saya suka membaca berita mengenai Datuk ZH ini, mantan bos semasa di Utusan Malaysia. Cakap-cakap mengenai caya penulisan berita di kalangan pemberitanya. Itu suatu pemberitahuan, mungkin berterus-terang, tapi itu kebenaran dan pengertian, terutama dalam laporan berita dan kewartawanan. Jadi apakah kita mahu mengatakan ia salah, atau tidak beretika? Terpulang kepada diri masing-masing, kerana perlu disedari bahawa salah satu peranan akhbar adalah sebagai alat propaganda, lantas sekali naskhah atau story - bahasa reporter - tidak lebih daripada manifestasi perhubungan awam dan komunikasi untuk menentukan sokongan dan penolakan, kesukaan dan kebencian.

Perihal memutar fakta, memang itu perkara lumrah sejak lama dulu dengan tujuan dan alasan tertentu, atau atas kepentingan tertentu, malah, penulisan berita atau rencana juga merupakan suatu perancangan dengan tujuan tertentu. Apa yang mahu disampaikan adalah sejauhmanakah penulisan itu dapat membentuk persepsi atau mengubah persepsi, ia tidak sekadar sebaran maklumat kerana pada suatu tahap, maklumat hanya bersifat sekunder atau peralatan sahaja.

Putar fakta atau bermain perkataan merupakan suatu bentuk kemahiran khusus yang diasah dan digilap, dibentuk dalam sedar, bahawa sebagai ejen media kepada UMNO, ia harus memainkan peranannya, sama ada sebagai tangan kotor atau kasar, itu bukan persoalan dan pertikaian; sama ada membawa kepada tahap dipanggil pencacai, itu bukan masalah kerana tugas menuntut supaya ia harus berlaku dan beretika begitu.

Dunia surat khabar adalah permainan kata-kata dan bahasa, walaupun dengan satu perkataan, ia boleh dipanjang atau menjadi suatu tulisan berjela yang boleh menjadi peluru besar yang menghentam sasaran dengan kesan yang tentunya dahsyat, ke tahap menjatuhkan seseorang pada kedudukan paling rendah atau hina - jika itu yang dimahu atau tujuan penulisannya. Jadi kenapa kita perlu nak hairan atau menyalak atau mahu mengeji? Saya tidak bertujuan membela bela bekas majikan saya dan mantan bos, cuma itulah hakikat dan kena menerima dan meraikan segala berbezaan dan mungkin juga pertembungan yang berlaku.

Saya amat memahami cara dan teknik penulisan berita atau rencana yang sememangnya menjadi suatu vehicle yang seperti peluru berpandu memang mempunyai tujuan agar memberikan kesan paling maksimum, atau maximum impact. Ia bukan soal pembohongan atau penipuan atau fakta tidak betul kerana apa-apa maklumat sekali pun, tetap diterima dan dipakai tanpa prejudis selagi berasaskan kepada sumber atau berdasarkan hipotesis yang dicipta sendiri. Tapi lazimnya, ini permainan bahaya kerana kesan maksimum menimbulkan rasa tidak senang, marah dan benci, tetapi itu juga suatu bentuk kejayaan, khususnya dalam persuratkhabaran dan juga peranan Utusan Malaysia sebagai alat tempur UMNO, dan juga kerajaan.

Persoalan kenapa mereka seperti buta atau manusia yang membuta-tuli, itu juga bukan perkiraan kerana, dalam halnya berlaku suatu macam tanggungjawab dan tidak ada pertikaian sama ada salah atau tidak betul, atau tidak benar, atau tidak patut. Ia semacam suatu arahan atau tugasan yang perlu dilakukan dan disempurnakan, atau sebagai pekerja, maka, tugas kita memikul dan melaksanakan tugas sebagai lidah dan penyampai.

Dan hakikat ini juga tidak terlepas daripada suara rasmi mana-mana pertubuhan, kumpulan atau parti politik.

Saya secara peribadi ketika di Utusan Malaysia, mengelak daripada membuat laporan sebegini, dan sebab itu saya bukanlah wartawan barisan depan dalam laporan politik, dan saya menerima hakikat ini dengan senang hati. Sebab itu juga saya tidak membaca berita dan rencana politiknya.
............................................

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata pengamal media dibolehkan “memutar” fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak.

Menurutnya, langkah itu adalah “serangan berhemah” kepada pembangkang yang kini menguasai persepsi umum sehingga menyebabkan kerajaan BN ”dibicarakan” dalam ruang politik negara.

“Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan).

“Dari segi perang psikologi kita jangan ikutlah blatant lie, kita jangan tulis pembohongan.

“Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta tersebut memihak kepada kita, itu OK,” kata Zaini.

Beliau turut mengakui kelebihan kini berpihak kepada pembangkang dalam perang psikologi politik menerusi media sosial.

“Kalau kita lihat sebelah sana, media (mereka) tidak tengok duit.

“Di sana mereka kerja dengan hati, perasaan, dan fisabilillah (di jalan Allah).

“Tetapi kita di sini, minta maaf kalau saya cakap, tidak ada duit tak jalan (jentera),” kata Zaini sewaktu bercakap pada forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat di Kuala Lumpur.

Zaini yang popular dengan kolum Cuit dalam akhbar Utusan Malaysia turut mengakui bahawa media kini memainkan peranan yang jauh lebih penting berbanding faktor wang dan jentera dalam memenangi pilihan raya.

“Dalam konteks Malaysia, media dah jadi tempat pertama (dalam memenangi pilihan raya),” kata Zaini.

Tiada ulasan: